Timbalan Mufti: MUIS sudah tangani lebih 30 aduan ajaran sesat sejak 50 tahun lalu
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sudah menangani lebih 30 aduan ajaran sesat sejak sekitar 50 tahun lalu.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sudah menangani lebih 30 aduan ajaran sesat sejak sekitar 50 tahun lalu.
Ada yang dihebahkan kepada umum, ada juga yang tidak. Ini bergantung kepada berapa serius insiden yang ditanganinya itu. Demikian dedah Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp.
"Sejak MUIS ditubuhkan - dari tahun 1968 hingga kini - Jawatankuasa Fatwa sendiri yang berurusan dengan lebih 30 aduan ajaran salah. Sebahagiannya jelas merupakan ajaran yang salah dan sesat. Maka itu tindakan diambil," terang Ustaz Murat.
Pendedahan ini sememangnya menunjukkan, gejala ajaran Islam yang songsang bukanlah sesuatu yang baru.

Baru-baru ini, masyarakat digemparkan dengan kes seorang lelaki berusia 50-an tahun yang dikatakan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin' dengan lima orang wanita. Lelaki yang pernah menjadi tukang urut itu, juga dikatakan menghalalkan wang perjudian untuk membantu orang lain.
Namun hanya dua tahun lalu, iaitu pada 2018, ajaran sesat bernama Fahaman Yayi terbongkar dengan markas ajaran sesat tersebut dilaporkan bertempat di Blok 540 Bedok North Street 3 dan di Johor.
Para pengikut ajaran itu antara lain hanya bersolat sekali sehari tanpa menghadap kiblat. Mereka juga menunaikan haji atau umrah tanpa perlu ke Makkah, selain dikatakan mengamalkan "Ritual Suci Sifat 9" bagi menggantikan mandi hadas.
Pada 2010 pula, ajaran "Islam Jama'ah" yang juga dikenali sebagai ajaran kumpulan Quran hadith Jama'ah turut ditangani MUIS. Jawatankuasa Fatwa kemudian membincangkan isu itu secara mendalam dan akhirnya mengisytiharkan ajaran tersebut sebagai sesat dan menyeleweng.

Petikan gambar dari laman Pejabat Mufti.
Para pengikut ajaran itu percaya, hanya kumpulan “Quran Hadith Jama’ah” satu-satunya jemaah daripada umat Islam yang sah dan hanya merekalah yang akan masuk syurga.
Sungguhpun demikian, Ustaz Murat menjelaskan, sebahagian ajaran sesat dipercayai tersebar dalam kalangan kelompok kecil. Maka itu, MUIS tidak menguar-uarkannya kerana ajaran sedemikian "tidak popular".
"Fokus utama kami, terutama sekali MUIS dan pihak Jawatankuasa Fatwa adalah untuk pertama sekali beritahu masyarakat kalau benar benda itu ada. Kemudian, perbaiki keadaan," kata Ustaz Murat.
DAKWAAN PERLU DISIASAT DENGAN TELITI
Dalam menangani aduan-aduan mengenai ajaran sesat, Ustaz Murat menegaskan bahawa setiap satu disiasat dengan teliti kerana setiap tuduhan berat mempunyai implikasi yang besar.
Menurut beliau, jika tuduhan itu datang dari umpamanya 'pihak ketiga', ia memerlukan pembuktian yang kukuh kerana ia masih datang dari perspektif pihak ketiga. Jadi, dari aspek keadilannya, ia belum lagi kukuh, kata Ustaz Murat.
"Dia tidak seperti kalau sekiranya fakta tersebut dari pihak pertama, atau orang yang melakukan itu sendiri mengaku," terang beliau.

"Masyarakat sering sebutkan sudah cukup bukti, sudah ada bukti, sudah ada fakta yang jelas dan sebagainya. Kita harus teliti apakah yang dimaksudkan sebagai bukti. Apatah lagi, kalau tuduhan itu berat (sampai boleh) menyebabkan kita menghukum orang itu," jelas Ustaz Murat lanjut semasa diminta mengulas tentang dakwaan-dakwaan bahawa "sudah ada cukup bukti" bagi kes terkini membabitkan lelaki berusia 50-an tahun itu.
"(Misalnya) orang tunjuk gambar tiga orang, dan katakan mereka ini sesat. Adakah dengan gambar ini cukup? Tidak cukup," tegas beliau.
"Bila kita kata bukti, ia adalah sesuatu yang boleh dikaitkan langsung dengan yang tertuduh. Umpamanya, ada dokumen yang menyatakan ajaran tersebut - dalam bentuk nota dan sebagainya - ada namanya sebagai pengarang.
"Ini adalah dasar, etika dan prinsip jawatankuasa fatwa."
MENGELUARKAN BUKTI ADALAH TANGGUNGJAWAB ORANG YANG MENUDUH
Ustaz Murat selanjutnya berkata bahawa kadangkala orang yang dihadapkan ke Jawatankuasa Fatwa menafikan tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Disebabkan itu pihak MUIS tiada "tuduhan kukuh" untuk mengaitkan si tertuduh.
"Mengeluarkan bukti adalah tanggungjawab bagi mereka yang membuat tuduhan. Apabila, bukti tidak sekukuh untuk kaitkan orang ini sebagai sesat atau sebagainya, maka apa, fatwa yang mengikut nilai cetek dalam hal ini, hukum zahir," kata beliau.

Dalam satu kenyataan semalam (1 Dis), MUIS sekali lagi meminta orang ramai, terutama sekali mereka yang menerima ajaran songsang itu supaya tampil ke depan sebelum 11 Disember ini, sekiranya mereka mempunyai bukti-bukti yang kukuh seperti emel, dokumen, nota-nota kuliah serta rakaman video dan audio.
MUIS juga menjawab catatan-catatan media sosial yang menuduhnya sebagai gagal mengambil tindakan selama empat tahun berhubung kes ajaran sesat tersebut yang hanya muncul kepada pengetahuan umum bulan lalu. MUIS menyifatkan tuduhan-tuduhan sebegitu sebagai "tidak berasaskan fakta yang tepat".
Badan penguasa Islam itu turut memberi amaran bahawa ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap para individu yang menyebarkan kepalsuan dan tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadapnya.
MASYARAKAT FAHAM TETAPI PERLU DIBERI KESEDARAN
Ditanya tentang khutbah yang menyentuh tentang ajaran songsang baru-baru ini, Ustaz Murat memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau percaya masyarakat Singapura sebenarnya tahu ciri-ciri ajaran menyimpang daripada agama Islam.

"Saya rasakan masyarakat awam faham ciri-ciri ini (ajaran sesat). Tapi, apa yang penting adalah prosesnya. Kalau ingin mendapatkan ajaran agama, dalam konteks Singapura ini, ada sistem-sistem tertentu. Antaranya, hanya dengan satu klik sahaja, mereka akan dapat tahu siapakan asatizah yang layak," kata Ustaz Murat.
"Kami ingin memberikan kesedaran, ingatkan kembali kepada masyarakat untuk dapatkan pengajian agama daripada orang yang benar-benar berkelayakan. Isu-isu umpamanya yang 'simple' (mudah), kita kena lihat," tambahnya.
Ini penting kerana ada yang memang "pandai bercakap, bijak membuat penyampaian dan sangat memikat apabila menggunakan kata-kata".
"Tetapi ia sebenarnya bukan bukti seorang itu layak memberi panduan agama," tekan Ustaz Murat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.