Tiket bas 'balik kampung' musim Hari Raya laris
BERITAmediacorp: Permintaan bagi tiket perjalanan ulang alik ke beberapa destinasi Malaysia biasanya melonjak naik pada setiap musim perayaan termasuk Hari Raya.
Dan harganya boleh meningkat seganda ekoran permintaan yang sangat tinggi.
Namun keadaannya berbeza pada tahun ini.
Demikian tinjauan BERITAmediacorp di Kompleks Golden Mile hari ini (19 April).
Syarikat bas StarMart Express & Tours menyatakan sebanyak 70 peratus tiket bas untuk musim perayaan ini sudah ditempah setakat ini.
Tiket ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh dan Taiping antara yang paling laris untuk perjalanan antara 29 April hingga 2 Mei nanti.
StarMart Express juga mengekalkan harga tiketnya pada harga S$30 untuk perjalanan sehala.
Pegawai tiket dan perkhidmatan pelanggan StarMart Express Cik Aslinda Abbas menjangkakan permintaan tiket bas akan meningkat dalam masa dua minggu akan datang.
"Kami nasihat supaya membeli tiket seminggu sebelum Hari Raya. Mungkin ada satu atau dua tiket yang belum terjual dua tiga hari sebelum raya.
"Tetapi kalau mereka ada dua hingga empat orang, mungkin tiada ada lagi tempat untuk mereka," nasihat Cik Aslinda.
Jumlah tiket terhad memandangkan syarikat itu hanya dibenarkan mengendalikan 12 bas ulang alik antara Singapura dan Malaysia buat masa ini, berbanding lebih 100 bas pada 2019.
Syarikat bas Sri Maju Tours & Travel pula menyatakan semua tiket ulang alik antara 28 April hingga 2 Mei pula habis dijual.
Sri Maju hanya menawarkan khidmat bas ke Ipoh dan Lumut sahaja.
Syarikat itu tidak dapat menawarkan perkhidmatan ke lebih banyak destinasi pada masa ini kerana masalah kekurangan pemandu.
Jurucakap syarikatnya berkata kebanyakan pemandu Malaysia belum boleh masuk ke Singapura kerana tidak mempunyai pasport.
JETSTAR ASIA AKAN TAMBAH PENERBANGAN
Syarikat penerbangan tambang murah Jetstar Asia menyatakan sekatan perjalanan udara yang dilonggarkan telah mengembalikan keyakinan penumpang, sekali gus meningkatkan permintaan bagi perjalanan di musim perayaan.
Jurucakapnya berkata syarikat ia kini menawarkan 43 penerbangan ulang alik seminggu antara Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Bermula 25 April nanti, ia akan menawarkan tiga penerbangan ulang alik antara Singapura dan Surabaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.