Skip to main content

Singapura

Tindakan disiplin sudah dikenakan terhadap pelajar perempuan dirakam bergaduh di tempat letak kereta

Tindakan disiplin dikenakan terhadap beberapa pelajar perempuan yang rakaman video mereka bergaduh di sebuah tempat letak kereta menjadi tular baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tindakan disiplin dikenakan terhadap beberapa pelajar perempuan yang rakaman video mereka bergaduh di sebuah tempat letak kereta menjadi tular baru-baru ini.

Demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Selasa (18 Jan).

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, MOE menyatakan: "Pihak sekolah sedia maklum tentang kejadian itu dan sudah mengambil tindakan, termasuk memberikan kaunseling kepada para pelajar yang terbabit dan menghubungi ibu bapa mereka.

"Kami memandang serius terhadap tindakan keganasan dan tindakan disiplin yang sewajarnya sudah diambil."

MOE bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut dan enggan mendedahkan nama sekolah.

Mediacorp difahamkan bahawa kejadian itu berlaku seminggu yang lalu.

Polis mengesahkan pada Selasa bahawa aduan sudah dibuat kepada pihaknya dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam rakaman video selama 30 saat itu, dua pelajar perempuan dilihat memukul dan menendang seorang pelajar perempuan yang berpakaian seragam sekolah berwarna biru manakala seorang lagi melihat pergaduhan itu berlaku di sebuah tempat letak kereta di estet perumahan.

Salah seorang daripada pelajar perempuan itu menjerit: "Saya juga tidak puas hati dengan anda" sebelum memukul pelajar perempuan yang memakai seragam sekolah itu.

Pada satu ketika, seorang lagi pelajar menarik rambut pelajar tersebut dari belakang sebelum menolaknya ke lantai lalu berkali-kali memukul kepala pelajar itu sambil menendangnya, termasuk pada bahagian muka.

Video itu berakhir beberapa saat kemudian dan tidak jelas apa yang berlaku selepas itu.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita