Skip to main content

Singapura

Tinjauan: Kerja sukarela dalam kalangan syarikat perlu dipergiat

Sekitar separuh (52 peratus) daripada 707 syarikat yang ditinjau melibatkan firma mereka dalam pendermaan korporat.

Anggaran Waktu Membaca:
Tinjauan: Kerja sukarela dalam kalangan syarikat perlu dipergiat

Sekitar separuh 707 syarikat yang menyertai tinjauan melakukan kerja sosial.

Diterbitkan : 28 Jun 2018 07:48PM Dikemas Kini : 28 Jun 2018 07:50PM

SINGAPURA: Sekitar separuh (52 peratus) daripada 707 syarikat yang ditinjau melibatkan firma mereka dalam pendermaan korporat.

Kebanyakan daripadanya (64 peratus) sudahpun menyepadukan proses pendermaan itu ke dalam operasi utama syarikat.

Demikian menurut dapatan Tinjauan Perdermaan Korporat 2017 yang dikeluarkan hari ini (28 Jun).

"Banyak perusahaan yang mempertimbangkan tentang: Bagaimana kami boleh sejajarkan matlamat syarikat supaya ia relevan kepada masyarakat, relevan kepada pihak-pihak berkepentingan dan juga kepada kakitangan? Kami gembira tentang (langkah mereka mempertimbangkan) itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Kebangsaan (NVPC), Melissa Kwee, yang menjalankan tinjauan itu.

Sekalipun begitu, beliau menambah, syarikat-syarikat boleh melakukan lebih banyak lagi dari segi mempelbagaikan cara mereka melakukan pendermaan korporat.

Tinjauan itu mendapati cara yang paling lazim bagi syarikat-syarikat menyumbang kepada masyarakat adalah dalam bentuk kedermawanan (89 peratus). Ini termasuk derma wang tunai, agihan barangan atau menawarkan khidmat dan potongan derma menerusi gaji pekerja.

Namun, tidak banyak yang melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela (hanya 39 peratus), kata Cik Kwee.

"Selain sumbangan wang tunai, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat untuk menyumbang kepada masyarakat. Seringkali juga kita terlepas melakukannya menerusi cara-cara yang paling mudah.Misalnya melalui kemahiran, khidmat atau produk yang boleh diberi kepada masyarakat yang memerlukan," katanya.

PEMIMPIN KORPORAT MAINKAN PERANAN PENTING

Dalam pada itu, tinjauan tersebut juga mendedahkan bahawa para pemimpin korporat memainkan peranan penting dalam memupuk budaya memberi.

Syarikat-syarikat di mana para pegawai atasan sering terlibat dalam kerja-kerja sedemikian, didapati mampu menarik lebih ramai kakitangan untuk melakukan kerja-kerja sukarela dan mengumpul jumlah derma lebih besar.

Namun, tinjauan itu juga mendapati 90 peratus syarikat tidak mempunyai pegawai khas untuk mengendalikan perdermaan korporat.

Ia turut menyatakan bahawa anjakan paradigma dan budaya dalam kalangan korporat diperlukan untuk mengubah syarikat-syarikat dari hanya sekali-sekala bersikap dermawan kepada firma yang kerap menyumbang kembali kepada masyarakat. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita