Skip to main content

Singapura

Tokoh agama mapan Ustaz Syed Hamid Alkaff meninggal dunia

Guru agama mapan serta pembimbing haji dan umrah, Ustaz Syed Hamid Syed Ahmad Alkaff, yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai penyanyi lagu ‘Cenderawasih’, meninggal dunia hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Guru agama mapan serta pembimbing haji dan umrah terkenal, Ustaz Syed Hamid Syed Ahmad Alkaff, yang suatu ketika dahulu masyhur sebagai penyanyi lagu ‘Cenderawasih’, meninggal dunia hari ini.

Beliau meninggal sekitar 4.00 petang tadi (Jumaat) di Hospital Besar Singapura (SGH) pada usia 82 tahun, akibat penyakit radang paru-paru. Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Sultan selepas waktu Zohor pada hari Sabtu (7 Feb), sebelum dikebumikan.

Allahyarham Ustaz Syed Hamid juga, selama 35 tahun, menjadi imam dan khatib bagi Masjid Hang Jebat, selain aktif sebagai pendakwah di Masjid Darussalam dan Masjid Hang Jebat. Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah di Malaysia dan Indonesia.

Sebelum menjadi ustaz, Allahyarham merupakan seorang pelakon, pemuzik dan penyanyi terkenal dengan nama S Hamid pada 1950-an. Bahkan beliau dianggap sebagai antara perintis seni muzik Melayu di Singapura.

Antara lagu-lagu terkenalnya termasuk 'Cenderawasih', 'Laila' dan 'Kasih Ibu'. Lagu 'Cenderawasih' nyanyian beliau kemudian dinyanyikan ramai penyanyi lain seperti A Halim dan Jamal Abdillah.

Sebagai pelakon filem, beliau pernah berlakon di samping P Ramlee dalam filem 'Bakti' dan 'Rachun Dunia', serta beberapa buah filem Cathay Keris.  

USTAZ SYED HAMID “TAHAN SAKIT"

Seorang anaknya, Syed Idros Syed Hamid Alkaff, 60 tahun, memberitahu BERITAMediaCorp bapanya dimasukkan ke SGH selama seminggu kerana air didapati bertakung di dalam paru-parunya.

Menurut beliau, Allahyarham meninggal dunia di sisi anak-anaknya. Syed Idros berkata bapanya itu tidak banyak bercakap sejak dua hingga tiga minggu lalu hingga membimbangkan anak-anaknya. 

"Beliau tidak banyak bercakap, dan hanya menggunakan isyarat untuk berkomunikasi. Mungkin beliau sedang tahan rasa sakit. 

"Bapa saya memang sebenarnya tak suka ke hospital," ujar Syed Idros ketika dihubungi.

Menurutnya, doktor berkata keadaan Allahyarham sudah agak tenat dan tidak banyak lagi boleh dilakukan.

Allahyarham Ustaz Hamid sudah hampir 40 tahun membimbing para jemaah haji dan umrah, dan merupakan guru agama bagi Hagel Travel & Tours.

Menurut Syed Idros, Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital selama sebulan pada Julai tahun lalu, akibat air bertakung dalam paru-paru, dan sejak itu, tidak lagi aktif mengajar di masjid-masjid seperti dahulu.

Namun, Allahyarham tetap menulis nota-nota dan "karangan" tentang apa yang ingin disampaikan kepada para pelajarnya. "Setiap hari beliau akan menulis karangan-karangan di dalam buku. Itu sudah jadi macam homework beliau," katanya.

AWALNYA BERAT MENINGGALKAN DUNIA SENI

Menurut Syed Idros, bapanya itu mula menggubah dan menyanyikan lagu-lagu nasyid pada tahun 1970an. Bahkan, ada lagu nasyid yang disumbangkan kepada Madrasah Aljunied.

Menceritakan lanjut, beliau berkata Allahyarham mengakui sukar pada mulanya untuk meninggalkan dunia seni dan melangkah ke bidang agama sebagai ustaz.

“Bapa pernah berkata, susah nak berhenti. Tapi katanya, Allah sudah tentukan yang beliau akan mengajar sebagai ustaz," ujarnya.

Allahyarham menerima pendidikannya di Madrasah Aljunied, Pesantren Darul-Rahman dan Pusat Ittihadul Muballigh. Antara mentor-mentornya dalam bidang agama ialah Allahyarham Sheikh Karim Al Banjar di Makkah, dan abang sulungnya, Allahyarham Ustaz Syed Abdul Rahmad Alkaff, yang merupakan pengasas Hagel Travel & Tours.

Bekas Anggota Parlimen, Encik Maidin Packer memuji Allahyarham sebagai seorang jasawan: "Almarhum merupakan seorang pendakwah dan pendidik yang banyak menabur bakti, khususnya di Masjid Hang Jebat lebih 40 tahun."

Syed Idros pula menyifatkan bapanya sebagai seorang yang rajin mengadakan majlis maulud, tidak suka menyusahkan anak-anaknya dan berdikari, namun tidak begitu aktif sejak kaki kanannya dipotong akibat penyakit kencing manis.

PERMINTAAN TERAKHIR USTAZ SYED HAMID

Menceritakan detik-detik akhirnya, Syed Idros berkata pada 3.00 pagi semalam, bapanya itu bersuara buat kali pertama sejak beberapa lama, dan meminta ingin meminum teh. "Saya pun letakkan teh itu di bibirnya dengan menggunakan kapas, sebab beliau ketika itu sukar makan dan minum seperti biasa," ujarnya.

Allahyarham meninggalkan lapan anak, 12 cucu dan beberapa orang cicit. Isteri pertamanya meninggal pada tahun 1974.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita