Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Timur Tengah, Eropah jadikan SG contoh bangun rangka kerja mengenai protein alternatif

Anggaran Waktu Membaca:
 Timur Tengah, Eropah jadikan SG contoh bangun rangka kerja mengenai protein alternatif

Gambar hiasan

Diterbitkan : 19 Nov 2024 01:29PM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 11:03PM
SINGAPURA: Negara-negara sejauh Timur Tengah dan Eropah ingin menimba pengalaman Singapura dalam membangunkan rangka kerja kawal selia bagi protein alternatif.

Singapura menerajui bidang tersebut sebagai yang pertama di dunia untuk meluluskan penjualan daging kultur pada 2020.

Jaminan bekalan makanan merupakan satu isu yang dibincangkan di Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-29 di Azerbaijan.

Dari segi rupa bentuk dan teksturnya, daging kultur mungkin kelihatan seperti daging biasa. Namun ia adalah daging yang diperbuat daripada sel.

Salah satu badan pemikir bukan untuk meraih untung menyatakan lebih banyak inovasi diperlukan untuk terus mempertingkat makanan sedemikian dan menurunkan kosnya.

Ini akan membantu meningkatkan permintaan pelanggan bagi protein alternatif.

"Kebanyakan produk yang ada di pasaran sekarang gagal dari segi rasa dan khasiat. Namun ia perlu dijual pada harga premium yang tidak menarik pembeli. Jadi saya rasa, kita perlukan sokongan pemerintah untuk sampai ke tahap itu, kerana pelabur model teroka tidak ada modal mencukupi untuk membiayai pusingan inovasi ini. Mereka perlu melihat pulangan 10 kali ganda dalam lima tahun. Ini tidak akan berlaku," kata Mirte Gosker, Pengarah Urusan Institut The Good Food Asia Pasifik.

Untuk mengisi jurang tersebut, satu pusat kajian baharu bagi protein berdaya mampan dibuka di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada September.

Ia juga bertujuan untuk menerajui usaha menghasilkan produk itu secara komersil di rantau ini.

Institut Good Food menyatakan negara-negara lain merujuk kepada Singapura bagi nasihat mengenai kawal selia.

Ini termasuk Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu, yang mahu mengiktiraf daging kultur sedemikian sebagai halal.

"Jenama Singapura dikenali dari segi mutunya, dan ini sama dengan tanda halal Singapura. Jadi ia diiktiraf sebagai jenama bermutu yang boleh diyakini. Yang menarik juga, MUIS merupakan penguasa agama pertama yang secara rasmi mengeluarkan fatwa mengenai daging kultur dan inilah sebabnya badan kawal selia lain, juga badan kawal selia agama lain, mahu lebih memahami bagaimana kami berpendirian sedemikian," menurut Penolong Pengarah Pensijilan Halal MUIS, Nurul Hidayah Abu Bakar.
Sementara itu, para pakar mengatakan sokongan awam diperlukan untuk daging kultur masuk ke dalam pasaran aliran utama.

Misalnya, memperkenalkan protein alternatif ke sekolah-sekolah dan hospital atau memperluaskan jenis yang dijual di pasar raya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan