Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokoh batik tersohor, Sarkasi Said, dianugerahi Pingat Budaya 2020

Namanya terkenal dalam dunia seni batik dalam negeri mahupun antarabangsa. Cinta dan sumbangan beliau dalam memasyarakatkan lukisan batik tiada tolok bandingnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Namanya terkenal dalam dunia seni batik dalam negeri mahupun antarabangsa.

Cinta dan sumbangan beliau dalam memasyarakatkan lukisan batik tiada tolok bandingnya.

Seniman batik Encik Sarkasi Said atau lebih mesra dengan panggilan Pak Sarkasi diberi pengiktirafan tertinggi Singapura bagi seni apabila dinobatkan sebagai salah seorang daripada dua pemenang Pingat Budaya, tahun ini.

"Anugerah ini sebenarnya bukanlah satu kejayaan, buat saya. Saya melihatnya sebagai satu tugas baru. Dengan adanya anugerah ini, membuat saya lebih peka dan lebih mementingkan bagaimanakah batik ini dapat diteruskan dengan erti-erti yang sebenar jadi buat saya adalah satu ilham bagaimana untuk meneruskan kerjaya saya," kata pengasas seni batik di Singapura ini yang mula tertarik pada lukisan batik pada usia 20-an tahun.

Kini berusia 80 tahun, beliau bukan sahaja sekadar banyak menyumbang kemahiran dan tenaganya dalam seni lukisan batik, malah kepakarannya dalam kesenian itu juga berjaya mengharumkan nama Singapura.

Pada 2003 misalnya, Pak Sarkasi, yang dikenali di persada antarabangsa dengan nama Tzee Sarkasi, mencipta Rekod Dunia Guinness bagi lukisan batik terpanjang - iaitu sepanjang 103 meter.

Beberapa anugerah lain yang pernah dimenanginya termasuk
Penyertaan Asing Terbaik dari Persatuan Lukisan Sarasota, Amerika Syarikat pada 1981, Anugerah Lukisan Tahunan UOB 1989 serta Anugerah Pengiktirafan Khas MICA pada 2005.

Lukisan Pak Sarkasi turut menghiasi Istana Presiden, malah lukisan batiknya turut digunakan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) bagi rekaan busana mereka sewaktu Perbarisan Hari Kebangsaan, dua tahun lalu.

Lebih 10 AP dan Menteri beri 'penghargaan istimewa' kepada pelukis batik tempatan Sarkasi Said pada Hari Kebangsaan. (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Di rantau Asia, lukisan batiknya menyerikan ruang dan pejabat orang-orang ternama dan kerabat diraja termasuk Sultan Brunei.

Sepanjang beberapa tahun lalu juga, pelukis batik terkenal ini menganjurkan pameran antarabangsa termasuk di Brunei, Perancis, Indonesia, Jepun, Filipina dan Amerika Syarikat.

Maka itu, tidak hairanlah jika beliau yang sudah bergelumang dengan dunia lukisan, khususnya batik, sejak lebih 65 tahun lalu, menerima pengiktirafan tertinggi bagi seni di bawah Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Pengiktirafan itu diberikan kepada penggiat seni yang membuat sumbangan luar biasa menerusi kerja seni bermutu serta memperkaya landskap pembangunan seni dan budaya di Singapura.

MAHU MENULIS BUKU TENTANG BATIK

Selaku penerima anugerah tertinggi itu, Pak Sarkasi menerima geran sebanyak S$80,000, sijil dan trofi.

Dengan geran tersebut, beliau bercadang untuk menghasilkan sebuah buku tentang sejarah dan evolusi lukisan batik Singapura.

Harapannya adalah agar anggota masyarakat khususnya anak-anak muda bukan sekadar menghargai dan mendalami lukisan batik sebagai seni rantau Asia, malah turut berasa bangga terhadap kesenian itu.

"Nasihat saya adalah teruskan, teruskan minat yang kita ada teruskan tidak ada tali perhentian, teruskan daripada satu tahap ke satu tahap yang lain umpamanya dari naturalis kepada abstrak dan kemudian kepada yang lain.

"Jadi usaha ini harus diteruskan, itu yang paling utama sekali dan tidak ada perasaan jenuh atau penat ataupun merasa sudah cukup, dan tidak ada dalam seni itu cukup, kehidupan akan berjalan terus, begitu juga seni dalam budaya perlu berjalan terus," tegas beliau yang berharap bukunya itu akan menjadi sumber rujukan lengkap mengenai batik bagi masyarakat, lantas memastikan kesinambungan pengetahuan dan minat terhadap seni tersebut.

SENI BATIK MILIK KITA

Penerima Pingat Budaya ini berkongsi bagaimana beliau mula tertarik pada lukisan batik pada usia 20-an tahun, selepas melihat teknik lukisan batik yang digunakan oleh seorang pelukis Itali.

Lukisan itu menurutnya diagung-agungkan oleh penduduk tempatan.

Selepas peristiwa tersebut, terdetik dalam hatinya untuk memperjuangkan seni lukisan batik yang tradisional dan asli dari rantau ini agar lebih dihargai oleh masyarakat Melayu sendiri.

"Saya rasa budaya itu penting bagi masyarakat, dan masyarakat apa juga dari etnik apa juga, budaya itu adalah penting tapi memasyarakatkan kebudayaan itu adalah penting atau lebih penting.

"Dan kita ada budaya yang telah lama tapi tidak dibudayakan jadi orang tidak kenal, orang tidak kenal jadi terjadinya pendekatamn generasi baru itu terhadap budaya tidak begitu kenal dan tidak begitu tahu ertinya," ujar beliau yang meski sudah lanjut usia masih terus gigih untuk berkarya.

Seorang lagi penerima Pingat Budaya tahun ini ialah seniman visual berbilang media, Dr Vincent Leow, 59 tahun, yang mengasaskan secara bersama kolektif seni Plastique Kinetic Worms (PKW).

IRFAN KASBAN DIJULANG ANTARA PEMENANG

Turut dijulang kerana bertungkus lumus berkarya ialah penggiat teater Inggeris dan Melayu, Encik Irfan Kasban yang dinobatkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Seniman Muda.

Minat Encik Irfan dalam seni pementasan mula sejak di bangku sekolah lagi hinggalah beliau menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi apabila beliau bergiat aktif dalam pementasan teater dan dikir barat.

Kini, anak muda berusia 33 tahun itu merupakan seorang penulis drama, pengarah dan pelakon yang membuat penampilan kerap di teater-teater tempatan.

Antara hasil karyanya termasuklah “Hantaran Buat Mangsa Lupa”, “TAHAN” (2013); dan “Hutang Belantara” (2016).

"Dalam masa lima hingga 10 tahun ini, saya rasa saya hendak bangunkan wadah-wadah baru bagi seniman muda yang mahu cuba membuat pementasan teater atau seni dan saya Insya-Allah akan teruskan penyelidikan saya dalam hidup dan saya harap dapat berubah dengan masa kerana saya rasa bangsa dan bahasa kita adalah suatu yang istimewa dalam Nusantara ini," kata beliau yang kini merupakan artis bersekutu di Teater Ekamatra.

Encik Irfan membawa pulang geran bernilai S$20,000, sijl berserta trofi.

Selain Encik Irfan, tiga artis lain menerima Anugerah Seniman Muda yang mengiktiraf kecemerlangan seni dan potensi bakat muda berusia 35 tahun ke bawah.

Mereka ialah artis berbilang disiplin, Dr Yanyun Chen, 34 tahun; pengarah, penulis dan penyunting filem, Cik Nicole Midori Woodford, 34 tahun dan vokalis muzik klasikal India Selatan, Cik Sushma Soma, 33 tahun.

Anugerah disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob yang memuji penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda tahun ini sebagai
mencerminkan komitmen Singapura dalam mempromosikan kepelbagaian budaya dan luahan kreatif.

"Pencapaian mereka akan terus memperkaya landskap budaya tempatan serta merangsang masyarakat lebih luas secara amnya," ujar Presiden Halimah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan