Timbalan Presiden DPPMS Azhar Othman antara 8 NMP baharu
SINGAPURA: Lapan wajah baharu bakal dilantik sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang baharu, dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pakaian Sing Lun Holdings, Mark Lee Kean Phi, kembali bagi penggal kedua.
Sembilan nama tersebut diumumkan oleh Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen pada Jumaat (2 Jan).
Mereka akan dilantik oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 8 Januari, dan mengangkat sumpah pada persidangan parlimen seterusnya bulan ini.
Sembilan individu tersebut ialah:
- Encik Azhar Othman, Pengerusi Eksekutif Enercon Asia
- Profesor Madya Goh Toh Chuan Kenneth, Presiden Singapore Aquatics
- Dr Haresh Singaraju, doktor keluarga di Poliklinik Universiti Nasional
- Profesor Madya Terence Ho Wai Luen, ahli akademik/pentadbir universiti
- Cik Kuah Boon Theng SC, pengarah urusan Legal Clinic LLC
- Encik Mark Lee Kean Phi, Ketua Pegawai Eksekutif Sing Lun Holdings
- Dr Neo Kok Beng, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO Aeronautics Pte Ltd
- Profesor Kenneth Poon Kin Loong, profesor di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang
- Encik Sanjeev Kumar Tiwari, setiausaha agung Amalgamated Union of Public Employees
Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum ini mengundang orang awam dan kumpulan fungsian untuk mengemukakan nama untuk dipertimbangkan pada 8 Oktober. Tempoh penyerahan ditutup pada 6 November.
Sebanyak 57 borang pencalonan diterima dan jawatankuasa tersebut menilai semua calon yang layak dalam prosesnya menilai calon yang sesuai untuk dilantik sebagai NMP, menurut Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen dalam satu kenyataan media.
Speaker Parlimen merangkap pengerusi jawatankuasa tersebut, Encik Seah Kian Peng, berkata mereka menerima permohonan daripada satu kumpulan calon yang “kukuh”.
“Menentukan maksimum sembilan NMP untuk dicalonkan adalah satu tugas yang mencabar dan kami telah mempertimbangkan semua calon dengan sangat teliti. Kami berpuas hati bahawa kesemua sembilan calon ini memenuhi keperluan perlembagaan, yang dibuktikan melalui sumbangan cemerlang mereka kepada masyarakat dan dalam bidang masing-masing.
"Kami yakin mereka akan mengukuhkan serta menambah nilai kepada perbahasan parlimen melalui latar belakang dan pengalaman yang pelbagai, perspektif yang berbeza-beza, serta komitmen untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya.”
Ketua Dewan dan anggota jawatankuasa, Cik Indranee Rajah, mengalu-alukan kohort baharu itu ke parlimen ke-15.
“Mereka telah memberikan sumbangan ketara dalam kerjaya, komuniti dan masyarakat, serta cemerlang dalam bidang masing-masing. Saya yakin kepakaran dan pengalaman mereka yang pelbagai akan memperkayakan perbincangan di parlimen sedang kita merangka hala tuju Singapura dalam dunia yang tidak menentu dan terganggu.
“Ia merupakan satu tugas yang mencabar untuk memilih daripada kumpulan calon yang sangat berkelayakan. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan menghargai semua pemohon jawatan NMP atas minat mereka untuk berkhidmat," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.