Tinjauan MHA: Lebih ramai penduduk SG sokong hukuman mati untuk jenayah serius
Sebelum itu, satu tinjauan dijalankan pada 2021 untuk "memahami tanggapan orang ramai dengan lebih baik" dan pihak kementerian menjalankannya semula dua tahun kemudian.
Menurut tinjauan terbaru itu, 77.4 peratus responden sangat bersetuju atau bersetuju hukuman mati dikenakan bagi jenayah paling serius, seperti membunuh dan mengedar "sejumlah besar dadah".
Dapatan itu lebih tinggi daripada 73.7 peratus dalam tinjauan 2021.
Terdapat "peningkatan ketara secara statistik" dalam nisbah responden yang sangat bersetuju atau bersetuju dengan hukuman mati mandatori sebagai hukuman bagi tiga jenayah iaitu mengedar sejumlah besar dadah, melepaskan atau cuba melepaskan senjata api dengan niat untuk menyebabkan kecederaan, dan membunuh.
Kira-kira 68.7 peratus responden dalam tinjauan terbaru itu bersetuju atau sangat bersetuju hukuman mati mandatori adalah sesuai sebagai hukuman bagi jenayah mengedar sejumlah besar dadah, meningkat daripada 65.6 peratus pada 2021.
Terdapat juga peningkatan dalam kalangan mereka yang bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman sedemikian adalah sesuai untuk kesalahan senjata api - daripada 71.1 peratus pada 2021 kepada 74.3 peratus pada 2023.
Bagi pembunuhan dengan sengaja, 85 peratus responden pada 2023 sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah sesuai sebagai hukuman, lebih tinggi daripada 80.5 peratus pada 2021.
Perangkaan awal tinjauan 2023 didedahkan oleh Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam satu kenyataan menteri pada Mei.
"Terdapat sokongan luas daripada penduduk kita kerana kami terbuka tentang rasional, keadaan dan perlindungan terhadap penggunaan hukuman mati," kata Encik Shanmugam.
HUKUMAN MATI IKUT BUDI BICARA
Responden dalam tinjauan tersebut yang tidak bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah sesuai untuk ketiga-tiga jenayah berkenaan, selanjutnya ditanya sama ada hukuman mati mengikut budi bicara atau penjara seumur hidup adalah hukuman yang lebih sesuai.
Dalam kumpulan ini, beberapa responden berkata bahawa hukuman mati mengikut budi bicara adalah hukuman yang lebih sesuai, kata MHA.
“Dengan mengambil kira responden ini, tinjauan 2023 mendapati majoriti besar responden bersetuju bahawa beberapa bentuk hukuman mati - sama ada mandatori atau mengikut budi bicara - adalah sesuai sebagai hukuman bagi ketiga-tiga jenayah ini.
"Kadar ini adalah sama dengan tinjauan pada 2021," tambahnya.
Daripada hasil penemuan itu, 75.5 peratus responden bersetuju bahawa beberapa bentuk hukuman mati adalah sesuai untuk jenayah mengedar sejumlah besar dadah, meningkat daripada 73.4 peratus pada 2021.
Bagi kesalahan senjata api, 81.3 peratus menyokong beberapa bentuk hukuman mati sebagai hukuman, turun daripada 82 peratus pada 2021.
Bagi pembunuhan dengan sengaja, 88.7 peratus bersetuju bahawa beberapa bentuk hukuman mati adalah sesuai, lebih tinggi sedikit daripada 88.2 peratus pada 2021.
PENCEGAHAN
Tinjauan itu juga mendapati bahawa sebahagian besar responden sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati bertindak mencegah tiga jenayah paling serius itu daripada berlaku, berbanding penemuan pada 2021.
- Mengedar sejumlah besar dadah: 87.9 peratus pada 2023, meningkat daripada 83.2 peratus pada 2021.
- Kesalahan senjata api: 90.2 peratus pada 2023, meningkat daripada 85.9 peratus pada 2021.
- Membunuh: 90.2 peratus pada 2023, meningkat daripada 85.9 peratus pada 2021.
Responden juga ditanya sama ada mereka merasakan bahawa hukuman mati mempunyai kesan pencegahan tambahan terhadap hukuman penjara seumur hidup.
"Dalam tinjauan 2023, terdapat peningkatan yang ketara secara statistik bahawa responden yang sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati adalah lebih berkesan berbanding dengan hukuman penjara seumur hidup dalam menghalang orang ramai daripada mengedar sejumlah besar dadah, melakukan kesalahan senjata api, dan melakukan pembunuhan," kata MHA.
Menurut penemuan itu, 88.7 peratus responden mempunyai keyakinan bahawa tertuduh dalam kes hukuman mati menjalani siasatan yang adil dan teliti, meningkat sedikit daripada 88.5 peratus pada 2021.
Majoriti (87.9 peratus) juga mempunyai keyakinan bahawa individu berkenaan menjalani ujian yang adil dan ketat, berbanding 88.1 peratus dalam tinjauan 2021.
Sementara itu, 84.3 peratus percaya terdapat perlindungan yang mencukupi untuk memastikan tiada pelaksanaan yang salah, berbanding 85.3 peratus dalam tinjauan sebelumnya.
Untuk lebih memahami perasaan responden tentang hukuman mati mandatori, tinjauan 2023 memperkenalkan tiga soalan baharu:
- Sama ada hukuman mati mandatoribertindak sebagai penghalang yang kuat terhadap jenayah paling serius di Singapura
- Sama ada menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati mengikut budi bicara akan mengakibatkan peningkatan jenayah berat di Singapura
- Sama ada mereka lebih suka mengekalkan hukuman mati mandatori di Singapura
Kebanyakan responden sangat bersetuju atau bersetuju dengan kenyataan tersebut, kata MHA.
Kira-kira 75.6 peratus responden sangat bersetuju atau bersetuju dengan kenyataan bahawa mereka lebih suka hukuman mati mandatori dikekalkan bagi kesalahan mengedar sejumlah besar dadah.
Bagi kesalahan senjata api, kira-kira 82.2 peratus bersetuju atau sangat bersetuju, manakala 87.7 peratus bersetuju atau sangat bersetuju untuk pembunuhan dengan sengaja.
Tinjauan itu juga mendapati peningkatan ketara secara statistik dalam bahagian penduduk yang sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati mandatori bertindak sebagai pencegahan lebih besar daripada hukuman mati mengikut budi bicara untuk jenayah yang paling serius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.