Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokoh masyarakat Katolik S'pura didakwa atas kesalahan seksual terhadap beberapa remaja lelaki

Tertuduh berusia 60-an tahun itu dipercayai melakukan kesalahan seksual terhadap sekurang-kurangnya 2 remaja lelaki lebih sedekad lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki dalam lingkungan usia 60 tahun, yang merupakan tokoh masyarakat Katolik tempatan, didakwa pada Khamis (20 Jan) atas kesalahan seksual terhadap sekurang-kurangnya dua remaja lelaki lebih sedekad lalu.

Nama warga Singapura itu tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah yang melarang penerbitan identiti, jawatan dan pekerjaannya selain identiti mangsa-mangsa yang didakwa serta sekolah di mana kesalahan-kesalahan itu didakwa berlaku.

Tertuduh menghadapi dua tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii yang tertakluk di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan edisi semakan 1985, yang dimansuhkan pada 2007.

Dia juga didakwa atas dua tuduhan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak atau orang muda di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa antara 1 Jan 2005 dengan 31 Dis 2006, tertuduh dipercayai memaksa remaja yang lebih tua itu untuk melakukan seks oral ke atasnya. Remaja berkenaan berumur antara 14 dengan 16 tahun pada ketika itu.

Tertuduh kemudian dipercayai memaksa remaja yang lebih muda, berusia antara 14 hingga 15 tahun pada masa itu, untuk melakukan perkara yang sama antara April dengan Disember 2007.

Lelaki itu turut dituduh melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap kedua-dua remaja tersebut pada 2005 dan 2007 dengan melakukan perbuatan seks ke atas mereka.

Pada Khamis, peguam tertuduh, Encik Edmond Pereira, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak membuat sebarang pengakuan buat masa ini.

Seorang pendakwa polis meminta agar tertuduh ditahan reman di Pusat Perubatan Kompleks (CMC) penjara bagi penilaian psikiatrik untuk mengetahui jika dia "mengalami fikiran luar biasa yang mungkin menjejaskan keupayaan mentalnya bagi perbuatannya".

Encik Pereira, bagaimanapun, berkata anak guamnya tidak dimaklumkan tentang kemungkinan akan ditahan reman pada Khamis dan bertanya jika dia boleh melaporkan diri untuk tempoh reman pada Isnin.

Pihak peguam bela menarik perhatian bahawa tertuduh dipanggil oleh pihak polis pada "Mei tahun lalu",dan dia pulang ke Singapura dari luar negara untuk menangani perkara-perkara ini.

Mereka kemudian memberi pegawai siasatan beberapa laporan psikiatrik dan tertuduh diberitahu beberapa hari lalu bahawa dia akan didakwa di mahkamah, tambah Encik Pereira.

Hakim Daerah Terence Tay pada mulanya berkata beliau akan menangguhkan pengeluaran reman hingga Isnin dan menetapkan ikat jamin tertuduh pada S$30,000. Namun setelah berbincang dengan anak guamnya, Encik Pereira kemudian memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk ditahan reman dengan segera.

Syarat-syarat ikat jamin bagi tertuduh termasuk menjauhi kawasan yang dipercayai tempat berlakunya insiden serta tidak menghubungi mangsa-mangsa yang didakwa dan mana-mana saksi pendakwaan yang lain.

Dia akan kembali menghadap mahkamah pada 3 Feb menyusuli penilaian psikiatriknya.

Mereka yang disabit kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 10 tahun dan didenda.

Mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh dengan orang muda boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda sebanyak S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan