Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Token TraceTogether diagihkan di 20 Kelab Masyarakat mulai hari ini

Membuka semula ekonomi dan masyarakat, antaranya harus dilengkapi dengan pengesanan kontak secara intensif serta menjalankan ujian COVID-19 dengan kerap, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak Dr Vivian Balakrishanan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Membuka semula ekonomi dan masyarakat, antaranya harus dilengkapi dengan pengesanan kontak secara intensif serta menjalankan ujian COVID-19 dengan kerap.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak Dr Vivian Balakrishanan mengenai pengagihan token TraceTogether yang bertujuan untuk meningkatkan kadar penggunaan skim pengesanan kontak tersebut kepada 70 peratus di negara ini.

BERITAmediacorp meninjau keadaan hari pertama pengagihan token TraceTogether di dua Kelab Masyarakat - Jalan Besar dan Buona Vista.

USAHA PENGESANAN KONTAK HARUS DIPERTINGKAT

Dr Vivian Balakrishnan turut turun padang ke Kelab Masyarakat Jalan Besar hari ini (14 Sep), untuk sama-sama membantu mengagihkan token TraceTogether kepada para penduduk.

Beliau berkata bahawa aplikasi mudah alih TraceTogether sudah dimuat turun sekitar 2.4 juta pengguna setakat ini.

Namun, tidak semua orang menggunakannya setiap masa dan ada juga yang tidak memiliki telefon bijak.

Dr Vivian berkata: "Kami mendapati bahawa sejak beberapa bulan yang lalu, masih ramai daripada masyarakat kita, sekitar 5% daripada mereka yang tidak mempunyai akses kepada telefon bijak. Kami ingin memastikan semua orang dapat dilindungi oleh program TraceTogether ini."

Lantaran itu, token TraceTogether direka bagi segenap masyarakat, terutama sekali bagi golongan tersebut dan warga emas.

"Yang penting adalah kadar penyertaan untuk program TraceTogether, kerana token ini juga berfungsi bersama aplikasi TraceTogether di dalam telefon. Jadi saya tidak mempunyai sasaran untuk token-token ini. Apa yang saya mahukan ialah untuk mendapatkan sekitar 70 peratus kadar penyertaan," ujar Dr Vivian.

AGIHAN TOKEN TRACETOGETHER DI 20 KELAB MASYARAKAT

Pengagihan token TraceTogether bermula hari ini (14 Sep) di 20 Kelab Masyarakat termasuk di Jalan Besar dan Tanjong Pagar.

Kawasan-kawasan ini dipilih kerana mempunyai jumlah warga emas yang lebih ramai dan mungkin mengalami kesukaran untuk menggunakan aplikasi TraceTogether.

Pada jam pertama sahaja, hampir 100 penduduk sudah mengambil token TraceTogether masing-masing di Kelab Masyarakat Jalan Besar.

Di Kelab Masyarakat Buona Vista pula, sekitar 300 token sudah diagihkan setakat sehingga 1.00 tengah hari.

Langkah jarak selamat, pemeriksaan suhu badan dan SafeEntry terus dilaksanakan sebagai langkah-berjaga-jaga.

Sungguhpun demikian, proses mengambil token-token ini memakan masa kurang lima minit sahaja.

Para penduduk di kawasan seperti Ang Mo Kio, Aljunied, Marine Parade dan Sengkang boleh menjangkakan untuk mendapatkan token masing-masing antara bulan September dengan Oktober.

Mereka yang tinggal di kawasan-kawasan seperti Clementi, Sembawang dan Pasir Ris pula boleh mendapatkannya pada bulan Oktober dan November.

CARA GUNA TOKEN TRACETOGETHER

Setiap token TraceTogether mempunyai kod QR yang unik dan ciri khasnya hanya boleh digunakan oleh penerimanya sahaja.

Token itu saling bertukar isyarat Bluetooth dengan token lain yang berada berhampiran atau dengan telefon bijak yang mempunyai aplikasi mudah alih TraceTogether.

Token-token itu amatlah ringan dan mudah untuk digunakan.

Para pengguna hanya perlu membawa token masing-masing apabila keluar rumah dan memastikan kod QR yang tertera pada token itu tidak ditutup.

Setiap token akan didaftarkan atas nama pengguna, sekali gus membolehkan para pegawai pengesanan kontak untuk mengenal pasti mereka yang telah mengunjungi tempat atau kawasan yang dikunjungi kes-kes positif COVID-19.

Sekiranya seseorang pengguna token TraceTogether dijangkiti COVID-19, ia perlu diserahkan secara fizikal kepada pihak berkuasa untuk mengambil data yang diperlukan untuk mencari senarai kontak rapat.

SIAPA DAN BILA BOLEH AMBIL TOKEN TRACETOGETHER?

Maklumat lanjut mengenai pengagihan token TraceTogether boleh didapatkan melalui laman https://token.gowhere.gov.sg/

Setiap rakyat Singapura yang berusia tujuh tahun ke atas boleh mengambil token tersebut.

Mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan mereka (NRIC) untuk mengesahkan identiti mereka.

Mereka juga boleh mengambil token tersebut bagi pihak keluarga masing-masing dengan membawa kad pengenalan mereka. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan