Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan ROMM dapati pasangan nilai positif program 'Bersamamu'

Satu tinjauan yang dijalankan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) mendapati secara keseluruhan, para pasangan Melayu/Islam yang menjalani program 'Bersamamu' berpuas hati dengan program itu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu tinjauan yang dijalankan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) mendapati secara keseluruhan, para pasangan Melayu/Islam yang menjalani program 'Bersamamu' berpuas hati dengan program itu. 

Daripada lebih 500 responden yang terlibat, mereka secara purata memberi penilaian kepuasan sebanyak 4.63 mata daripada sejumlah 5 mata.  

Perangkaan itu didedahkan oleh ROMM di Simposium Serantau CIFA dan Persidangan Keluarga Asia MSF 2022 (CIFA-AFC 2022) yang diadakan pada Selasa (8 Nov). 

Tetamu kehormat Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat turut melancarkan pelan Singapura Mesra Keluarga 2025 di acara itu. 

PROGRAM 'BERSAMAMU' DINILAI POSITIF PARA PASANGAN  

Antara sebab-sebab bagi kepuasan pasangan-pasangan terhadap program 'Bersamamu' adalah hubungan erat yang dijalinkan bersama Kadi dan Naib Kadi serta sokongan yang diberikan sepanjang proses pernikahan mereka. 

Menurut dapatan kajian tersebut yang dijalankan sejak bulan Julai lalu, kebanyakan pasangan mengatakan bahawa program 'Bersamamu' dapat mengurangkan tekanan selain memperolehi pandangan baru mengenai perkahwinan. 

"Kita dapati kadi-kadi telah berjaya untuk memberikan tip tentang kemahiran dalam hidup berumahtangga serta panduan untuk mereka melengkapkan diri sama ada perancangan kewangan, komunikasi suami isteri," jelas Kadi, Ustaz Nor Razak Bakar.

''

Sesi perkenalan merupakan aspek penting dalam program 'Bersamamu'. 

Naib Kadi ROMM, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid berkata: "Saya rasa sesi bertemu muka sebelum mereka bernikah adalah amat penting kerana itulah masa untuk kita mengenali dan itu juga peluang pertama untuk kita melihat sama ada pasangan ini mempunyai masalah tertentu atau tidak yang memerlukan bantuan lebih sama ada dari kami atau dari agensi-agensi lain. 

Menurut Ustaz Tarmizi yang membuat pembentangan mengenai program 'Bersamamu' kepada lebih 400 hadirin di acara CIFA-AFC 2022, sesi bertemu muka juga membuat pasangan menjadi lebih selesa untuk membuat aduan kepada para kadi dan naib kadi setelah mereka mendirikan rumahtangga.

"Bagi saya ini bukan satu petanda masalah tetapi petanda yang baik kerana mereka sudah rasa selesa untuk menghubungi kami dan meminta nasihat apabila mereka memerlukannya. Ini berbeza daripada dahulu apabila mereka tidak tahu ke mana untuk mendapat bantuan," jelas Ustaz Tarmizi. 

''

Ustaz Nor Razak juga menyuarakan bahawa maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan bagi melaksanakan beberapa perubahan bagi program 'Bersamamu' dalam tahun-tahun mendatang. 

"Kami ingin kenal pasti di peringkat awal apakah cabaran yang mereka hadapi. Jadi kami ingin tahu bagaimana kami boleh bantu, sama ada menerusi kadi kami atau naib kadi kami. Mereka akan merujuk kepada agensi-agensi tertentu untuk pasangan tersebut."

"Kami ingin melihat bagaimana peningkatan taraf kehidupan pasangan tersebut berbanding dahulu. Bukan hanya tentang jangka masa perkahwinan mereka lama atau sebaliknya, tetapi nilai positif daripada rumah tangga tersebut. Kami harap kajian ini akan membantu kami untuk mereka membina rumahtangga yang stabil dan berkualiti," kata Ustaz Nor Razak.

Dalam pada itu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Faishal Ibrahim turut gembira akan keberkesanan program itu sejak ia dilancarkan pada 2019. 

"Ini menunjukkan kita sama-sama meraikan perkahwinan dan ingin mengukuhkan permulaan baik. Jadi dengan ada maklum balas yang positif daripada pasangan dan masyarakat, mereka memberikan sokongan kuat kerana mahukan keluarga kukuh dan ibu bapa inginkan anak-anak mereka mempunyai permulaan baik dalam perkahwinan mereka," ujar Dr Faishal. 

Dr Faishal juga berharap masyarakat akan terus memberikan sokongan penuh bagi program 'Bersamamu'. 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan