Skip to main content

Singapura

Tindakan tegas, hasil dipersetujui bersama 'penting' bagi tangani krisis iklim, tekan Presiden Halimah

Dialog bersemangat, hasil yang dipersetujui dan tindakan tegas penting dalam usaha bersama menangani krisis iklim, kata Presiden Halimah Yacob pada Selasa (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan tegas, hasil dipersetujui bersama 'penting' bagi tangani krisis iklim, tekan Presiden Halimah

Petikan skrin Presiden Halimah menyampaikan ucapan di sidang Ecosperity Week pada 28 September.

Diterbitkan : 28 Sep 2021 12:32PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 12:35PM

SINGAPURA: Dialog bersemangat, hasil yang dipersetujui dan tindakan tegas penting dalam usaha bersama menangani krisis iklim, kata Presiden Halimah Yacob pada Selasa (28 Sep).

Dalam ucaptamanya di sidang kemampanan Ecosperity Week, Puan Halimah turut memberi amaran bahawa ketidakgiatan terhadap ancaman seperti perubahan iklim boleh membawa "kesan amat buruk".

"Sepanjang setahun setengah yang lalu, pandemik COVID-19 menjejas teruk kehidupan dan mata pencarian serta menjejas banyak rancangan," akur Presiden Halimah. "Ia juga mengingatkan kita tentang ancaman-ancaman lain dalam masyarakat, termasuk perubahan iklim."

"Akan terdapat kesan buruk jika kita tidak bertindak dengan pantas terhadap ancaman sedemikian, yang kini boleh dilihat dengan jelas," tambah beliau. "Kita sedang hidup di tengah-tengah krisis iklim dan kesannya mungkin lebih memudaratkan berbanding pandemik ini."

Bulan lalu, Panel Silang Pemerintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mengeluarkan laporan yang memperincikan penilaian saintifik terkini tentang perubahan iklim.

Ia turut memberi amaran selagi tiada usaha untuk mengurangkan karbon dioksida dan pengeluaran gas rumah hijau dengan pantas, maka suhu permukaan bumi akan menjangkaui had ambang 1.5 darjah Selsius yang dipersetujui dalam Perjanjian Paris 2015 sekitar awal tahun 2030-an.

Meskipun perubahan iklim dijangka akan menjejas setiap rantau, Presiden Halimah menarik perhatian kesannya di Asia Tenggara mungkin tidak seimbang.

Menukil Indeks Ekonomi Iklim oleh Institut Swiss Re, beliau berkata sekiranya tiada apa-apa yang dilakukan dan suhu naik sebanyak 3.2 darjah Selsius menjelang pertengahan abad ini, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) ekonomi negara-negara anggota ASEAN mungkin sepertiga lebih kecil daripada yang mampu dicatatkan sekiranya tiada pemanasan.

Kawasan tepi laut yang panjang di rantau ini dan kawasan-kawasan rendah yang padat dengan penduduk juga menjadikannya lebih terdedah mengalami kenaikan paras air laut disebabkan oleh pemanasan bumi, ujar beliau.

Bagi menangani perubahan iklim dengan berkesan, Presiden Halimah berkata kerjasama "kukuh dan bersemangat" antara sektor awam, swasta dengan orang ramai adalah penting.

Untuk mencapai matlamat itu, Singapura sudahpun melakar pelan menghijau negara yang akan menentukan hala tuju matlamat kemampanan negara sepanjang tempoh 10 tahun akan datang.

"Ia memerlukan tindakan bersama semua pihak berkepentingan untuk memanfaatkan peluang serta memenuhi cabaran beralih ke masa depan sifar (pengeluaran gas rumah hijau)," tegas Presiden Halimah.

Siri perbincangan pelan tersebut yang dilancarkan awal tahun ini akan memudahkan tindakan bersama dengan mendampingi rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang tentang pandangan serta idea mereka bagi tindakan iklim.

Sidang selama tiga hari yang akan berlangsung sehingga 30 September itu akan menghimpunkan para pemimpin perniagaan global, penggubal dasar, pelabur dan masyarakat sivil untuk mengambil tindak balas segera dan bersama terhadap kecemasan iklim global demi membantu melakar hala tuju menuju masa depan yang lebih mampan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita