Skip to main content

Singapura

TOC, Twenty Two Thirty dikenakan POFMA atas dakwaan palsu tentang 26 Ridout Road

Anggaran Waktu Membaca:
TOC, Twenty Two Thirty dikenakan POFMA atas dakwaan palsu tentang 26 Ridout Road

(Gambar: Facebook/The Online Citizen)

SINGAPURA: The Online Citizen (TOC) diarahkan untuk menyertakan notis pembetulan pada artikel yang diterbitkan di laman webnya pada 14 Feb yang membuat kenyataan palsu mengenai penyewaan dan kerja-kerja yang dijalankan di 26 Ridout Road.

Sebagai sebahagian daripada Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), TOC juga dikehendaki menyertakan notis pembetulan serupa pada catatan Facebook dan X yang dikaitkan dengan artikel itu, menurut Kementerian Undang-Undang (MinLAW) pada Selasa (25 Feb).

Perintah pembetulan juga telah dikeluarkan terhadap akaun YouTube Twenty Two Thirty bagi video yang dimuat naik pada 16 Feb tentang 26 Ridout Road.

Ini bukan kali pertama TOC menerbitkan kenyataan palsu berhubung banglo kolonial hitam-putih di 26 dan 31 Ridout Road.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyewa 26 Ridout Road manakala Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan menyewa 31 Ridout Road.

Menurut laman web semakan fakta pemerintah Factually, TOC sebelum ini telah dikenakan arahan pembetulan pada 18 Feb 2024.

Sungguhpun demikian, TOC masih membuat dakwaan tidak berasas terhadap kedua-dua menteri itu, Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan agensi awam lain, menurut Factually.

Semasa perbahasan Parlimen mengenai perkara itu pada Julai 2023, Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong berkata kedua-dua Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan tidak melakukan sebarang kesalahan semasa menyewa dua hartanah negara di Ridout Road untuk kegunaan peribadi.

Siasatan, termasuk oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), tidak menemui bukti salah laku atau layanan istimewa diberikan kepada kedua-dua menteri itu.

Laporan siasatan oleh Menteri Kanan Teo Chee Hean juga mendapati kedua-dua menteri menjalankan urus niaga sewa dengan betul dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

FAKTA DIPUTAR BELIT, ANDAIAN TIDAK BERASAS

Artikel dalam Factually menerangkan dengan lebih lanjut mengapa kenyataan yang dibuat oleh TOC dan Twenty Two Thirty adalah palsu.

Laman-laman itu memaparkan "gambaran palsu dan mengelirukan" mengenai penyewaan dan kerja-kerja yang dijalankan di 26 Ridout Road dan menyebarkan pelbagai kepalsuan, katanya.

Factually membentangkan kepalsuan yang disebarkan oleh TOC dan Twenty Two Thirty:

- SLA telah memberi jaminan kepada Encik Shanmugam tentang lanjutan kepada tempoh pajakan 26 Ridout Road selepas tamat tempohnya pada 2027

- Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) tidak memastikan semua kelulusan diperolehi untuk kerja-kerja yang dijalankan di 26 Ridout Road

- Dana awam telah digunakan untuk menampung kerja-kerja yang dijalankan di 26 Ridout Road sejak 2024

“Catatan-catatan itu telah memutarbelitkan fakta dengan membuat kenyataan tidak berasas dan mengetepikan fakta utama yang tersedia secara umum,” menurut Factually.

Factually menegaskan bahawa SLA tidak memberi jaminan kepada Encik Shanmugam tentang lanjutan menjangkaui tamat tempoh sewa hartanah tersebut pada 2027.

Penyewaan untuk hartanah negara diberikan untuk tempoh dua atau tiga tahun, dengan perjanjian pembaharuan maksimum pada mulanya bagi tempoh setiap tiga tahun sehingga selama sembilan tahun.

SLA biasanya membenarkan pembaharuan tempoh sewa apabila tamat mana-mana tempoh sewa, tertakluk kepada keadaan pasaran semasa, melainkan pemerintah mempunyai rancangan lain untuk tapak tersebut atau penyewa mempunyai rekod prestasi yang buruk.

Artikel Factually turut menekankan bahawa 26 Ridout Road tertakluk kepada perjanjian pembaharuan sewa setiap tiga tahun sehingga sembilan tahun, bermula pada Jun 2018.

Tempoh sewa telah diperbaharui untuk tempoh tiga tahun ketiga dari Jun 2024 hingga Jun 2027 selaras dengan garis panduan semasa SLA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita