Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokoh batik S'pura, Sarkasi Said, meninggal dunia pada usia 81 tahun

Tokoh yang dianggap sebagai 'bapa batik Singapura', Sarkasi Said, meninggal dunia pada usia 81 tahun pada lewat Khamis (14 Okt). Khabar duka ini disampaikan sendiri oleh anaknya, Encik Ika Zahari Sarkasi kepada BERITAmediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Tokoh batik S'pura, Sarkasi Said, meninggal dunia pada usia 81 tahun

Gambar fail Sarkasi Said.

SINGAPURA: Tokoh yang dianggap sebagai 'bapa batik Singapura', Sarkasi Said, meninggal dunia pada usia 81 tahun pada lewat Khamis (14 Okt). Khabar duka ini disampaikan sendiri oleh anaknya, Encik Ika Zahari Sarkasi kepada BERITAmediacorp.

Allahyarham meninggal dunia sekitar jam 10.20 malam dan dijangka dikebumikan pada Jumaat (15 Okt).

Baru beberapa hari lalu (11 Okt), Encik Ika berkongsi kepada kami bahawa semasa beliau berbual dengan ayahnya sehari sebelumnya (10 Okt), Encik Sarkasi meminta disampaikan kepada orang ramai menerusi BERITAmediacorp bahawa beliau "memohon maaf kepada semua orang" dan beliau meminta juga masyarakat agar mendoakannya.

Allahyarham sebelum ini sakit berat setelah kedua-dua ginjalnya rosak. Beliau mengalami masalah buah pinggang sejak kira-kira dua tahun lalu tetapi keadaan ginjalnya baru-baru ini terus memburuk dan menurut doktor tidak lagi boleh dirawat.

Menurut Encik Ika kepada BERITAmediacorp, bapanya kali terakhir dirawat di hospital kira-kira empat minggu lalu. Selepas dirawat di hospital selama lima hari, doktor menasihati pihak keluarga supaya membawanya pulang kerana beliau tidak lagi boleh dirawat. Allahyarham terlantar sakit di atas katil di rumah sejak itu.

Dua minggu selepas dibawa pulang, Allahyarham Sarkasi sekadar boleh makan dua hingga tiga sudu makanan sahaja setiap hari.

"Apa yang betul-betul sedihnya adalah kesakitan yang beliau lalui. Itu yang betul-betul kita dapat rasa. Kadang-kadang beliau ok, boleh bercakap. Kadang-kadang beliau tidak boleh bercakap. Kadang-kadang bila nampak kita, beliau berbual tentang masa-masa dahulu," cerita Encik Ika kepada BERITAmediacorp minggu lalu.

Beliau ketika itu juga memohon doa orang ramai dan meminta para kenalan supaya tidak berkunjung ke rumah bapanya. Ini demi keselamatan keluarga dan juga orang ramai di tengah-tengah penularan COVID-19 sekarang ini.

Tokoh batik tersohor itu meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Lukisan batik Encik Sarkasi yang sering ditanda tangan dengan perkataan 'Tzee', iaitu singkatan namanya, dikumpul dan disimpan oleh ramai orang kenamaan di dalam dan luar negara termasuk kerabat diraja seperti Sultan Brunei.

Lukisan beliau juga dipamerkan di Istana, Bangunan Parlimen dan kedutaan-kedutaan Singapura di luar negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan