Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiket bas masuk Johor Bahru habis dijual hingga hujung tahun, sebilangan rakyat Singapura pertimbang rancangan ke seberang tambak

Rakyat Singapura yang berhasrat untuk ke Johor Bahru dan belum mendapatkan tiket mungkin perlu menunggu sehingga awal tahun depan untuk berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang berhasrat untuk ke Johor Bahru dan belum mendapatkan tiket mungkin perlu menunggu sehingga awal tahun depan untuk berbuat demikian.

Ini kerana tiket bas masuk ke Johor Bahru melalui Skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL Darat) Singapura-Malaysia sudah habis dijual sehingga hujung bulan ini.

Menjelang peluasan VTL Darat Singapura-Malaysia pada Isnin (20 Dis) yang membolehkan rakyat Singapura merentas ke Johor Bahru, sebilangan rakyat Singapura terpaksa menangguhkan perancangan mereka untuk seberang tambak.

PELUANG BERJUMPA IBU BAPA DI JOHOR TERHAMBAT

Sudah lebih dua tahun panggilan video mengganti dakapan ibu bapa Cik Haryati Rahyat yang tinggal berduaan di Johor Bahru.

Ibu bapanya masing-masing menghidapi penyakit kronik seperti sakit jantung dan kencing manis, dan terpaksa menguruskan diri tanpa pantauan anak-anak di sana.

Lantaran itulah, keputusan memperluaskan Skim VTL Darat Singapura-Malaysia mulai Isnin (20 Dis) untuk antaranya membenarkan warga Singapura memasuki Johor Bahru, bak bulan jatuh ke riba Cik Haryati, 40 tahun.

(Gambar: BERITAmediacorp/Hakim Irwan)

"Mesti saya rasa gembira, gembira sangat. Pertama sekali dalam otak kita, ingat mak, abah. Pasal kita memang nak balik, ambil mereka. Untuk saya ajak mereka balik, uruskan segalanya di sana, agak cerah lah," luah ibu empat orang anak itu.

Cik Haryati sudah merancang untuk pulang ke Johor Bahru sekurang-kurangnya selama 10 hari.

Mengikut perancangan, Cik Haryati perlu menguruskan segala urusan rumah ibu bapanya, sebelum dapat membawa mereka pulang ke Singapura.

Namun, Cik Haryati tidak berpeluang menjadi antara mereka yang terawal memanfaatkan skim VTL tersebut kerana tiket bas masuk Johor Bahru sudah habis dijual sehingga 29 Disember ini.

Setakat Ahad (19 Dis) jam 4.00 petang, syarikat Transtar Travel, mempunyai tiket selepas 29 Disember, namun tiada tiket pulang sehingga 17 Januari depan.

Menerusi syarikat bas Handal Indah pula, tiket bas masuk paling awal adalah pada 10 Januari depan.

Cik Haryati berkata: "Mula-mula kita tengok tiket, tiket dah habis. Habis bila di umumkan macam begini, orang Singapura boleh masuk, mesti tiket sudah tidak adalah. Mestilah siapa tak nak tiket, kalau boleh 20 hari bulan ini juga saya nak balik."

RAKYAT S'PURA MILIK RUMAH DI JB, NAMUN BELUM ADA HATI INGIN KE SEBERANG TAMBAK

Tidak seperti Cik Haryati, sekurang-kurangnya 10 rakyat Singapura yang dihubungi BERITAmediacorp sebenarnya belum tergesa-gesa untuk ke seberang tambak.

Antara mereka, Encik Ramli Abdul Razak, 61 tahun, dan isteri Cik Rugayah Ishak, 62 tahun, yang memiliki sebuah rumah di Johor Bahru sejak lebih lima tahun lalu.

Sebelum pandemik COVID-19, pasangan suami isteri itu bersama keluarga mereka akan singgah ke rumah mereka di Johor Bahru dua minggu sekali.

Meskipun sudah dua tahun tidak jejakkan kaki ke rumah mereka di sana, ada pelbagai faktor yang menahan mereka berbuat demikian.

(Gambar: BERITAmediacorp/Hakim Irwan)

"Bila Pemerintah berikan keputusan yang kita sudah boleh masuk melalui Woodlands, kita gembira juga tetapi bila sedar cuma boleh gunakan bas awam, kita macam tunggu dahulu," ujar Encik Ramli.

"Sebab nak beratur pun panjang, kita harus pergi Larkin Sentral. Daripada sana kita tidak ada kenderaan untuk pulang ke rumah di Johor. Jadi kita juga tidak tergesa-gesa untuk pulang."

"Satu lagi, ujian sebanyak tujuh kali, S$89, balik dari JB ke Singapura perlu ambil lagi ujian lapan ujian. Mungkin sekitar S$86. Ia bukan jumlah yang sikit," tambah ayah tiga orang anak itu.

Gambar ihsan: Ramli

Menurut Encik Ramli, jiran tetangganya juga menunggu masa untuk VTL Darat Singapura-Malaysia diperluaskan bagi membolehkan rakyat Singapura memandu kereta masuk ke Johor Bahru.

Lantaran itu, apabila mendengar berita bahawa Kerajaan Malaysia bercadang untuk meningkatkan kuota harian pelawat warga Malaysia dan Singapura kepada 2,100 orang mulai Isnin (20 Dis) berbanding 1,440 sekarang ini, Encik Ramli tidak terlalu terkesan olehnya.

Encik Ramli berkata: "Saya tolak ke tepi sahaja sebab saya masih perlu hadapi ujian-ujian di Pusat Pemeriksaan. jadi untuk rakyat Singapura yang ada rumah di Johor Bahru dan mereka memandu, pastinya mereka akan tunggu dahulu."

Baca: Kerajaan M'sia cadang tambah kuota harian VTL darat kepada 2,100 pelawat sehala

Jika keadaan pergerakan merentasi sempadan kembali kepada seperti sebelum pandemik COVID-19, Encik Ramli berhasrat untuk ke Johor Bahru hanya selepas Tahun Baru Cina tahun depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan