Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tindakan penguatkuasaan 'wajar' terhadap individu ingkar SMM baru

Tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang tidak mematuhi langkah-langkah baru pengurusan selamat (SMM) akan dilaksanakan dalam "cara yang wajar", bergantung kepada keadaan pelanggaran tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan penguatkuasaan 'wajar' terhadap individu ingkar SMM baru

Suasana di Orchard Road pada 5 Januari 2022. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 07 Apr 2022 08:23PM Dikemas Kini : 07 Apr 2022 09:04PM

SINGAPURA: Tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang tidak mematuhi langkah-langkah baru pengurusan selamat (SMM) akan dilaksanakan dalam "cara yang wajar", bergantung kepada keadaan pelanggaran tersebut.

Demikian menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) hari ini (7 Apr).

Ini menyusuli pelonggaran SMM pada 29 Mac lalu. Antaranya termasuk menjadikannya satu pilihan untuk orang ramai memakai pelitup ketika berada di luar dan tempat terbuka.

Contoh tempat-tempat sedemikian termasuk kolong blok HDB, perhentian bas dan laluan pejalan kaki berbumbung di tempat terbuka serta jambatan.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap MSE mengakui bahawa mungkin terdapat "sedikit rasa tidak pasti" mengenai definisi antara tempat terbuka dengan tempat tertutup sedang masyarakat menyesuaikan diri kepada SMM baru.

"Meskipun kami tidak akan memperkenalkan tempoh tangguh, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut cara yang wajar, bergantung kepada keadaan di mana pelanggaran itu didakwa berlaku," tambah jurucakap berkenaan.

Di bawah garis panduan baru, orang ramai masih diwajibkan memakai pelitup di tempat tertutup.

Ia biasanya merujuk kepada kawasan dalam bangunan atau tempat tertutup yang biasanya mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang jelas.

Contoh tempat-tempat sedemikian adalah bangunan pejabat, pusat beli-belah, pengangkutan awam dan bilik darjah. Pusat penjaja, kedai kopi, pasar basah dan kedai runcit HDB serta rumah kedai lain juga diambil kira sebagai ruang tertutup.

MSE menyatakan duta jarak selamat dan pegawai penguat kuasa akan terus memastikan orang ramai mematuhi SMM semasa, baik di tempat tertutup mahupun di tempat terbuka.

"Tiada perubahan pada denda terhadap pelanggaran SMM. Tindakan penguatkuasaan akan terus diambil terhadap individu dan pemilik/pengendali premis yang tidak mematuhi SMM sedia semasa. Ini boleh termasuk denda atau malahan pendakwaan di mahkamah bagi kes teruk," kata jurucakap itu.

MSE juga menggesa setiap orang agar memainkan peranan masing-masing untuk memastikan Singapura kekal selamat.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan