Tokokan CPF bagi simpanan persaraan cecah paras rekod S$6.7 bilion dalam 7 bulan pertama 2025
Tokokan yang dilakukan secara sukarela kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) melepasi paras rekod S$6.7 bilion dalam tujuh bulan pertama 2025, selepas para pencarum membuat tokokan menyusuli perubahan yang dilaksanakan terhadap sistem tersebut.
Jumlah itu meliputi 316,000 pencarum yang menerima tokokan secara sukarela daripada diri mereka sendiri atau orang tersayang. Ia menandakan peningkatan ketara berbanding tokokan sebanyak S$4.8 bilion pada 2024, menurut CPF dalam kenyataannya pada Rabu (17 Sep).
"Tokokan tunai dan pemindahan CPF ke Akaun Khas atau Akaun Persaraan ini akan berkembang pada kadar faedah jangka panjang sehingga 6 peratus setiap tahun dan membolehkan para pencarum menerima bayaran bulanan sepanjang hayat yang lebih tinggi di bawah CPF Hayat," tambahnya.
Lonjakan pada tokokan itu amat ketara pada Januari, yang menyaksikan tokokan S$2.9 bilion kepada 105,000 pencarum,dedah CPF. Ini lebih daripada empat kali ganda jumlah yang dicatatkan pada bulan yang sama pada 2024.
Ia mengaitkan jumlah tokokan yang mencecah paras rekod tahun ini dengan lonjakan sekali sahaja selepas Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan
dinaikkan daripada tiga kali kepada empat kali ganda Jumlah Persaraan Asas.
Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan adalah jumlah maksimum yang boleh dimasukkan oleh pencarum CPF ke dalam Akaun Persaraan mereka untuk menerima pembayaran. Mempunyai lebih banyak wang dalam Akaun Persaraan CPF diterjemahkan kepada pembayaran bulanan yang lebih besar.
Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan yang dinaikkan, S$426,000, dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2025.
Satu lagi faktor penyumbang kepada peningkatan mendadak pada jumlah tokokan ialah penutupan Akaun Khas untuk pencarum berumur 55 tahun ke atas pada Januari, menurut CPF.
Ini mendorong para pencarum untuk secara sukarela memindahkan simpanan Akaun Biasa ke Akaun Persaraan mereka untuk memperoleh kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi.
Dalam ucapan Belanjawan 2024 pada tahun lalu, Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri ketika itu Lawrence Wong mengumumkan bahawa Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan akan dinaikkan dan perubahan ada Akaun Khas.
Penutupan Akaun Khas untuk mereka yang berumur 55 tahun ke atas bermakna simpanan mereka dalam akaun telah dipindahkan ke Akaun Persaraan sehingga Jumlah Persaraan Penuh, iaitu dua kali ganda jumlah asas.
Baki dana dalam akaun tersebut telah dipindahkan ke Akaun Biasa dan para pencarum mempunyai pilihan untuk memindahkannya secara sukarela ke Akaun Persaraan mereka - sehingga Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan yang sudah disemak - untuk memperoleh faedah yang lebih tinggi dan menerima bayaran persaraan yang lebih tinggi.
Encik Gregory Chia, Pengarah Kumpulan Pendapatan Persaraan Lembaga CPF, berkata: "Adalah menggalakkan untuk melihat ramai pencarum membuat tokokan kepada Akaun Persaraan mereka selepas Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan dinaikkan.
"Ia menggambarkan minat pencarum untuk menggunakan sepenuhnya sistem CPF untuk menabung bagi persaraan mereka."
Beliau menambah bahawa para pencarum boleh menggunakan perancang pembayaran persaraan CPF untuk mengetahui bagaimana tokokan mereka boleh membantu mereka mencapai matlamat persaraan mereka.
LEBIH BANYAK TOKOKAN DENGAN SKIM SIMPANAN PERSARAAN YANG SESUAI
CPF juga menyaksikan pertumbuhan kukuh pada bilangan warga emas yang membuat tokokan di bawah Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan pada tahun ini.
Skim ini membolehkan warga emas yang layak berumur 55 hingga 70 tahun menerima geran padanan bagi setiap dolar yang ditokok daripada pemerintah untuk tokokan tunai yang diterima dalam Akaun Persaraan mereka.
Tahun ini, had pemadanan skim itu dinaikkan daripada S$600 kepada S$2,000 setahun, dengan had S$20,000 sepanjang hayat para pencarum yang layak.
Ia juga diperluaskan dari 1 Jan untuk memasukkan warga emas yang berumur 70 tahun ke atas.
Lebih 130,000 pencarum menerima tokokan tunai di bawah skim itu dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, dengan 54 peratus daripada penerima berumur 70 tahun ke atas, dedah CPF pada Rabu.
Pada 2024, 103,000 pencarum menerima tokokan tunai.
"Peningkatan geran padanan tahunan kepada S$2,000 juga telah menggalakkan tokokan yang lebih besar, dengan 74 peratus peserta menerima tokokan S$2,000 atau lebih untuk memanfaatkan sepenuhnya geran padanan daripada pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka," tambah CPF.
Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan akan diperluaskan untuk merangkumi warga Singapura yang layak dari semua peringkat umur yang kurang upaya mulai tahun depan bagi membolehkan mereka meningkatkan simpanan persaraan mereka lebih awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.