Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokoh pengajian Melayu Prof Madya Hadijah Rahmat penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Tokoh pengajian Melayu Prof Madya Hadijah Rahmat penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2022

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Tokoh pendidik dan pengkaji bahasa dan budaya Melayu, Profesor Madya Hadijah Rahmat dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2022.

Sepanjang lebih tiga dekad, beliau sudah banyak berbakti kepada dunia penulisan Melayu.

Beliau yang berusia 64 tahun itu sudah menghasilkan ratusan cerpen, puisi, dan buku dengan beberapa lagi karya yang masih dalam perancangan.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Melalui penglibatannya dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), beliau mewakili negara untuk menyampaikan ceramah-ceramah di luar negara dan dianggap sebagai tokoh Kajian Melayu-Indonesia yang disegani di rantau ini dan Eropah.

Antara sumbangannya kepada kurikulum pembelajaran Bahasa Melayu adalah melakarkan 'Visi Ariff Budiman' sebagai pengerusi Jawatankuasa Semakan Semula Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu (MLCPRC) pada 2005.

"Dari segi pendidikan, saya duduk dalam jawatankuasa di Kementerian Pendidikan, khususnya ketika kurikulum Bahasa itu disemak pada tahun 2005. Jawatankuasa yang saya ketuai itu membuat saranan bahawa visi pendidikan Bahasa itu harus dimantapkan. Jadi kami memperkenalkan 'Visi Arif Budiman' dan Alhamdulillah masih dapat lagi dipertahankan. Kemudian ada juga kegiatan saya di perpustakaan untuk memberi nasihat dalam koleksi NLB dan juga beberapa kegiatan berkaitan dengan buku-buku di sana," kata Prof Madya Hadijah.

Beliau terus terdorong untuk berkarya sebagai baktinya kepada masyarakat.

"Saya terkesan dengan nasihat Almarhum Pak Tenas Effendy yang menasihatkan bahawa untuk maju, kita sebagai masyarakat atau sebagai individu, jangan hanya menerima budi. Hidup kita itu haruslah menabur budi, bukan menerima budi. Jadi saya tersentuh apabila mendengar nasihat beliau itu. Dan itu mendorong saya untuk melakukan sesuatu untuk kebaikan masyarakat.

"Insya-Allah saya akan teruskan kegiatan saya dalam bidang penulisan, dalam bidang kerja-kerja kemasyarakatan untuk terus berbakti kepada masyarakat," jelasnya.

(Gambar: Berita Harian)

USAHAWAN MUDA LEE SYAFIQ TERDORONG LEBARKAN SAYAP

Penerima Anugerah Jauhari Harapan 2022 diberikan kepada usahawan penjaja, Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, 30 tahun.

Anugerah itu diberikan kepada individu berusia 30 tahun ke bawah yang mempamerkan potensi dan pencapaian dalam bidang masing-masing.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pada usia 24 tahun, beliau nekad memulakan perniagaannya menjual burger di pusat penjaja Golden Mile Food Centre yang dipanggil 'Ashes Burnnit'.

"Saya meninggalkan pekerjaan sepenuh masa saya sebagai cef untuk memulakan perniagaan ini. Saya gunakan kesemua simpanan saya. Saya tidak ada simpanan...S$0. Ia adalah usaha memberikan segala-galanya atau tiada apa-apa," kata Syafiq, yang pernah bekerja di restoran-restoran ternama tempatan.

Namun, berkat kesungguhan, pengorbanan serta sokongan dari keluarga dan teman-teman, Encik Syafiq berjaya mengatasi pelbagai cabaran sehingga berjaya membuka enam cawangan di Singapura setakat ini.

Baru-baru ini, beliau juga sudah meluaskan perniagannya ke peringkat antarabangsa dengan membuka sebuah cawangan di New York City, Amerika Syarikat.

Bagi Encik Syafiq, ia adalah bukti bahawa kejayaan itu boleh dicapai tidak kira latar belakang seseorang.

"Berasal dari aliran normal teknikal, saya belajar di ITE sebelum saya masuk ke industri. Jadi saya harap ini menunjukkan dengan kerja keras dan kesungguhan, tak kisah kita orang Melayu, Cina, India, dengan sikap dan perwatakan yang betul, kita boleh mencabai matlamat kita," kata Encik Syafiq.

(Gambar: Berita Harian)

Beliau kini berusaha untuk mempertingkatkan lagi taraf para penjaja di Singapura dan mahu menarik lebih ramai anak muda untuk berjinak-jinak menjadi seorang penjaja.

Di bawah Program Pembangunan Penjaja oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan SkillsFuture Singapore misalnya, Encik Syafiq dilantik sebagai salah seorang mentor dan sudah membimbing beberapa pelatih muda.

Dengan kemenangan ini, ia membakar semangatnya untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan beliau bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan di Amerika Syarikat.

Ini sekaligus memperkenalkan budaya penjaja di mata dunia.

"Matlamat kami adalah untuk menjadi cukup dikenali, supaya penjaja itu dikenali di peringkat antarabangsa. Kami berharap untuk menjadi inspirasi dan membuat lebih untuk masyarakat," tambah Syafiq.

(Facebook/Ashes Burnnit NYC)

CIKGU YUSNOR EF PENERIMA ANUGERAH JAUHARI PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT

Satu lagi anugerah turut disampaikan kepada penulis lagu tersohor tanahair, Encik Mohamed Noor Mohamed Yusofe atau lebih dikenali sebagai Cikgu Yusnor Ef.

Beliau diiktiraf dengan Anugerah Jauhari Pencapaian Sepanjang Hayat di atas sumbangannya kepada industri muzik tanahair sepanjang lebih 40 tahun.

(Gambar: Berita Harian)

"Saya berasa berbesar hati dan sangat teruja dengan pengiktirafan ini. Saya harap untuk menjadi contoh kepada generasi muda menerusi karya saya, untuk sentiasa mengingati masa lalu, mencipta pada masa ini dan menjadi inspirasi untuk masa hadapan," kata Cikgu Yusnor, yang sudah menghasilkan ratusan karya.

Cikgu Yusnor Ef juga sebelum ini pernah menerima Pingat Budaya dan Pingat Bakti Masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan