Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tokoh agama tempatan, Habib Syed Abdullah Haroon Aljunied meninggal dunia

Allahyarham yang juga mesra dipanggil Habib Syed Abdullah, memainkan peranan yang besar dalam menubuhkan Al-Wehdah Al-Arabiyah Bi Singhafura ataupun Persatuan Arab Singapura. Beliau juga memimpin persatuan itu selaku Presidennya dari 1984-1997.

Anggaran Waktu Membaca:
Tokoh agama tempatan, Habib Syed Abdullah Haroon Aljunied meninggal dunia

(Gambar: Facebook/ Persatuan Ulama' dan Guru-Guru Agama Islam, PERGAS)

SINGAPURA: Mantan anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan anggota Majlis Fatwa MUIS, Ustaz Syed Abdullah Haroon Aljunied meninggal dunia lewat malam semalam (9 Jul), pada usia 88 tahun. Jenazahnya sudah selamat dikebumikan petang tadi.

Allahyarham yang juga mesra dipanggil Habib Syed Abdullah, memainkan peranan yang besar dalam menubuhkan Al-Wehdah Al-Arabiyah Bi Singhafura ataupun Persatuan Arab Singapura. Beliau juga memimpin persatuan itu selaku Presidennya dari 1984-1997.

MUIS dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS) kedua-duanya melahirkan rasa duka cita dan sedih dengan pemergian tokoh muslim itu.

Allahyarham Habib Syed Abdullah di barisan kedua dari kiri. (Gambar: MUIS)

Allahyarham Habib Syed Abdullah di barisan kedua dari kiri. (Gambar: MUIS)

MUIS: PEMERGIAN USTAZ SYED ABDULLAH SATU KEHILANGAN BESAR

Dalam siaran medianya, MUIS menyatakan ia "amat berdukacita dengan pemergian seorang pemimpin kanan masyarakat yang amat dihormati" itu.

Penguasa Islam tempatan itu menyifatkan pemergian Allahyarham Habib Syed Abdullah sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat Islam tempatan, memandangkan sumbangan beliau selama 21 tahun dari tahun 1983 hingga 2004 dalam Majlis Tertinggi MUIS. Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Fatwa secara aktif dari 1984 hingga 1995.

Allahyarham Ustaz Syed Abdullah Aljunied juga menyumbang kepada pertumbuhan dan penggalakkan budaya Arab di sini sehingga Al-Wehdah mampu menawarkan Biasiswa Al-Wehda, serta menyumbang kepada misi-misi bantuan kemanusiaan di merata dunia.

Beliau pernah dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat oleh pemerintah Singapura pada 1992, yang disampaikan oleh Presiden ketika itu, Encik Ong Teng Cheong.

Allahyarham Habib Syed Abdullah yang ke-5 dari kiri. (Gambar: MUIS)

Allahyarham Habib Syed Abdullah yang ke-5 dari kiri. (Gambar: MUIS)

"Masyarakat kehilangan seorang pemimpin teguh yang berpegang kepada usaha menaikkan masyarakat menerusi khidmat awam. Dedikasi beliau terhadap pembangunan fatwa, menyesuaikan ajaran agama dengan konteks Singapura dan memastikan kemajuan dalam proses mencipta fatwa, terus relevan hingga kini. Kami berharap agar semangat ini terus hidup dalam pemimpin-pemimpin agama mahupun masyarakat pada generasi-generasi akan datang.

PERGAS: SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT

Dalam catatannya di laman Facebooknya hari ini, PERGAS menyatakan bahawa ia "menerima berita pemergian Habib Syed Abdullah bin Haron bin Hasan Aljunied" dengan rasa penuh hiba.

PERGAS menyatakan bahawa solat jenazah bagi Allahyarham diadakan di Masjid Sultan selepas Zuhur tadi (10 Jul).

"Semoga Ruhnya dicucuri Rahmat" tambah PERGAS lagi sambil melahirkan ucapan takziah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan