Skip to main content

Singapura

TMJ: Saya harap S'pura, M'sia dapat cari penyelesaian 'menang-menang'

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berharap Singapura dan Malaysia dapat mencari "penyelesaian menang-menang", berhubung isu ruang udara dan sempadan maritim.

Anggaran Waktu Membaca:
TMJ: Saya harap S'pura, M'sia dapat cari penyelesaian 'menang-menang'

TMJ harap Singapura dan Malaysia dapat mencapai penyelasaian berhubung pertikaian maritim dan pengurusan ruang udara. (Gambar: Tunku Ismail Sultan Ibrahim/Facebook)

Diterbitkan : 14 Dec 2018 08:38AM Dikemas Kini : 14 Dec 2018 08:43AM

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ) berharap Singapura dan Malaysia dapat mencari "penyelesaian menang-menang", berhubung isu ruang udara dan sempadan maritim.

Menerusi satu catatan Facebook semalam (13 Dis), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata: "Saya berharap kedua-dua negara dapat mencari penyelesaian menang-menang’ untuk sama-sama berjaya dan tidak terperangkap dengan isu yang tidak sepatutnya berlaku."

Beliau memuat naik gambar dirinya berjabat tangan dengan dua lelaki - seorang rakyat Singapura dan seorang lagi rakyat Malaysia yang kedua-duanya bekerja bersamanya.

"Di sebelah kanan saya ialah Prem Singh dari Unit Cawangan Khas, Singapura. Beliau sudah menjaga saya selama sembilan tahun. Di sebelah kiri saya pula adalah Leftenan Kolonel Samsyawal bin Muhamad dari Angkatan Tentera Malaysia (Unit Gerak Khas)... Beliau telah bekerja dengan saya sejak tiga tahun yang lalu," tulisnya.

"Di sini saya berada di tengah-tengah antara Singapura dan Malaysia. Kami bertiga adalah rakan baik, bekerjasama dengan baik dalam organisasi yang sama."

Ketegangan berlaku antara Singapura dengan Malaysia sejak beberapa minggu lalu berhubung sempadan maritim dan pengurusan ruang udara.

Pertikaian maritim tercetus selepas Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober, memasuki wilayah perairan Singapura di Tuas.

Singapura kemudian meluaskan had pelabuhan Tuas minggu lalu, didorong "perkembangan provokatif baru-baru ini" seperti pencerobohan kapal-kapal kerajaan Malaysia di perairan Singapura.

Malaysia juga menyatakan hasratnya untuk mengambil semula kawalan ruang udaranya di selatan Johor, dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyuarakan kebimbangan tentang kedaulatan dan kepentingan negara, menyusuli penerbitan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.

Singapura sudah menjelaskan bahawa prosedur-prosedur itu menjadikan peraturan keselamatan lebih jelas dan telus di mana prosedur-prosedur membentangkan laluan penerbangan yang sedia ada secara rasmi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita