Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiket persembahan, penerbangan privet: Iswaran didakwa terima barangan lebih $384,000 dari Ong Beng Seng

Bekas Menteri Pengangkutan S Iswaran dikenakan beberapa tuduhan hari ini (18 Jan), di mana sebahagian besar melibatkan penerimaan barangan bernilai ratusan ribu dolar dari hartawan Ong Beng Seng.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jan 2024 01:17PM Dikemas Kini : 18 Jan 2024 09:05PM
SINGAPURA: Bekas Menteri Pengangkutan S Iswaran dikenakan beberapa tuduhan hari ini (18 Jan), di mana sebahagian besar melibatkan penerimaan barangan bernilai ratusan ribu dolar dari hartawan Ong Beng Seng.

Kertas tuduhan menyatakan Encik Iswaran menerima "barangan berharga" yang bernilai lebih daripada S$384,000 dari Ong antara 2015 hingga 2022.

Ia terdiri daripada tiket-tiket pertunjukan, perlawanan bola sepak dan tiket untuk menonton beberapa edisi Grand Prix F1 Singapura.

Dia juga didakwa menerima tiket ke Doha yang telah dibayar, sebagai ganti memajukan kepentingan perniagaan Encik Ong.

Berikut adalah barang-barang yang Encik Iswaran didakwa terima ketika dia berkhidmat sebagai seorang menteri dan pengurus jawatankuasa pemandu F1.

1. Tiket-tiket persembahan

Encik Iswaran, 61 tahun didakwa menerima tiket ke 12 persembahan atau muzikal di UK antara 2015 hingga 2021.

Persembahan-persembahan itu adalah Thriller; The Curious Incident of the Dog in the Night-Time; Book of Mormon; Harry Potter and the Cursed Child: Part 1; Harry Potter and the Cursed Child: Part 2; Kinky Boots; The Play That Goes Wrong; School of Rock; Hamilton; Waitress; Betrayal; Back to the Future; dan &Juliet.

Kesemua tiket itu dikatakan bernilai S$10,693.

2. Tiket-tiket ke perlawanan bola sepak

Sekurang-kurangnya lima tuduhan berkait dengan perlawanan bola sepak antara 2015 hingga 2019.

Tiket-tiket yang Encik Iswaran didakwa terima dikatakan bernilai S$5,646.

Perlawanan-perlawanan itu adalah antara West Ham United FC dengan Everton FC (Boleyn Ground); Arsenal FC lawan Tottenham Hotspur FC (Emirates); Chelsea FC lawan Southampton FC (Stamford Bridge); Arsenal FC lawan Liverpool FC (Emirates) dan Chelsea FC lawan Manchester City FC (Stamford Bridge).

3. Tiket ke Grand Prix F1 Singapura

Encik Iswaran didakwa menerima tiket-tiket "Green Room", tiket "Boardwalk", tiket "Twenty3" dan tiket kemasukan awam ke edisi-edisi perlumbaan Grand Prix Formula 1 Singapura antara 2016 hingga 2022.

Kesemua tiket itu bernilai S$347,152 secara keseluruhannya.

4. Penerbangan pesawat privet, penginapan di hotel, penerbangan kelas perniagaan

Pada Disember 2022, Encik Iswaran dipercayai menerima ganjaran daripada Encik Ong melibatkan lawatan ke Doha.

Encik Ong merupakan individu di sebalik Singapore GP, yang membawa masuk Grand Prix Formula 1 ke Singapura pada 2008.

Encik Iswaran dikatakan menaiki pesawat privet Encik Ong dari Singapura ke Doha yang bernilai S$10,410.40.

Dia juga dipercayai menerima tempoh penginapan sehari di Four Seasons Doha, yang bernilai S$4,737.63 dan penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura yang bernilai S$5,700.

Kedua-duanya ditempah menerusi syarikat Encik Ong, Singapore GP.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan