Skip to main content

Singapura

Timbre sangkal kritikan terhadap pengurusan Pusat Penjaja Yishun Park

Timbre Group pada Selasa (26 Ogos) membalas kritikan online oleh pengkritik makanan KF Seetoh mengenai pengurusan Pusat Penjaja Yishun Park.

Anggaran Waktu Membaca:
Timbre sangkal kritikan terhadap pengurusan Pusat Penjaja Yishun Park

Pusat Penjaja Yishun Park. (Gambar: Facebook/Yishun Park Hawker Centre)

Diterbitkan : 27 Aug 2025 08:42AM Dikemas Kini : 27 Aug 2025 08:43AM
SINGAPURA: Timbre Group pada Selasa (26 Ogos) membalas kritikan online oleh pengkritik makanan KF Seetoh mengenai pengurusan Pusat Penjaja Yishun Park.

Dalam satu catatan Facebook pada Sabtu lalu, Encik Seetoh menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara kumpulan itu mengendalikan pusat penjaja tersebut, termasuk harga sewa, kamera litar tertutup dan denda yang dikenakan.

Pusat Penjaja Yishun Park adalah salah satu daripada beberapa Pusat Penjaja Perusahaan Sosial (SEHC) di Singapura.

Dalam responsnya, Timbre menyatakan: "Kami merujuk kepada catatan media sosial baru-baru ini berhubung pengurusan Pusat Penjaja Yishun Park.

"Kami bersetuju sepenuhnya bahawa tanpa sokongan wajar, budaya penjaja yang penting kepada Singapura dan rakyat Singapura mungkin pudar. Namun, Timbre mahu menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan."

SEWA

Encik Seetoh berkata Timbre, sebuah perusahaan sosial, mengambil 15 peratus daripada keseluruhan hasil penjualan dari "penjaja yang berjaya', jikalau tidak mereka "membayar harga sewa biasa dan pelbagai jenis bayaran".

"Pemerintah membinanya, membayar Timbre untuk menguruskannya, mereka mengumpul sewa dan dengan mudah ambil 15 peratus daripada para penjaja yang berjaya. Ini tidak betul," katanya dalam catatan tersebut.

Timbre menyatakan Pusat Penjaja Yishun Park beroperasi di bawah model sewa perolehan kasar di mana harga sewa bergantung kepada hasil pendapatan setiap penjaja.

"Ini memastikan risiko dan ganjaran dapat dikongsi lebih baik antara pengendali dengan penjaja," ia menambah.

Ini bermakna apabila pendapatan adalah rendah, penjaja itu membayar harga sewa lebih rendah, dan sebaliknya.

Sewa bulanan dihadkan pada S$2,550, menurut Timbre.

"Bagi sesetengah gerai yang popular, harga sewa berbanding perolehan mereka adalah jauh lebih rendah berbanding 15 peratus daripada hasil pendapatan mereka," menurut syarikat pengendali itu.

Syarikat itu menambah bayaran sewa yang dikumpul disalurkan ke arah hasil operasi pusat penjaja, dengan 50 peratus daripada lebihan operasi dilaburkan semula "ke arah penambahbaikan" pusat penjaja itu dan para pemilik gerai.

Sebahagian lebihan itu juga digunakan bagi langkah-langkah lain termasuk acara hujung minggu dan "acara perayaan" bagi masyarakat serta kempen-kempen pemasaran bagi menarik pengunjung.

Pada Februari lalu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata dalam jawapan parlimen yang bertulis bahawa setakat 2023, terdapat 12 SEH yang beroperasi dan harga sewa median adalah S$1,700.

Harga sewa gerai diusulkan secara langsung oleh pengendali SEHC dalam bidaan tender kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan para pengendali tidak dibenarkan untuk mengubah sewa penjaja mengikut syarat penyewaan mereka, atau melancarkan bidaan bagi sewa gerai.

Sewa median bagi semua gerai makanan masak tanpa subsidi di pusat-pusat penjaja yang dikendalikan oleh NEA kekal agak stabil pada kira-kira S$1,250 antara 2015 dengan 2023, kata Cik Fu pada ketika itu.

KAMERA CCTV

Encik Seetoh juga mendakwa dalam catatan Facebook itu bahawa Timbre memasang kamera CCTV dengan "keupayaan mendengar" dalam setiap gerai bagi memantau penjualan dan "memastikan tiada sesiapa yang cuba menipu".

Dalam respons kepada dakwaannya itu, Timbre menyatakan kamera-kamera itu "membantu" mengesahkan situasi di mana beberapa penjaja didapati "tidak melakukan urus niaga menggunakan sistem titik jualan (POS)", sekaligus menyukarkan usaha menentukan dengan lebih tepat harga sewa yang perlu dibayar.

Kamera-kamera itu juga bermanfaat bagi keselamatan serta menghuraikan sebarang pertikaian dengan pelanggan, ia menambah.

Timbre menyatakan kamera-kamera CCTV itu dipasang pada Ogos 2024 menyusuli "maklum balas berulang kali" dari para penduduk mengenai bunyi bising pada waktu malam.

Ia menambah maklum balas mengenai bunyi bising itu masih berlaku walaupun para penjaja diingatkan supaya mengurangkan bunyi bising pada waktu tersebut.

"Kamera CCTV itu membolehkan kita mengenal pasti potensi sumber bunyi bising, supaya kita dapat menangani maklum balas penduduk dengan lebih baik," menurut Timbre.

DENDA SEBAGAI 'PILIHAN AKHIR'

Encik Seetoh juga menyatakan Timbre mempunyai kontrak setebal 25 muka surat yang mengandungi peraturan dan piawaian, dengan senarai denda sebanyak S$100 dikenakan bagi setiap peraturan yang dilanggar.

Menyifatkan senarai itu sebagai "menakutkan", beliau membandingkannya dengan kontrak yang diberikan kepada gerai-gerai di pusat penjaja yang dikendalikan oleh NEA, sambil menyatakan "walaupun ia cukup ketat tetapi masih ada ruang untuk para penjaja berkembang".

Timbre menyatakan dalam responsnya bahawa denda itu akan dikenakan sebagai 'pilihan akhir', bagi mencegah sebarang ketidakpatuhan yang berlaku beberapa kali, selepas beberapa peringatan lisan dan notis bertulis diberikan.

Kumpulan itu tidak mendedahkan jumlah denda yang perlu dibayar bagi setiap ketidakpatuhan.

"Kami mempunyai klausa dalam perjanjian penyewaan kami untuk menyediakan sekitaran yang bersih dan kondusif bagi semua penjaja, serta memastikan kepatuhan dalam bidang-bidang lain seperti operasi peribadi dalam gerai dan pengambilan tenaga kerja tambahan dengan cara yang betul," ia menambah.

"Caj bagi ketidakpatuhan disertakan dalam perjanjian penyewaan kami sejak pusat ini dibuka bagi memastikan keadilan kepada semua pemilik gerai."

BEKALAN GAS, CAWANGAN PIZA

Encik Seetoh juga menyoal mengapa Timbre tidak menggunakan penyedia bekalan gas yang lebih murah, walaupun dicadangkan oleh para penjaja, dan mendakwa terdapat "diskaun aplikasi kesetiaan yang dipaksa oleh penjaja".

Beliau juga menyatakan Timbre mengendalikan gerai pizanya sendiri, sambil mendakwa ia menghalang penjaja lain daripada berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan, Timbre menyatakan bekalan gas pusat penjaja itu disediakan secara berpusat dan dijamin melalui "perolehan kompetitif".

"Sungguhpun begitu, bagi meringankan beban keseluruhan kenaikan kos, Timbre memberikan beberapa diskaun kepada semua penjaja pada awal tahun ini," ia menambah.

Diskaun kesetiaan sebanyak 10 peratus bagi para pengunjung melalui aplikasi Timbre diperkenalkan sejak 2017.

Timbre menyatakan program sedemikian bantu menggalakkan para pengunjung berulang, yang "akhirnya membantu para penjaja menjana lebih penjualan".

Kos aplikasi itu ditanggung sepenuhnya oleh Timbre.

Ia menyatakan Timbre Pizza sebelum ini beroperasi di Pusat Penjaja One Punggol dan bukannya Pusat Penjaja Yishun Park.

Cawangan di Pusat Penjaja One Punggol sudah henti beroperasi pada 17 Ogos sebagai sebahagian daripada "latihan penstrukturan semula tenaga kerja dan perniagaan yang dirancang", ia menambah.

"Timbre Group sedia maklum tentang cabaran yang dihadapi oleh masyarakat penjaja dan kekal komited untuk menyokong para penjaja, menangani sebarang keprihatinan masyarakat dan memupuk dialog terbuka berdasarkan fakta," ia menambah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita