Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tirai 2017 S'pura dilabuhkan lebih kukuh berbanding permulaan tahun, kata PM Lee

PM Lee mendedahkan ekonomi Singapura tumbuh 3.5 peratus pada 2017, lebih seganda berbanding unjuran awal.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Dec 2017 05:43PM Dikemas Kini : 31 Dec 2017 11:08PM

SINGAPURA: Singapura melabuhkan tirai tahun 2017 lebih kukuh berbanding permulaan tahun.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian dalam Amanat Tahun Barunya bagi 2018.

Beliau mendedahkan ekonomi Singapura tumbuh 3.5 peratus pada 2017, lebih seganda berbanding unjuran awal.

PM Lee juga berkata Parlimen akan berehat pada penggal pertengahan selepas Belanjawan dibentangkan dan tampuk kepimpinan generasi seterusnya akan memainkan peranan lebih besar apabila sesi Parlimen disambung semula pada bulan Mei.

PM Lee berkata ekonomi Singapura sudah meraih manfaat daripada prestasi ekonomi global yang meningkat dan juga menyaksikan peningkatan dari segi daya penghasilan.

Dari segi perpaduan sosial, Singapura mengambil langkah penting dalam memperkukuh keharmonian kaum, apabila Presiden Halimah Yacob menjadi ketua negara Melayu pertama dalam tempoh hampir 50 tahun.

Beliau menambah gerakan SG Secure menjadikan rakyat Singapura lebih sedar tentang ancaman pengganasan.

Hubungan Singapura dengan kuasa-kuasa besar dunia China dan Amerika Syarikat kekal positif.

Sungguh demikian, PM Lee menekankan bahawa sekitaran luar akan terus menjadi tidak menentu pada tahun 2018.

Ini disebabkan ketegangan di Semenanjung Korea, ancaman pengganasan serta pendirian Amerika Syarikat yang tidak jelas terhadap Asia dan negara-negara lain di dunia.

Secara berasingan, PM Lee menambah Singapura berharap untuk meneruskan hubungan baik dengan negara-negara jiran - Malaysia dan Indonesia - sedang kedua-duanya bersiap sedia mengadakan pilihan raya dalam tempoh dua tahun mendatang.

Pada tahun 2018 juga Singapura akan menjadi pengerusi ASEAN, di mana ia akan berusaha untuk terus memberi tumpuan kepada aspek daya bingkas dan inovasi.

Di Singapura sendiri, PM Lee berkata terdapat banyak agenda domestik.

Singapura akan terus menyusun semula ekonomi dan membantu tenaga kerja untuk terus mempertingkat diri.

Baik yang muda mahupun yang tua akan dijaga, dengan lebih banyak prasekolah serta kemudahan jagaan kesihatan dirancang.

Projek-projek prasarana besar juga akan dilaksanakan dalam sektor udara, laut dan kereta api bagi mempertingkat status Singapura sebagai hab pengangkutan.

Ini termasuk Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Pelabuhan Tuas Megaport dan Kereta Api Laju Kuala Lumpur -Singapura (HSR).

PM Lee menambah pelaburan jangka panjang ini perlu dilakukan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik kepada generasi seterusnya.

Beliau berkata banyak yang perlu dilakukan pada tahun depan.

Selepas Belanjawan, parlimen akan berehat seketika.

Apabila sesi baru parlimen dibuka pada bulan Mei, Presiden Halimah Yacob akan menyampaikan Ucapan Presiden beliau yang pertama, yang akan membentangkan agenda pemerintah bagi penggal seterusnya.

"Ia akan menandakan tampuk kepimpinan generasi keempat, yang akan menggalas tanggungjawab lebih berat dan membentangkan idea-idea mereka untuk Singapura," kata PM Lee.

Menurut PM Lee, Singapura sudah membina asas yang kukuh bagi masa depan dan hari-hari yang lebih baik menanti.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan