Tokoh masyarakat Yatiman Yusof lancarkan memoir perjalanan hidupnya 'Perjalananku – Dari Desa ke Likuan Kota'
Dari zaman persekolahannya hinggalah menjadi seorang wartawan dan kemudian menceburi bidang politik pula, kisah pahit manis dan perjalanan hidup tokoh masyarakat Yatiman Yusof, semuanya dicurahkan dalam memoir “Perjalananku – Dari Desa ke Likuan Kota”.
SINGAPURA: Dari zaman persekolahannya hinggalah menjadi seorang wartawan dan kemudian menceburi bidang politik pula, kisah pahit manis dan perjalanan hidup tokoh masyarakat Yatiman Yusof, semuanya dicurahkan dalam memoir “Perjalananku – Dari Desa ke Likuan Kota”.
Walaupun pada mulanya hanya berhasrat untuk membukukan pengalamannya itu untuk dibaca anggota keluarga dan cucu-cucunya, Encik Yatiman kemudian didorong rakan-rakannya untuk berkongsi dengan orang ramai.

Maka itu terlahirlah buku setebal 410 muka surat yang menurut Encik Yatiman sendiri, banyak mengandungi rahsia dan pengalamannya yang jarang diketahui umum seperti waktu membesar di kawasan Orchard Road yang tidak ramai penduduk Melayu.
Banyak yang telah beliau lalui dan dalam menyaksikan sendiri pembangunan Singapura dari tahun-tahun 50an, Encik Yatiman berharap perkongsian pengalaman peribadi beliau itu dapat dijadikan sebagai rujukan dan sumber inspirasi bagi generasi lebih muda dan akan datang.
"Keinginan saya ialah untuk berkongsi tentang sejarah yang kita miliki dan kita tidak hadir pada hari dalam keadaan yang serba baik, tanpa sebelumnya kepayahan kesusahan, dan kemiskinan yang kita hadapi," kongsi Encik Yatiman.
"Dengan kesungguhan dan dedikasi, kita dapat membina masa hadapan yang baik. Itu yang ingin saya kongsi kepada rakyat Singapura," tambahnya lagi.
BERKECIMPUNG DALAM PELBAGAI BIDANG
Walaupun cinta pertamanya adalah pada bidang penulisan, sumbangan Encik Yatiman bukan sahaja terhad dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan sahaja.
Tokoh masyarakat yang sudah mencecah usia 75 tahun ini sebenarnya sudah menyumbang tenaga dan bakti dalam pelbagai bidang.

(Gambar: Yatiman Yusof)
Sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam arena politik, Encik Yatiman pernah menjadi Anggota Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Ehwal Luar dan Penerangan, Perhubungan dan Kesenian (MICA).
Encik Yatiman kini berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Republik Kenya yang berpangkalan di negara ini dan Pengerusi Lembaga Penasihat Majlis Bahasa Melayu.
PENCETUS RANGSANGAN GENERASI AKAN DATANG
Dalam ucapannya di acara pelancaran memoir tersebut hari ini (14 Dis), Presiden Halimah Yacob menyifatkan penerbitan buku berkenaan sebagai satu "sumbangan kepada perbendaharaan sejarah negara."
Puan Halimah menarik perhatian bahawa Singapura bertuah kerana mampu melahirkan ramai tokoh dan pemimpin berwibawa seperti Encik Yatiman.
"Kita dapat melihat bagaimana kesungguhan para pemimpin ini sudah menyumbang kepada pembentukan jati diri kita hari ini, sebagai rakyat Singapura yang bersatu-padu, sedia bergotong-royong dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan bangsa dan agama; berpandangan jauh dan berkeyakinan serta punya cinta mendalam terhadap watannya," ucap Puan Halimah.

Beliau juga mengiktiraf sumbangan Encik Yatiman sebagai antara pemimpin yang gigih menyuburkan sikap-sikap murni agar generasi akan datang kekal beriltizam mengharungi cabaran masa depan.
"Pengalaman yang dilalui Encik Yatiman mungkin berbeza dengan kehidupan generasi milenia hari ini. Namun tekad, kesungguhan dan kecekalan yang ditonjolkan Encik Yatiman dalam memoirnya ini perlu dijadikan pencetus rangsangan agar generasi mendatang – walaupun berbeza keadaan hidup - tidak walah tetapi teruja dan sedia mengharungi cabaran dan liku-liku yang dihadapi mereka," ujar Puan Halimah.
PERKAYA KHAZANAH KESUSASTERAAN NEGARA
Dengan penggunaan Bahasa Melayu yang mudah serta cara penceritaan yang dipecah-pecahkan, memoir ini menurut Encik Yatiman sesuai dijadikan bahan sastera.
"Pengalaman yang saya kongsi ini dapat dituai semula dan dijadikan sebagai bahan sastera dalam persembahan yang lebih menarik lagi," kongsi penulis ini.

Bagi penerbitnya iaitu Angkatan Sasterawan '50 (ASAS'50), “Perjalananku – Dari Desa ke Likuan Kota” ini merupakan buku yang sangat penting dan boleh memperkaya khazanah kesusasteraan Singapura,.
"Buku itu bukan sahaja disaluti dengan hal-hal berkenaan institusi keluarga atau individu tetapi juga melibatkan lingkungan kehidupan kemasyarakatan yang merangkumi hal-hal seperti politik, sosial dan falsafahnya," kata Presiden ASAS'50, Suraidi Sipan.
"Encik Yatiman Yusof juga bukan sahaja menulis mengenai hal-hal berkaitan kerjayanya sebagai seorang pemimpin masyarakat dalam politik malah menyentuh tentang kehidupannya juga dalam kesusasteraan dalam dunia penulisan," tambahnya lagi.
Lantaran itu, Encik Suraidi berharap agar memoir itu dapat menjadi pendorong bagi generasi muda untuk lebih mendekati dunia kesusasteraan.
Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut pada harga S$30 senaskhah dan mereka boleh membuat tempahan menerusi laman web ASAS'50.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.