Skip to main content

Singapura

Tinjauan MHA: Ramai penduduk dari rantau ini percaya hukuman mati SG berhasil cegah pengedar dadah

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan MHA: Ramai penduduk dari rantau ini percaya hukuman mati SG berhasil cegah pengedar dadah

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Oct 2022 12:11PM Dikemas Kini : 22 Oct 2022 11:53AM
SINGAPURA: Tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mendapati bahawa ramai penduduk dari bandar-bandar di rantau ini percaya bahawa hukuman mati berkesan dalam menghalang individu daripada mengedar dadah ke Singapura.

Dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Rabu (19 Okt), MHA turut membentangkan dua kajian lain yang menunjukkan sokongan padu dalam kalangan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) terhadap hukuman tersebut.

Kajian serantau itu dijalankan melalui dua fasa, iaitu pada 2018 dan 2021.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa 87 peratus responden percaya bahawa penguatkuasaan hukuman mati menyebabkan individu tidak mahu mengedar dadah dalam jumlah yang banyak ke Singapura.

83 peratus responden percaya bahawa hukuman mati adalah lebih berkesan berbanding hukuman penjara seumur hidup dalam menghalang para pengedar dadah.

Kajian tersebut yang melibatkan seramai 7,221 responden dari enam bandar di rantau ini juga mendapati bahawa 94 peratus penduduk dari rantau ini menganggap Singapura selamat. Manakala, 80.5 peratus penduduk di rantau ini sedia maklum tentang undang-undang terhadap jenayah serius seperti pembunuhan dan pengedaran dadah.

"Enam bandar dari rantau ini dipilih disebabkan oleh bilangan besar pelawat daripada bandar-bandar itu, yang mengunjungi Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini," menurut MHA.

Bandar-bandar itu bagaimanapun tidak dinamakan dalam laporan tersebut. Mediacorp juga sudah menanyakan MHA mengenai negara asal para responden.

Enam bandar itu juga merupakan tempat kebanyakan pengedar dadah memasuki Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kajian tersebut turut memberi tumpuan kepada responden yang berusia dalam lingungan antara 20 hingga 39 tahun, dengan kebiasaan tahap sederhana hingga tinggi tentang Singapura.

Selain itu, tinjauan itu juga mendapati bahawa persepsi penduduk serantau di luar Singapura turut "mencerminkan sentimen padu" dalam kalangan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berhubung kesan penghalang bagi hukuman mati.
SIKAP TERHADAP HUKUMAN MATI DI SINGAPURA

Satu kajian yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 2020 mendapati bahawa 79 peratus responden yang merupakan rakyat Singapura dan PR percaya bahawa hukuman mati berupaya mencegah individu daripada mengedar sejumlah besar dadah ke Singapura.

Kajian tersebut, yang melibatkan 2,000 penduduk, menunjukkan bahawa 70 peratus responden percaya bahawa hukuman mati lebih berkesan daripada hukuman penjara seumur hidup dalam mencegah individu daripada mengedar dadah.

Kajian berasingan yang dijalankan oleh Divisyen Kajian dan Statistik MHA (RSD) mendapati bahawa sebahagian besar responden bersetuju atau sangat bersetuju dengan hukuman mati mandatori sebagai hukuman yang sesuai bagi kesalahan mengedar sejumlah besar dadah (65.6 peratus) berbanding kesalahan menggunakan senjata api (71.1 peratus) dan kesalahan melakukan pembunuhan dengan sengaja (80.5 peratus).

Sebahagian besar responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa sesetengah bentuk hukuman mati - mandatori atau mengikut budi bicara - adalah hukuman wajar bagi kesalahan melakukan pembunuhan dengan sengaja (88.2 peratus), bagi kesalahan menggunakan senjata api (82 peratus) dan bagi kesalahan mengedar sejumlah besar dadah (73.4 peratus).

HUKUMAN MATI BAGI JENAYAH SERIUS

Kedua-dua kajian tersebut juga menunjukkan sokongan kuat di Singapura dalam kalangan penduduk negara ini terhadap pelaksanaan hukuman mati sebagai hukuman terhadap jenayah-jenayah paling serius.

Misalnya, berdasarkan tinjauan RSD, 73.7 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati patut digunakan bagi jenayah-jenayah paling serius.

Tinjauan RSD, yang melibatkan 2,000 penduduk yang merangkumi kedua-dua rakyat dan PR Singapura, turut menunjukkan bahawa sebahagian besar responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati di Singapura berhasil menghalang pengedaran sejumlah besar dadah (83.2 peratus), kesalahan penggunaan senjata api (85.9 peratus) dan melakukan pembunuhan dengan sengaja (85.9 peratus).

Sebilangan besar responden (88.5 peratus) turut menyuarakan keyakinan mereka terhadap polis dan
Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam memastikan individu yang didakwa dalam kes-kes hukuman mati, disiasat dengan adil dan menyeluruh.
Tinjauan itu juga mendapati 88.1 peratus responden yakin terhadap Pejabat Peguam Negara (AGC) dan mahkamah dalam memastikan para individu yang didakwa dibicarakan dengan adil dan menyeluruh.

Menurut MHA, ketiga-tiga kajian itu bermatlamat untuk memahami dengan lebih mendalam tentang pandangan penduduk tempatan dan persepsi para penduduk dari bandar-bandar di rantau ini terhadap penggunaan hukuman mati di Singapura.

Ketiga-tiga kajian berkenaan turut menunjukkan sokongan sangat padu dalam kalangan penduduk Singapura bagi penggunaan hukuman mati di negara ini untuk jenayah paling serius seperti pembunuhan dengan sengaja, penggunaan senjata api dan pengedaran sejumlah besar dadah.

"Terdapat juga kesepakatan yang jelas, baik di dalam negara mahupun di rantau ini, bahawa hukuman mati berkesan dalam menghalang individu daripada mengedar dadah ke Singapura dan lebih berkesan daripada hukuman penjara seumur hidup, dalam berbuat demikian."

Hasil kajian-kajian itu boleh didapatkan di laman web MHA.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita