Skip to main content

Singapura

Tipu bekal pelitup muka & sarung tangan COVID-19: Lelaki dipenjara selepas lesapkan S$3.79 Juta

Anggaran Waktu Membaca:
Tipu bekal pelitup muka & sarung tangan COVID-19: Lelaki dipenjara selepas lesapkan S$3.79 Juta

Beberapa pelitup muka. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 07 Aug 2026 08:44PM
SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara pada Jumaat (7 Ogos) kerana memperdaya 11 mangsa sebanyak S$3.79 juta dengan berpura-pura menjual sarung tangan, pelitup muka dan penyah kuman untuk tangan semasa pandemik COVID-19.

Ketika kes COVID-19 mula meningkat pada Januari 2020, Gerald Chan Tzen-Chou menawarkan pelbagai bekalan perubatan melalui sebuah syarikat.

Chan, 48 tahun, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun sembilan bulan, berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan reman pada Disember 2020.

Chan berbohong kepada pelanggannya bahawa dia pengedar sah pelitup muka 3M dan dia membekalkan produk-produk ini ke hospital-hospital di Singapura.

Untuk meyakinkan mangsa, dia menyimpan kotak bekalan perubatan di pejabatnya dan memenuhi tempahan kecil sebelum mendorong mereka membuat tempahan lebih besar.


Dia turut memperdaya seorang mangsa supaya melabur dalam sebuah kilang pelitup muka di Indonesia yang dikatakan mampu memberi pulangan S$1,000 sehari. Kilang dan pelaburan itu sebenarnya tidak wujud.

Sebaliknya, Chan menggunakan wang mangsa untuk perbelanjaan peribadi, menyelenggara tiga pejabat, membeli hadiah dan berjudi. Dia turut kehilangan S$418,933 di kasino Marina Bay Sands antara Disember 2019 dengan April 2020.

Dia pertama kali ditangkap pada April 2020, namun terus memperdaya mangsa lain selepas dibebaskan dengan ikat jamin sebelum diberkas semula pada Disember tahun yang sama.

Pihak pendakwa memaklumkan mangsa masih menanggung kerugian melebihi S$3.2 juta, manakala Chan hanya memulangkan S$585,500 kepada tiga mangsa.

Hakim berkata kerugian besar yang dialami mangsa serta hakikat bahawa Chan melakukan kebanyakan kesalahan ketika dibebaskan dengan ikat jamin merupakan faktor yang memburukkan kes.

Mangsa terbesar kerugian sebanyak S$850,000 selepas Chan memperdayanya dengan mendakwa syarikatnya bakal menerima penghantaran 10 juta pelitup muka 3M. Mangsa membayar deposit S$800,000, namun penghantaran itu sebenarnya tidak pernah wujud.

Chan menggunakan kaedah sama untuk memperdaya 10 lagi mangsa, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 laporan polis dibuat antara April 2020 dengan April 2021.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita