Skip to main content

Singapura

Tiket pementasan habis dijual, program penuh - Pesta Pecah Panggung raih sambutan hangat

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 03 May 2026 06:33PM Dikemas Kini : 17 May 2026 01:05PM
SINGAPURA: Tiket bagi pementasan-pementasan yang diadakan sempena Pesta Pecah Panggung habis dijual seawal tiga hingga empat hari sebelum acara berlangsung, dengan kebanyakan program kebudayaan turut mencatatkan kehadiran penuh.

Malah sambutan Pesta Pecah Panggung yang diadakan sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) begitu hangat sehingga pihak penganjur menerima permintaan dari para pengunjung agar jumlah tiket dan tempat duduk ditambah bagi pementasan dan program yang disediakan.

Pementasan yang mendapat sambutan hangat adalah Wajah dan Bayang serta Kota Impian: Modern Women.

Menurut Pengurus Program TWM, Liyana Nasyita yang ditemui pada Ahad (3 Mei) iaitu hari terakhir festival tersebut, sambutan daripada orang ramai amat memberangsangkan.

"Untuk minggu pertama kita adakan pementasan 'Wajah dan Bayang' yang merupakan satu pementasan seni persembahan daripada negara-negara Singapura, Indonesia dan juga Malaysia. Jadi seni persembahan dari setiap negara dan tiket untuk ketiga-tiga persembahan habis dijual tiga atau empat hari sebelum persembahan pertama. Untuk pementasan kedua iaitu Kota Impian, pementasan teater yang kami baru habis semalam. Tiket untuk kelima-lima persembahan ini juga habis dijual sebelum kami memulakan persembahan itu." kata Cik Liyana.

"Malahan kami dapat maklum balas ataupun permintaan untuk lebihkan tiket dan tempat duduk. Tapi malangnya kita tak boleh buat sedemikian. Jadi kita boleh lihatlah dalam penjualan tiket itu. Pementasan kita dapat banyak sokongan," tambahnya lagi.

Lebih dari itu, maklum balas pengunjung juga positif, dengan ramai menghargai peluang untuk mendalami budaya dan warisan Melayu melalui pelbagai acara yang ditawarkan.


APA YANG PENGUNJUNG BOLEH JANGKAKAN SELEPAS INI?

Memandang ke hadapan, Cik Liyana menerangkan ada beberapa perancangan untuk bulan-bulan mendatang.

"Mungkin dalam bulan September, InsyaAllah kita akan adakan festival sebegini juga tapi bertemakan lainlah. Jadi, kami akan teruskan kerjasama dengan masyarakat dengan rakan-rakan kerjasama di Kampung Gelam dan juga rakan-rakan kerjasama seni setempat untuk sama-sama fikirkan program," jelas Cik Liyana.

"Jadi nantikan saja nanti Julai kita akan adakan festival dikir Barat. Kita akan bekerjasama dengan NUS dikir dan juga nanti dalam bulan September juga ada festival lagi. Jadi adalah banyak lagi selepas ini." tambah beliau.

Pesta Pecah Panggung berlangsung selama sembilan hari bermula 25 April.

Ia melabuhkan tirainya pada Ahad (3 Mei) dengan acara penutup “Pesta Pusaka: Silat Fiesta Showcase”.

Sepanjang sambutan, festival itu menampilkan pelbagai program seni dan budaya yang menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita