Tindakan keras SG terhadap vape tidak mungkin buat lebih ramai belia merokok: Ong Ye Kung
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung bercakap kepada media di luar acara masyarakat di Woodlands pada 30 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Erin Liam)
SINGAPURA: Tindakan keras Singapura terhadap vape tidak mungkin menyebabkan lebih ramai belia sebaliknya pilih untuk hisap rokok, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Sabtu (30 Ogos).
Tinjauan Kesihatan Penduduk Singapura terkini menunjukkan bahawa kelaziman merokok harian di Singapura merosot daripada 9.2 peratus pada 2022 kepada 8.8 peratus pada 2023.
Dalam kalangan perokok, kebanyakannya ialah orang dewasa yang sudah biasa melakukannya, kata Encik Ong.
"Saya sangat yakin bahawa tanpa vape, golongan muda tidak akan merokok. Ia tidak bagus."
Beliau juga menjawab soalan yang biasa diterimanya, tentang mengapa rokok tidak diharamkan, memandangkan vape kurang berbahaya berbanding rokok.
"Sebenarnya, tidak. Kerana rokok, jika anda hisap sebatang, rokok sebatang itu habis," katanya. "Tapi vape, pod boleh bertahan sepanjang hari, bahkan selama tiga hari."
Pod vape yang dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) didapati mengandungi nikotin sebanyak empat kali kandungan sekotak rokok, kata Encik Ong.
Beliau berkata, dengan apa yang kini diketahui tentang kesan bahaya rokok, ia mungkin juga akan diharamkan jika baru diperkenalkan hari ini.
"Ada produk berbahaya di luar sana. Ada yang sudah menjadi sebahagian hidup kita dan masyarakat kita; sukar untuk patah balik," katanya.
Namun ini tidak bermakna bahawa bahan berbahaya baru yang diperkenalkan tidak patut diharamkan, tambah Encik Ong.
Beliau berkata demikian di luar sebuah acara masyarakat di Woodlands, selepas Singapura awal minggu ini mengumumkan beberapa langkah penguatkuasaan yang diperketatkan terhadap vape.
Sebahagian daripada ini, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Sep, termasuk menyenaraikan etomidate - agen anestetik yang terkandung dalam Kpod - sebagai ubat Kelas C dalam Akta Penyalahgunaan Dadah.
Pesalah kali pertama berusia bawah 18 tahun akan dikenakan denda sebanyak S$500, manakala mereka yang lebih tua akan didenda S$700.
Pesalah berulang mesti menjalani pemulihan selama tiga bulan. Pesalah Kpod kali pertama mesti menjalani pemulihan sehingga enam bulan.
Mengenai bagaimana program pemulihan untuk pengguna vape berbeza daripada program bagi dadah, Encik Ong berkata pesalah vape akan dirawat di Institut Kesihatan Mental (IMH).
"Dalam kes Kpod ... kami beri peluang kepada golongan muda," katanya. "Ia masih tetap program pemulihan yang wajib dijalani. Jika anda tidak hadir, kami perlu mengenakan denda, anda akan dilayan seperti penagih dadah."
Sepanjang proses pemulihan, pesalah akan melaporkan diri ke IMH setiap minggu dan menjalani kaunseling, kumpulan sokongan rakan sebaya dan ujian perubatan - program yang sudahpun dilaksanakan untuk memulihkan masalah ketagihan.
Encik Ong juga akui bahawa sebelum peraturan diperketat, cara Singapura menangani kes Kpod secara individu "tidak ideal."
Namun apabila pemerintah menyedari bahawa vape yang mengandungi dadah semakin berleluasa, pemerintah mengambil masa beberapa bulan untuk "menyelaraskan" semua proses, protokol dan kemudahan bagi menangani isu itu.
"Tetapi saya fikir kami sudah berjaya. Kami melakukannya secepat mungkin. Saya masih perlu ulangi, mujur kami mengharamkan vape dari peringkat awal," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.