Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tinjauan: Guru S'pura bekerja lebih lama setiap minggu dari purata OECD

Waktu bekerja guru-guru di Singapura secara purata lebih panjang berbanding negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Namun, waktu bekerja mereka lebih singkat daripada sebelumnya. Demikian menurut satu hasil tinjauan yang dikeluarkan hari ini (19 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jun 2019 08:33PM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 10:43PM

SINGAPURA: Waktu bekerja guru-guru di Singapura secara purata lebih panjang berbanding negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Namun, waktu bekerja mereka lebih singkat daripada sebelumnya. Demikian menurut satu hasil tinjauan yang dikeluarkan hari ini (19 Jun).

Mereka dilaporkan bekerja 46 jam seminggu pada 2018, menurut Kajian Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran (TALIS) bagi guru-guru sekolah menengah bawah. Ini lebih lama berbanding purata OECD iaitu 39 jam. Masa bekerja ini termasuk waktu yang diluangkan di luar sekolah.

Ini meletakkan guru-guru Singapura di tempat ketujuh dalam senarai guru paling rajin dari 48 sistem pendidikan berbeza. Guru-guru menengah bawah Jepun bekerja bagi tempoh paling lama setiap hari, disusuli dengan Kazakhstan dan mereka yang dari Alberta, Kanada.

Keseluruhannya, sekitar 3,300 guru dan pengetua dari 157 sekolah awam dan 12 sekolah swasta yang dipilih secara rambang, menyertai tinjauan online itu.

KURANG URUS KERJA PENTADBIRAN

Pada 2013, ketika tinjauan sebelum ini dijalankan, waktu bekerja guru-guru di Singapura lebih panjang, iaitu 48 jam seminggu.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan waktu yang diluangkan di tempat kerja sebahagian besarnya merosot kerana berkurangnya tugasan pentabiran. Jumlah jam yang diluangkan bagi kerja-kerja seperti itu jatuh dari 5.3 jam seminggu pada 2013 kepada 3.8 jam pada 2018. Ini bagaimanapun lebih tinggi daripada purata OECD iaitu 2.7 jam.

Satu lagi tugasan lazim pentadbiran - mendapatkan surat izin daripada ibu bapa bagi lawatan pembelajaran - juga diperkemas menerusi satu aplikasi yang membolehkan ibu bapa memberi izin secara digital.

MASA SEMAK KERJA PELAJAR JUGA BERKURANGAN

Daripada 46 jam, 18 jam diluangkan untuk mengajar.

Guru-guru juga meluangkan masa untuk merancang kegiatan dalam bilik darjah, membuat persiapan, terlibat dalam kegiatan-kegiatan ko-kurikular dan menyemak kerja rumah para pelajar.

Dalam urusan menyemak kerja-kerja pelajar, para guru kini boleh memanfaatkan wadah online yang dapat memberi gambaran tentang jurang pembelajaran para pelajar.

MOE menyatakan: "Ini akan dapat menjimatkan masa kerana yang penting guru-guru kita berupaya melihat kelemahan mereka dan mengambil langkah seterusnya."

Guru-guru meluangkan masa 7.5 jam seminggu untuk menyemak pada 2018, lebih rendah berbanding 8.7 jam pada 2013. Rakan-rakan sejawatan di negara-negara OECD lain pula meluangkan 4.2 jam untuk melakukan itu.

Ditanya jika Singapura akan mencuba memastikan waktu bekerja guru-gurunya lebih singkat atau setaraf dengan purata 39 jam seminggu OECD, seorang jurucakap MOE menyatakan: "Soalan yang sering ditanyakan adalah 'apa yang dijadikan sebagai ukuran'? Saya rasa jawapannya adalah apa yang kita rasa perlu dilakukan bagi para pelajar kami dan memastikan mereka bersiap sedia menghadapi masa hadapan. Angka apa yang menjadi perangkaan tepat? Tiada siapa yang mampu menjelaskan."

Beliau menambah, tumpuan kementerian adalah untuk memastikan guru-guru dijaga dengan baik, dan mereka bekerja keras kerana benar-benar ingin mengajar dan membantu para pelajar sedaya mungkin.

MAHU LEBIH BANYAK LATIHAN BANTU PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Namun, sesetengah guru merasakan ada keperluan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam mendidik para pelajar berkeperluan khas dalam bidang pendidikan. Pada 2018, peratusan guru yang menyatakan ada keperluan seumpama itu adalah 20 peratus, berbanding 15 peratus pada 2013.

"Ini mencerminkan keinginan guru-guru kita untuk melengkapi diri mereka dengan kemahiran-kemahiran dan keupayaan yang perlu bagi memenuhi keperluan para pelajar yang berbeza-beza. Ini sedang sekolah-sekolah kita menjadi lebih inklusif," menurut MOE.

Buat masa ini, semua sekolah mempunyai sebuah kumpulan teras yang dianggotai guru-guru yang mempunyai kemahiran mengajar para pelajar berkeperluan khas pada tahap sederhana.

Kadar guru yang mengambil bahagian dalam pembangunan profesional meningkat dari 23 peratus pada 2013 kepada 35 peratus pada 2018.

Para guru juga kian mengambil pendekatan yang menggalak pembelajaran lebih menyeluruh, di samping lebih yakin menggunakan pelbagai kaedah penilaian, menurut tinjauan itu lagi.  

Sumber : CNA/AQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan