Tindakan kedai-kedai F&B tawarkan bayar lebih bagi ulasan terbaik patut ditolak 'sepenuhnya', kata sebilangan penulis blog
Pengasas SethLui.com berkata ia adalah "palsu" bahawa pasukannya secara rambang memilih kedai makan dan mengusulkan wang tunai untuk kandungan kepada mereka. (Tangkapan skrin: SethLui.com/Charlene Yan Facebook)
SINGAPURA: Apabila sebuah cawangan F&B menawarkan wang tambahan bagi mendapatkan kedudukan tertinggi dalam senarai ulasan makanan, jawapannya seharusnya "tidak" tanpa sebarang keraguan, menurut beberapa penulis blog makanan.
Sebilangan yang lain menekankan bahawa apabila bayaran diterima untuk melakukan sebarang liputan, ini harus dinyatakan dengan jelas kepada para pembaca.
Beberapa pengulas makanan ditemui Mediacorp untuk mendapatkan pandangan mereka menyusuli kekecohan yang dicetuskan blog popular SethLui.com setelah ia bertanya kepada seorang pemilik F&B, Charlene Yan, jika dia ingin membayar S$2,300 bagi mendapat kedudukan tinggi dalam senarai tempat terbaik untuk makan di Everton Park.
Cik Yan juga diberitahu bahawa dia boleh menduduki tiga kedudukan tertinggi dalam senarai berkenaan, selama sekurang-kurangnya setahun, jika dia membuat bayaran tambahan sebanyak S$400 hingga S$600.
Menurut garis panduan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Piawaian Pengiklanan Singapura (ASAS), pendedahan diperlukan jika seorang klien menaja kandungan seperti senarai atau rencana, agar ia disebutkan dalam kandungan demikian.
Pendedahan juga diperlukan apabila klien tersebut membuat pembayaran bagi mesej dalam kandungan tersebut, yang mempromosikan produk-produk mereka, atau apabila klien itu mendapatkan ulasan dengan menyediakan sebuah produk dengan perbelanjaannya sendiri - seperti merasa makanan.
Dalam responsnya kepada Cik Yan, Encik Lui mengeluarkan kenyataan, dengan menyatakan bahawa pasukannya telah menghubungi Cik Yan sebagai syarikat media yang menyediakan khidmat pengiklanan.
Beliau berkata apabila bekerja dengan klien, seseorang atau lebih anggota dari SethLui.com akan mencuba makanan mereka terlebih dahulu dan menulis mengenainya.
"Jika mutu makanan jauh di bawah purata, kami akan menggugurkan klien supaya tidak mengelirukan pembaca kami," katanya, sambil menambah bahawa ia adalah "palsu" bahawa pasukannya secara rambang memilih kedai makan dan mengusulkan wang tunai untuk kandungan kepada mereka.
Encik Lui turut menyatakan bahawa dalam ulasan berbayar, pendedahan bagi kandungan yang disertakan jenama atau ditaja "dinyatakan dengan jelas" pada hujung rencana itu.
Dalam surat-menyurat antara SethLui.com dengan Cik Yan, beliau telah dihantar contoh senarai termasuk panduan makanan Northpoint City dan Labrador Park.
Kedua-duanya tidak dilabel sebagai iklan rencana atau kandungan berbayar. Encik Lui enggan memberikan respons kepada pertanyaan lanjut dari Mediacorp.
"WANG TIDAK BOLEH MEMBELI BUDI"
Encik Tony Boey, yang sudah mengulas makanan di lamannya Johor Kaki sejak 2012, memberitahu Mediacorp bahawa beliau tidak menerima bayaran dari kedai makanan dan restoran, di mana beliau membuat ulasan.
"Saya membayar makanan saya sendiri sebagai seorang pelanggan yang tidak dikenali, kecuali ia merupakan acara percubaan makanan media, yang saya kerapkali hadiri dan akan menyatakan sedemikian dalam hantaran saya," tambahnya.
Beliau sebaliknya, mendapatkan keuntungan daripada kegiatan lain seperti menyampaikan ceramah, menulis untuk penerbitan lain, kerja perundingan, melakukan penyelidikan dan menjadi hos iklan Google.
Sementara itu, pengasas Makansutra Seetoh Kok Fye, atau lebih dikenali sebagai KF Seetoh, pula menarik perhatian bahawa beliau juga menerima beberapa permintaan sedemikian setiap minggu, tetapi menolak kesemuanya. Pengulas makanan dari pasukan Makansutra sebaliknya akan pergi ke restoran tersebut untuk mencuba makanan tanpa diketahui.
"Wang tidak boleh membeli budi. Ia cara kami sejak mula lagi," ujarnya.
KREDIBILITI DAN KESAHIHAN
Sesetengah penulis blog yang ditemui Mediacorp bersetuju bahawa pengulas makanan harus menyatakan dengan jelas kepada para pembaca apabila hantaran tersebut merupakan rencana iklan, dan apabila bayaran diambil bagi ulasan tersebut diterbitkan.
Ini supaya mereka boleh menilai kesahihan hantaran tersebut, nyata Encik Seetoh, sambil menambah bahawa ramai pembaca mampu meninjau dengan teliti.
"Ia hanya bersikap jujur dengan pembaca anda semata-mata."
Beliau juga akur bahawa respons kepada kandungan online dibayar atau ditaja semakin menyusut, berbanding lima tahun yang lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.