Tindakan tegas jika dalang tinjauan gangguan seksual asatizah graduan pengajian Islam: ARB
Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) menegaskan, sekiranya terbukti mereka yang mendalangi perbuatan salah guna gambar asatizah terdiri daripada graduan pengajian Islam, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka.
SINGAPURA: Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) menegaskan, sekiranya terbukti mereka yang mendalangi perbuatan salah guna gambar asatizah terdiri daripada graduan pengajian Islam, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka.
Antaranya, ARB tidak akan memberi ruang kepada mereka untuk menyampaikan ajaran agama kepada masyarakat setempat menerusi apa jua bentuk wadah tersedia ada.
ARB menekankan gangguan seksual terhadap kaum wanita harus dihentikan serta-merta kerana ia adalah tindakan yang tidak bermaruah dan ditegah agama.
Lantas, ia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan salah guna gambar asatizah untuk tinjauan gangguan seksual online itu, yang disifatkan sebagai tujuan yang cukup keji dan mungkar.
"Pihak ARB mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tersebut kerana ia telah melanggar norma kesopanan dan akhlak yang diajar dan dianjurkan oleh agama Islam.
"Apatah lagi ia menjejaskan golongan ustazah tempatan dengan menggunakan gambar mereka untuk tujuan yang cukup keji dan mungkar," katanya dalam satu kenyataan media.
Melahirkan rasa "amat kesal" berikutan kejadian ini, Lembaga Pengiktirafan Asatizah juga menyatakan pihaknya akan mengatur program pemulihan bagi pesalah.
"Perkara ini amat serius dan perlu ditangani dengan segera," ujarnya.
Bagi yang terjejas, ARB melahirkan rasa amat prihatin dan simpati kepada mereka.
"Oleh kerana isu ini telah memberi impak yang cukup mendalam serta menjejas kehidupan mereka dari segi minda dan emosi, pihak ARB memberi jaminan bahawa ia sentiasa menyokong dan akan memastikan insiden pahit ini dapat diharungi dan diatasi dengan segera dan sebaik mungkin," ujarnya.
Oleh itu, orang ramai diminta supaya jangan melanjutkan spekulasi mengenai isu itu yang sedang disiasat pihak berkuasa sementara para asatizah digesa terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat demi mencegah perbuatan keji ini daripada berakar dalam masyarakat.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.