Skip to main content

Singapura

Tipu S$28,800 dari rakan, mantan ejen insuran dipenjara

Seorang bekas ejen insuran dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Isnin (3 Dis) kerana menipu rakan keluarganya sebanyak S$28,800.

Anggaran Waktu Membaca:
Tipu S$28,800 dari rakan, mantan ejen insuran dipenjara
Diterbitkan : 03 Dec 2018 10:18PM Dikemas Kini : 03 Dec 2018 10:20PM

SINGAPURA: Seorang bekas ejen insuran dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Isnin (3 Dis) kerana menipu rakan keluarganya sebanyak S$28,800.

Robin Sim Kia Wee, 41 tahun, memperdaya Encik Tay Eng Chuan untuk membuat beberapa pembayaran cek kepada syarikatnya atas alasan memperbaharui lindungan insuran. Kesalahan dilakukan antara Disember 2010 dan Februari 2013.

Encik Tay juga merupakan seorang saksi dalam perbicaraan Majlis Bandaran Ang Mo Kio yang sedang berlangsung. Tiada hubungan antara kedua-dua kes.

Encik Tay, seorang rakan kepada ayah Sim, pernah membeli insuran buat dirinya dan syarikatnya Tay Eng Chuan General Contractor sejak 2008. Sim memberitahu Encik Tay bahawa dia akan membantu memperbaharui polisi insuran syarikatnya dan insuran berkumpulan pekerja asing, namun akhirnya tidak berbuat demikian.

Malah dia sebenarnya sudah diberhentikan dari syarikat insuran American International Group Asia Pacific Insurance (AIG) sejak September 2011.

Sim meminta Encik Tay mengeluarkan cek ditujukan kepada syarikatnya, The Business Innovations Group. Encik Tay menurutkan permintaan itu dengan menyangka wang itu akan digunakan untuk memperbaharui polisi insuran AIG. Sebaliknya, Sim menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.

Kerani Encik Tay membuat aduan polis pada April 2013 selepas ketua operasi dan pentadbiran AIG meneliti surat oleh Sim kepada Encik Tay dan mendapati ia bukan dari syarikat itu, seperti yang Sim dakwa.

Sim mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menipu, dengan tujuh lagi pertuduhan diambil kira. Bagi setiap pertuduhan, Sim boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita