Skip to main content

Singapura

Timbang semula rancangan untuk keluar rumah cuti ini, kurangkan ziarah Hari Raya

ngka jangkitan COVID-19 dalam masyarakat yang tinggi hari ini (13 Mei) - iaitu mencecah 24 kes - satu perkembangan yang "sangat membimbangkan".

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 May 2021 09:25PM Dikemas Kini : 14 May 2021 01:17AM

SINGAPURA: Angka jangkitan COVID-19 dalam masyarakat yang tinggi hari ini (13 Mei) - iaitu mencecah 24 kes - satu perkembangan yang "sangat membimbangkan" kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Angka jangkitan dalam masyarakat itu adalah tertinggi dalam tempoh 10 bulan atau sejak Julai 2020.

Ini berlaku sedang masyarakat berada dalam musim Hari Raya. Ramai orang kata beliau dijangka memanfaatkan hujung minggu yang panjang ini untuk berhari raya atau melakukan kegiatan di luar rumah. Disebabkan itu, Encik Masagos membuat satu seruan.

"Saya menggesa agar masyarakat menimbangkan semula rancangan mereka untuk berada di luar rumah. Duduk di rumah seberapa boleh dan keluar hanya jika benar-benar perlu," tulis beliau menerusi Facebook.

Dalam erti kata lain, kalau boleh jangan melakukan kunjung-mengunjung Hari Raya Aidilfitri buat masa ini.

Daripada jumlah kes yang dilaporkan dalam masyarakat hari ini, 17 terkait dengan kelompok di Lapangan Terbang Changi, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kelompok tersebut sebanyak 43.

Namun demikian Encik Masagos menggalak anggota masyarakat Islam supaya terus Beraya melalui kaedah alternatif.

"Silakan untuk terus beraya melalui wadah online. Dan jikapun perlu berada di luar rumah, patuhi peraturan kebersihan dan jarak selamat dengan serius," menurut Encik Masagos menerusi catatannya itu.

Awal minggu ini semasa di Parlimen, Menteri Pendidikan, yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19, Lawrence Wong berkata Singapura kini berada di satu persimpangan genting atau 'ambang bahaya'.

"Keadaan boleh menjadi bertambah baik menjelang hujung bulan ini ataupun sebaliknya jangkitan boleh membengkak", tulis Encik Masagos.

"Ini ekoran jumlah kes yang tidak diketahui asal usulnya dan bertambahnya jumlah kelompok. Para pakar bersetuju. Menurut mereka pilihan di tangan kita - bekerja keras untuk sama-sama mengawal jumlah jangkitan ataupun berdepan dengan kemungkinan drastik dikenakan langkah pemutus rantaian (Circuit Breaker) sekali lagi," kata beliau.

Beliau juga menekankan bahawa virus COVID-19 "memang sukar dikawal" dan yang jelas, ia begitu mudah menular apabila masyarakat leka.

"Ayuh kita sama-sama pertingkatkan iltizam kita untuk menewaskan virus ini supaya keluarga kita dan Singapura selamat," kata Encik Masagos.

"KURANGKAN ZIARAH HARI RAYA," KATA DR MALIKI

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman juga menerusi catatan di laman Facebooknya menggesa masyarakat Melayu/Islam setempat supaya mengubah rancangan Hari Raya dan "mengurangkan ziarah Hari Raya ke rumah sanak-saudara buat ketika ini".

"Saya menyeru kepada semua untuk terus berwaspada dan jangan sesekali ambil sikap sambil lewa,

"Inilah saat-saat kita memperkuatkan iltizam kita untuk melawan COVID-19 dan tidak membenarkan ia dari terus menular," menurut Dr Maliki.

Beliau menambah, sekiranya masyarakat mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat dengan teliti, "kita akan dapat mengatasinya bersama".

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita