Tingkah laku buruk dalam lif merosot 4 kali ganda sejak 2017
Usaha menyenggara lif-lif HDB di majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) kini dilakukan dengan lebih pantas dan cekap melalui bantuan kamera pengawasan yang dihubungkan dengan sebuah sistem pemantauan.

Panel Paparan Digital dilihat di sebuah blok dekat Strathmore Avenue.
SINGAPURA: Usaha menyenggara lif-lif HDB di majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) kini dilakukan dengan lebih pantas dan cekap melalui bantuan kamera pengawasan yang dihubungkan dengan sebuah sistem pemantauan.
Kes-kes tingkah laku yang membinasakan seperti butang lif yang rosak dan panel kaca yang pecah merosot hampir 4 kali ganda sepanjang dua tahun lalu.
Menggunakan lif menjadi rutin harian bagi kebanyakan orang tetapi tidak ramai yang akan perasan kewujudan alat yang dikenali sebagai Sistem Pengawasan Lif atau LSS.
Peranti itu mungkin kecil tetapi ia memainkan peranan besar dalam menguruskan tingkah laku membinasakan dalam lif yang boleh menyebabkan kerosakan. Penggunaannya membolehkan pemantauan ruang lif secara lebih cekap.
"Pada masa lalu, kita perlu merujuk kepada maklum balas daripada penduduk. Berdasarkan maklumat itu, kita perlu menangkap mereka yang didapati bersalah sebelum boleh menguatkuasakannya. Ia menjadi sangat membebankan kerana, seperti yang anda tahu, majlis bandaran hanya ada semasa waktu pejabat dan adalah amat mencabar untuk majlis-majlis bandaran menangkap mereka," jelas Dr Teo Ho Pin, Pengerusi Penyelaras Majlis Bandaran PAP.
Sejak penggunaan LSS dimulakan pada 2017, para penduduk merasa lebih selamat.
Sebanyak 97 peratus lif merangkumi 15 Majlis Bandaran PAP kini dilengkapi dengan LSS dan yang bakinya dijadual akan memasang peranti tersebut sebelum Februari tahun depan.
Majlis Bandaran PAP menyatakan peranti itu bukan sahaja membantu mengesan pelaku tetapi ia juga mengekang tingkah laku seperti sengaja merosakkan pintu lif.
Peranti LSS adalah sebahagian daripada sistem lebih besar yang dijana oleh kecerdasan buatan atau AI.
Di samping rakaman pengawasan, sistem tersebut turut dilengkapi dengan sensor lain yang mengesan gegaran lif luar biasa disebabkan oleh tingkah laku membinasakan dan ia akan mengeluarkan amaran bagi masa respons lebih pantas.
Majli Bandaran PAP menyatakan ia akan terus mendidik penduduk dengan meletakkan poster bagi meningkatkan kesedaran tentang bagaimana untuk menggunakan lif dengan betul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.