Tinggalkan kerjaya sebagai jurutera; CPT Azri Haron kini lebih fokus latih askar sepenuh masa
Ilmu Kimia adalah subjek kegemarannya di sekolah. Sejak di bangku sekolah lagi, beliau sudah bercita-cita untuk bertugas dalam industri kimia.
BERITAmediacorp: Ilmu Kimia adalah subjek kegemarannya di sekolah. Sejak di bangku sekolah lagi, beliau sudah bercita-cita untuk bertugas dalam industri kimia.
Menjadi jurutera kimia, bagaimanapun, ternyata tidak lagi menarik minatnya.
Hari demi hari, hanya bahan-bahan kimia saja yang berada di depan matanya.
Beliau mengulangi proses yang sama saban hari dan kerjayanya itu tidak lagi membawa kepuasan dan menarik minatnya.
"Saya mahukan perubahan kerana saya tidak dapat melihat diri saya melakukannya sepanjang hayat saya," menurut Kapten (CPT) Azri bin Haron dalam wawancaranya bersama majalah PIONEER pada Khamis (20 Jan).
Beliau juga pernah bekerja di sebuah syarikat pemula selama enam bulan yang sejak itu sudah gulung tikar.
CPT Azri memutuskan untuk meninggalkan kerjaya impiannya dan menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kerana beliau mahu membuat perbezaan dan membawa perubahan yang positif dalam kehidupan orang lain.
TITIK PERUBAHAN
Titik tolak perubahan itu berlaku apabila beliau tidak dapat menamatkan larian sejauh 5km yang disertainya ketika itu bersama teman wanitanya (yang kini adalah isterinya) pada Januari 2016.
Beliau mula berjalan walaupun baru hanya 1km - jauh berbeza berbanding rekrut yang pernah memenangi Anugerah Latihan Jasmani Terbaik semasa menjalani Latihan Asas Tentera (BMT).
Beliau kemudian memutuskan untuk meletak jawatan pada bulan itu juga dan menyertai SAF tiga bulan kemudian, dedah CPT Azri kepada majalah terbitan SAF itu.
MEMBUAT PERBEZAAN
Beliau kemudian dikerahkan untuk berkhidmat sebagai Pegawai Pemerintah (OC) di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC). Sepanjang dua tahun berkhidmat di sana, CPT Azri sentiasa menjadikannya sebagai satu keutamaan untuk mendampingi para rekrutnya dan berbincang dengan mereka setiap minggu sebelum mereka keluar kem latihan pada hujung minggu.
"Saya memberitahu mereka bahawa mereka boleh berjumpa dan berbincang dengan saya sekiranya mereka mempunyai masalah yang tidak dapat dihuraikan oleh sarjan platun atau komander mereka," kata CPT Azri yang berusia 29 tahun.
CPT Azri bersama para OC BMT semasa acara Larian Maraton Separuh Tentera 2018.
Peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan oleh CPT Azri adalah semasa beliau berkhidmat di BMTC. Beliau ketika itu berdepan dengan seorang rekrut yang berkeras tidak mahu menjalani latihan.
"Selepas bercakap dengannya, barulah saya mengetahui mengapa tingkah lakunya sebegitu. Rupa-rupanya sebelum itu dia selalu menghadapi masalah," dedah CPT Azri.
"Saya beritahunya, walaupun saya memahami alasannya, dia tetap perlu menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selama dua tahun, jadi mengapa tidak cuba memanfaatkannya sepenuhnya dan menjadi seseorang yang lebih baik?"
Setiap minggu, CPT Azri menaikkan semangat rekrut tersebut dengan mendorongnya untuk mencari sesuatu yang dia mahir. Usahanya membuahkan hasil apabila rekrut itu mula menyedari bahawa kekuatannya adalah dalam bidang larian dan menjadi lebih terdorong untuk melakukan lebih baik lagi apabila orang lain mengiktiraf pencapaiannya.
Rekrut tersebut akhirnya menjadi askar sepenuh masa dan dia kemudian dikerahkan ke Pasukan Pengerahan Tentera (ADF) sebagai seorang spesialis tentera.
"Saya menyifatkannya sebagai satu pencapaian setelah saya berhasil mengubah pendiriannya - dari seseorang yang hanya mengambil berat tentang dirinya kepada seorang askar yang berdisiplin dan mahu menyumbang kepada pertahanan dan keselamatan negara," kongsi CPT Azri.
Pengalaman seperti itulah yang mendorong CPT Azri untuk menyertai SAF. "Saya mahukan sesuatu yang bermakna dan melakukan sesuatu yang dapat merubah kehidupan orang lain - berkhidmat dalam SAF membolehkan saya untuk berbuat demikian."
MEMIMPIN ASKAR
Pada Ogos 2018, CPT Azri dikerahkan ke ADF di mana dua tahun seterusnya beliau berkhidmat sebagai 2IC (Pegawai Kedua Bertanggungjawab)dalam sesebuah pasukan tentera.
Walaupun beliau kini memimpin askar sepenuh masa dan bukan lagi rekrut, beliau berpegang teguh pada kepercayaan bahawa sikap mengambil berat adalah kunci untuk membuat perbezaan dalam kehidupan mereka. CPT Azri juga bersedia menghulurkan bantuan jika ada askar yang mahu berjumpa dengannya untuk meminta nasihat tentang masalah keluarga atau berkaitan dengan kerjaya mereka.
CPT Azri bersama para askar ADF selepas satu acara larian luar kem pada 2019.
"Kadangkala, ada juga askar yang perlu keluar kem kerana tiada orang di rumah untuk menjaga bayi mereka. Atau sekiranya mereka bimbang tentang kenaikan gaji dan pangkat. Selagi saya dapat menyelesaikannya, saya akan terus berbuat demikian," tegas CPT Azri.
Dengan berbuat demikian, ia dapat menenangkan mereka dan membolehkan para askarnya untuk menjadi lebih fokus semasa menjalankan tugas masing-masing.
Apabila CPT Azri selesai menjalankan tugasnya di ADF pada Julai 2020, sebilangan askar mengucapkan terima kasih atas bantuannya.
"Mereka berterima kasih kerana saya memberi mereka peluang untuk memimpin platun mereka atau bersinar dalam kerjaya mereka, dan kerana saya berhasil merubah kehidupan mereka. Mungkin apa yang saya lakukan itu benar-benar bermakna buat mereka," katanya sambil tertawa.
MENYENTUH KEHIDUPAN ORANG LAIN
Sebagai seorang jurulatih di Institut Latihan Infantri sekarang, CPT Azri melatih para pemimpin askar kerahan (NSmen) sebagai persiapan sebelum keupayaan dan kepimpinan mereka dinilai di Pusat Penilaian Latihan Tentera (ATEC).
Memandangkan beliau sendiri belum pernah melalui proses penilaian di ATEC, CPT Azri perlu belajar tentang proses penilaian itu sebelum melatih para OC askar kerahan.
Selepas sesi latihan pertamanya bersama dengan para OC dari Batalion ke-783 Regimen Infantri Singapura, para CO dan OC memuji CPT Azri kerana berjaya menjalankan tugasnya dengan baik.
Sejauh ini, beliau sudah melatih lima kumpulan NSmen bagi Latihan Dalam Kem (ICT) dan membina hubungan yang baik dengan ramai OC.
Rahsia CPT Azri dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai peranan? Jawapannya ringkas saja, "menyesuaikan diri sebaik mungkin dengan pelbagai kumpulan".
"Sebagai seorang jurulatih, anda perlu menyesuaikan kaedah pengajaran dan cara anda mendampingi mereka. Sesetengah orang lebih formal sedangkan ada yang lebih santai, latihannya mungkin sama tetapi penyampaiannya mungkin berbeza" jelas beliau.
Empat tahun selepas menukar kerjayanya, CPT Azri mungkin berdepan dengan waktu kerja yang lebih panjang dan tidak menentu, dengan sesetengah latihan kadangkala dijalankan pada sebelah malam. Namun tahap kepuasannya jauh lebih tinggi sekarang.
"Berinteraksi dengan pelbagai jenis orang - dari rekrut sehingga ke askar sepenuh masa dan kini NSmen - dan menyaksikan kemajuan mereka memberikan saya kepuasan. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat saya alami sekiranya saya masih bertugas dalam industri kimia," kata CPT Azri.
"Sekalipun hanya seorang sahaja yang mengucapkan terima kasih kepada saya kerana mengajar dan membimbingnya, saya tetap akan berasa berpuas hati."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.