Tokokan Medisave bernilai $180 juta diagihkan kepada Generasi Perintis tahun ini; antara $200-$800 setiap seorang
Tokokan Medisave bernilai sekitar S$180 juta akan diagihkan kepada warga tua yang layak tahun ini sebagai sebahagian daripada Pakej Generasi Perintis, umum Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (11 Jun).

Gambar fail. (Gambar: Francine Lim)
SINGAPURA: Tokokan Medisave bernilai sekitar S$180 juta akan diagihkan kepada warga tua yang layak tahun ini sebagai sebahagian daripada Pakej Generasi Perintis, umum Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (11 Jun).
Dalam kenyataan medianya, MOF menyatakan bahawa golongan generasi perintis akan menerima surat pemberitahuan pada minggu depan, yang akan memaklumkan mereka tentang tokokan itu yang akan dimasukkan ke dalam akaun mereka Julai ini.
Golongan generasi perintis yang layak akan menerima antara S$200 hingga S$800, bergantung kepada tarikh lahir mereka.
Ini masuk tahun kelima golongan generasi perintis menerima tokokan Medisave sejak Pakej Generasi Perintis dilancarkan pada 2014.
Tokokan Medisave Generasi Perintis ini adalah tambahan kepada tokokan bagi rakyat SIngapura yang berusia 65 tahun dan ke atas pada 2018, di bawah Skim Baucar GST. Kedua-duanya adalah skim tetap yang masing-masing diagihkan pada Julai dan Ogos setiap tahun.
Golongan generasi perintis boleh menggunakan tokokan Medisave ini untuk membayar premium MediShield Hayat dan juga bagi pelan-pelan insurans lain yang diluluskan bagi rawatan pesakit luar.
Pakej Generasi Perintis dilancarkan pada 2014 bagi mengiktiraf 'kohort istimewa' ini yang membantu membangunkan Singapura. Mereka yang layak harus berusia 16 tahun dan ke atas pada 1965 dan mestilah rakyat Singapura pada atau sebelum 31 Disember 1986.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.