Skip to main content

Singapura

Tinjauan rambang: Ramai berasa beri ‘duit salam’ di majlis kahwin adat orang Melayu

Hujung tahun memang musim kahwin, dan satu perkara yang difikirkan setiap kali ke majlis kahwin ialah berapa jumlah duit sumbangan yang patut dihulurkan. Namun dengan kekerapan majlis kahwin yang diadakan, timbul beberapa persoalan tentang apakah jumlah yang ‘wajar’ bagi wang 'salam keruk'?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hujung tahun memang musim kahwin, dan satu perkara yang difikirkan setiap kali ke majlis kahwin ialah berapa jumlah duit sumbangan yang patut dihulurkan.

Namun dengan kekerapan majlis kahwin yang diadakan pada hujung minggu sama ada di bawah kolong blok, hotel atau dewan serbaguna, timbul beberapa persoalan tentang apakah jumlah yang ‘wajar’ bagi wang 'salam keruk'?

Malah sering ada perbahasan tentang adakah memberi ‘duit salam’ benar-benar sebahagian daripada adat dan budaya orang Melayu kita? Sekiranya tidak diberikan, adakah ia melanggar adat?

(Gambar; Unsplash/Wu Jianxiong)

Bagi mendapatkan jawapan terhadap soalan-soalan berikut, BERITAmediacorp menjalankan satu tinjauan rambang ke atas 100 responden berusia antara 18 hingga 75 tahun.

Berdasarkan tinjaun itu, 65% responden bersetuju bahawa ‘duit salam’ adalah adat Melayu. 35% responden sebaliknya berpandangan sebaliknya.

Menariknya, majoriti daripada responden yang bersetuju berpendapat, ia merupakan satu amalan yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi. Malah, ada yang menyatakan ‘duit salam’ adalah sesuatu yang unik bagi orang Melayu.

Salah seorang daripada responden berpendapat:

Ya, yang lebih unik kepada orang Melayu adalah apabila saudara mara atau kenalan terdekat jumpa ibu bapa beri 'duit sumbangan' secara persendirian, jelas membayangkan hubungan itu sebagai asas mereka ingin meringankan perbelanjaan keluarga pengantin.

Mereka yang berpandangan sebaliknya pula berpendapat ‘duit salam’ bukanlah satu tuntutan adat, namun ia lebih bergantung kepada sifat keihsanan dan kemanusiaan individu yang meringankan beban perbelanjaan pengantin.

Ini pendapat dua orang responden yang menyatakan 'duit salam' bukan adat Melayu:

Tidak, ia ikhlas. Nak beri berilah tidak beri pun tidak ada masalah dan semuanya juga boleh dikatakan tergantung kepada kemampuan dan pemikiran seseorang individu.


POTONGAN SURATKHABAR, ‘ENVELOPE KOSONG’

Rata-ratanya 64% responden wanita dan 35% responden lelaki yang ditinjau menyatakan mereka akan memberikan ‘duit salam’ meskipun mereka perlu menghadiri lebih dari satu jemputan untuk dihadiri dalam sehari.

Bersangkut paut dengan sebab rasa ikhlas dan ihsan, 37% daripada 100 responden menyatakan mereka memberi 'duit salam' sebanyak $10, manakala 36% daripada mereka pula memberikan sebanyak $20.

Sementara 44% daripada mereka menyatakan 'duit salam' yang diberikan berbeza mengikut lokasi majlis, 47% bagaimanapun tidak membezakan wang sumbangan dengan tempat majlis.

Ini bermakna, majoriti daripada responden yang ditinjau tetap akan memberikan jumlah yang sama tidak kira lokasi bagi majlis perkahwinan.

Tinjauan rambang ini juga memberi indikasi bahawa mempelai juga akan mendapat ‘pulangan’ hasil daripada wang yang dibelanjakan.

Namun sebahagian responden turut berkongsi bahawa ‘duit salam’ tidak dapat membayar semula semua kos penganjuran majlis perkahwinan.

Dalam sesetangah kes, ada yang mendapat sampul berisi potongan suratkhabar, ada pula yang mendapat sampul kosong!

‘ADAT YANG DIADATKAN’ 

Menurut Dr Abbas Mohammad Sharif, pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE), ‘duit salam’ yang dihulurkan tidak seharusnya menjadi satu beban bagi tetamu yang hadir. Sebaliknya ia perlu diberikan mengikut kemampuan tetamu yang dijemput itu.

Ini lebih-lebih lagi melihat kepada makna di sebalik ‘duit salam’ itu sendiri yang sememangnya bukan sebahagian daripada adat Melayu. Sebaliknya, memberi 'hadiah' dalam apa jenis bentuk menurut Dr Abbas adalah sebahagian daripada adat Melayu.

Dr Abbas menarik perhatian ada empat jenis adat Melayu di sini, Adat Langkawi (yang diamalkan tidak bertentangan dengan syarak), Adat yang Teradat (sesuatu yang tidak diamalkan kerana ada perkara-perkara yang buruk sekiranya dilakukan), Adat yang Diadatkan (adat yang meninjau amalan orang ramai) dan Adat Istiadat.

Memberi 'duit salam' sewaktu majlis perkahwinan adalah Adat yang Diadatkan, tambah Dr Abbas.

Menurutnya, trend memberi 'duit salam' itu bermula pada tahun 1970-an. Sebelum itu, mereka yang diundang ke majlis perkahwinan Melayu memberikan hadiah tangan berbentuk beras, gula, atau pinggan mangkuk. Barang-barang asas ini kemudian diletakkan di depan pelamin sebagai 'hias dais'.

"Lama-kelamaan apabila persetujuan di kalangan orang-orang tertentu, barang-barang yang dihimpunkan di depan pelamin boleh dikatakan terlalu banyak barang-barang itu.

"Akhirnya, duit salam diberikan, dan biasanya pengantin atau ibu memberikan berkat menunjukkan terima kasih atas kehadiran dan pengunjungan orang itu," jelas beliau yang mengajar modul "Amalan Berbudaya orang-orang Melayu" di NIE.

Lantaran itu, Dr Abbas berkata pemberi tidak perlu rasa terbeban dan penerima pula tidak sepatutnya meletakkan jangkaan.

"Terima sahaja hakikat bahawa kita menganjurkannya untuk meraikan majlis perkahwinan kita, apa yang mereka beri terima sahaja, kita tidak boleh mengharapkan memberi dengan begitu tinggi sebagai duit salam itu," tambah Dr Abbas.

Penting bagi masyarakat Melayu menjadi 'celik adat' kata Dr Abbas agar masyarakat tidak rasa terbeban dan terikat atas nama 'adat'.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita