Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiket acara pratonton, NDP 2022 boleh diambil mulai 8 Julai ini

Anggaran Waktu Membaca:
Tiket acara pratonton, NDP 2022 boleh diambil mulai 8 Julai ini

(Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Tiket-tiket bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2022 dan dua acara pranonton boleh diambil mulai 8 Julai. 

Para pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui emel antara 27 Jun dengan 1 Julai, menurut jawatankuasa eksekutif NDP pada Isnin (20 Jun). 

Mereka kemudian boleh mengambil tiket mereka antara 8 hingga 10 Julai dan dari 15 hingga 17 Julai. 

Menurut jawatankuasa tersebut, pemberitahuan melalui emel akan dikirimkan melalui alamat emel ndp2022 [at] hapz.com

Tiada alamat emel lain atau wadah makluman lain, seperti SMS, akan digunakan oleh Jawatankuasa Tiket NDP. 

Tiket-tiket yang tidak diambil sebelum 8.30 malam pada 17 Julai akan dibatalkan dan tiada rayuan dibenarkan. 

NDP tahun ini di Pentas Terapung @ Marina Bay akan dibuka kepada orang ramai, dengan pihak penganjur ingin membawa masuk "seramai mungkin rakyat Singapura" ke lokasi tersebut untuk meraikan ulang tahun Singapura yang ke-57, menurut jawatankuasa tersebut pada awal bulan ini. 

Para penonton boleh menyaksikan NDP 2022 secara beramai-ramai dua tahun selepas ulang tahun negara terpaksa dikecilkan skala sambutannya disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Seiring dengan garis panduan COVID-19 negara, langkah-langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi akan dikuatkuasakan bagi NDP 2022 dan dua acara pratonton itu. 

Lantaran itu, hanya individu yang sudah lengkap divaksin, mereka yang sudah pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 180 hari, mereka yang tidak layak menerima sebarang vaksin atas sebab perubatan di bawah program vaksinasi nasional dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan dibenarkan untuk menghadiri acara-acara tersebut. 

Setiap tiket hanya menerima masuk seorang penonton. Kanak-kanak, termasuk bayi, perlu mempunyai tiket yang sah. 

Para pemohon yang tidak dapat mengambil tiket mereka pada tarikh-tarikh yang ditetapkan boleh memberikan emel pemberitahuan itu kepada seorang anggota keluarga atau rakan untuk mengambil tiket tersebut bagi pihak mereka. 

Emel pemberitahuan itu mengandungi kod QR yang diperlukan untuk mengambil tiket dan hanya boleh digunakan sekali saja, menurut jawatankuasa eksekutif itu. Atas sebab itu, para pemohon "sangat tidak digalakkan" untuk berkongsi emel tersebut dengan penerima lain. 

Lebih banyak perincian boleh didapatkan melalui emel pemberitahuan tersebut. 

"Semua tiket NDP Pratonton 1, NDP Pratonton 2 dan NDP 2022 sama sekali bukan untuk dijual. Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat dalam aktiviti menjual semula tiket ataupun menjual tiket palsu," tegas jawatankuasa tersebut. 

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan bermula pada hujung minggu 6 dan 7 Ogos di mana sambutan di kawasan-kawasan kejiranan yang dianjurkan bersama Persatuan Rakyat (PA) akan diadakan di lima lokasi merata negara ini. 

Lebih banyak butiran tentang sambutan di kawasan-kawasan kejiranan akan dimaklumkan kelak. 

Sambutan pada 9 Ogos akan menampilkan pertunjukan pertahanan mutlak,  persembahan dan perbarisan. 

Tema NDP 2022, 'Lebih Kukuh Bersama, Majulah!' menyeru rakyat Singapura supaya terus maju sebagai rakyat yang bersatu padu dan teguh demi mencapai masa depan yang lebih cerah. 

Perbarisan tahun ini mungkin yang terakhir diadakan di Pentas Terapung sebelum ia membuka laluan kepada pembinaan Dataran NS, iaitu sebuah ruang tetap bagi memperingati Perkhidmatan Negara (NS), yang dijadualkan bermula pada Mac 2023. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan