Skip to main content

Singapura

Tokoh bahasa Melayu Dr Sa'eda Buang bersara, cetus persoalan kesinambungan pakar pelapis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di sebuah kampung pada era 1950-an dan 60-an, Allahyarhamah Ibundanya menghimpunkan sekumpulan wanita saban minggu.

Bukan sekadar satu pertemuan, tetapi untuk mendengar syair dan hikayat lama yang didendangkan penuh jiwa.

Di situlah, benih kecintaan terhadap bahasa dan persuratan Melayu mula berputik dalam diri Dr Sa’eda Buang.

Semasa ditemui BERITA Mediacorp di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Sa’eda, 69 tahun, berkata: “Saya mula menyedari bahawa bahasa dan budaya dan kesusasteraan kita amat lama usianya dan amat mendalam dari segi moral, dari segi bagi mesej-mesej yang baik terhadap kemanusiaan.

“Dan kerana itu saya ingin menjadi seperti ibu saya," tambahnya.

Beliau mula berkhidmat di NIE pada 2001 sebagai pensyarah pinjaman sebelum dilantik secara sepenuh masa beberapa tahun kemudian.

Beliau kemudian menyandang jawatan Penolong Ketua (Bahasa Melayu) bagi Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia dari 2016 hingga 2019, dan dari 2021 hingga 2026, selain turut berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Melayu.

Sepanjang kerjayanya, Dr Sa’eda telah mengajar pelbagai bidang daripada bahasa, sastera dan sejarah di sekolah menengah dan maktab rendah, hingga kursus seperti sastera Melayu Singapura, kesusasteraan moden Melayu dan Indonesia serta tamadun Melayu di peringkat institut.

Beliau juga mengajar sastera Melayu Singapura, kesusasteraan moden serta pendekatan multikulturalisme dalam pendidikan.

Bagi Penolong Ketua (Bahasa Melayu) bagi Jabatan Bahasa dan Budaya Asia di NIE-NTU itu, peranan seorang guru tidak pernah terhad kepada penyampaian ilmu semata-mata.

Sebaliknya, ia adalah satu perjalanan yang sentiasa berkembang bersama pelajar, masyarakat dan kefahaman bahawa ilmu itu tidak pernah ada penghujungnya.

“Apabila kita mengetahui apa yang kita tahu, kita akan tahu banyak yang kita tak tahu.

“Kita dapati bahawa ilmu itu tidak ada batasnya. Kita dapati bahawa ia seluas lawatan yang begitu terdampar sangat-sangat luas dan sangat-sangat mendalam hingga tiada penghujungnya,” ujar beliau.

Dalam tempoh berdekad-dekad, Dr Sa'eda melahirkan guru, pemikir, pengkaji dan penulis yang terus membawa suara Bahasa Melayu ke ruang yang lebih luas.

Semangat itu, menurut Dr Sa’eda, banyak dibentuk daripada tokoh-tokoh pemikir Melayu yang pernah membimbingnya.

Antaranya ialah pendeta Allahyarham Dr Zainal 'Abidin Ahmad atau lebih terkenal sebagai Za’ba, Allahyarham Profesor Syed Hussein Al-Attas serta sasterawan seperti Allahyarham Suratman Markasan dan Allahyarham Muhammad Arif Ahmad atau Cikgu Ariff sebagai antara sumber inspirasinya.

Meniti kembali perjalanannya, antara yang paling membanggakan baginya adalah melihat bekas pelajarnya terus berjuang di sekolah, memastikan bahasa dan budaya Melayu tidak sekadar diajar tetapi dihayati.

Usahanya dalam membimbing pelajar turut diiktiraf apabila beliau menjadi antara penerima pertama Anugerah Kecemerlangan dalam Bimbingan Fakulti yang diperkenalkan NIE pada 2026.

Walaupun bakal bersara secara rasmi hari ini (30 Apr), Dr Sa’eda yang merupakan adik kepada penyanyi tersohor Allahyarhamha Rafeah Buang tidak berhasrat untuk berhenti sepenuhnya.

Beliau akan terus menyumbang sebagai pensyarah adjung, meneruskan peranan yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Menurut beliau, masa depan Bahasa dan Persuratan Melayu bergantung pada generasi seterusnya, kerana "di atas pundak merekalah terletaknya nasib persuratan Melayu".

Bukan satu kehilangan tetapi peluang untuk menilai semula

Bagi Ketua Jabatan Budaya & Bahasa Asia (ALC) di NIE, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar, persaraan Dr Sa’eda sememangnya satu kehilangan besar.

Profesor Madya Mukhlis, 64 tahun, akur bahawa beliau seorang ahli akademik yang tersohor dan berintelektual tinggi, dan "agak sukar menggantikan tempatnya".

Namun, beliau melihatnya sebagai satu peluang untuk membina semula identiti jabatan

Persaraan Dr Sa'eda dilihat "sebagai satu peluang untuk memikirkan semula apakah hala tujuan pada masa hadapan".

“Ia juga ruang untuk kita memikirkan semula apakah warisan yang telah ditinggalkan Dr Sa'eda dan bagaimana warisan itu dapat diteruskan dalam bentuk yang lebih sesuai untuk masa hadapan,” jelasnya.
Related article image
Ketua Jabatan Budaya & Bahasa Asia (ALC) di NIE, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar menekankan keperluan menilai semula hala tuju bidang Bahasa dan Persuratan Melayu susulan persaraan Dr Sa’eda Buang. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

Walau pelapis ada, jumlahnya kecil

Dr Sa'eda bukan satu-satunya yang bersara.

Beberapa lagi pakar bahasa di jabatan yang sama dijangka akan bersara kelak.

Dalam konteks ini, timbul persoalan tentang generasi pelapis pakar bahasa, ditambah dengan cabaran perubahan minat terhadap bidang tersebut.

Profesor Madya Mukhlis berkata: “Barisan pelapis itu ada tetapi dalam lingkungan yang kecil.

Namun beliau menekankan bahawa "sebahagian besar daripada anak-anak muda tidak begitu mahir ataupun berminat dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu".

Ini dipengaruhi oleh struktur pendidikan dan persekitaran bahasa yang lebih luas di mana bahasa Inggeris kekal dominan sebagai bahasa ilmu dan ekonomi, sekali gus membentuk kecenderungan pelajar dalam penggunaan dan penguasaan bahasa.

Dalam usaha memastikan kesinambungan bidang ini, NIE kini giat mendapatkan tenaga akademik baharu termasuk dari luar negara bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan, kongsi Profesor Madya Mukhlis.

Namun dalam masa yang sama, ruang juga tetap terbuka kepada golongan muda yang menunjukkan potensi dalam bidang ini.

Dr Sa'eda Buang akan digantikan oleh Pensyarah Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia di NIE-NTU, Dr Roszalina Rawi.

Dr Roszalina mula mengajar di NIE pada 2010 selepas mengajar Bahasa Melayu di sekolah menengah dan kini merupakan Ketua Praktikum bagi Kumpulan Akademik ALC serta ahli Pasukan Petugas Penilaian NIE.

Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita