Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga teras MAB Muda - Suara Muda, Wacana Muda dan Tindakan Muda - digariskan agar pandangan belia terus diberi perhatian

Tiga teras utama digariskan bagi gerakan belia yang baru dilancarkan pada Ahad (12 Jun) iaitu MAB Muda oleh Biro Hal Ehwal Melayu (MAB) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Tiga teras utama digariskan bagi gerakan belia yang baru dilancarkan pada Ahad (12 Jun) iaitu MAB Muda oleh Biro Hal Ehwal Melayu (MAB) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Ini bagi merancang inisiatif dan memikirkan bagaimana untuk mendampingi lebih ramai golongan belia Melayu/Islam.

"Usaha kami yang dianjurkan di bawah Suara MUDA adalah untuk menyuarakan dan membincangkan hal ehwal semasa dan isu hangat termasuk membangkitkan di parlimen dan saluran lain apabila ada peluangnya. Kita juga akan adakan Wacana Muda - untuk komunikasi dan penglibatan media sosial, dan terakhir sekali adalah Tindakan Muda - untuk mengambil tindakan terhadap isu yang diminati oleh kumpulan anak muda Melayu/Islam yang berbeza," jelas pengerusi bersama MAB Muda, Cik Nadia Ahmad Samdin.

Selain teras tersebut, dapatkan tinjauan yang dijalankan mereka juga merupakan satu titik permulaan yang baik untuk mendapatkan gambaran ringkas mengenai golongan belia masyarakat Melayu/Islam setempat.

Tinjauan yang dijalankan pada Mei lalu itu melibatkan 162 belia Melayu/Islam yang berusia bawah 35 tahun.

Cik Nadia berkata: "Kita mesti tahu apakah tindakan yang mereka ingin lakukan supaya kita dapat mengiring mereka sepanjang perjalanan mereka. Melangkah ke hadapan, kami juga ingin memahami lebih mendalam apa yang ingin mereka perjuangkan dan bekerjasama dengan mereka yang mempunyai minat yang sama."
BAWA SUARA BELIA KE PARLIMEN

Menurut Cik Nadia, MAB Muda diharapkan akan menjadi wadah untuk membawa suara-suara pemuda-pemudi Melayu/Islam ke parlimen.

"Para AP kami juga berminat dengan pelbagai topik yang berkaitan dengan anak muda dan akan terus membangkitkan isu ini sebagai suara langsung di parlimen. Kami berharap ramai belia akan tampil ke hadapan dan kita dapat bekerjasama dengan individu dan kumpulan yang mempunyai naluri yang sama dan yang ingin benar-benar bekerjasama untuk kebaikan dalam komuniti kami," jelas Cik Nadia.

Menerusi tinjauan yang dilakukan itu, pihak MAB juga mendapat bayangan tentang keinginan dan minat belia Melayu/Islam dalam perihal politik.

Sebahagian besar responden iaitu lebih 45 peratus daripada mereka agak minat dalam bidang politik manakala 8 peratus responden 'sangat minat' dan sekitar 18 peratus pula 'minat' dalam politik.

“Masih ada orang yang berfikiran anak muda tidak mengambil berat tentang isu-isu mada depan mereka. Respon ini menggalakkan kerana ini menunjukkan mereka sedia untuk tampil ke hadapan dan juga berminat dengan politik, komen tentang politik atau menyertainya. Respon ini juga berkaitan dengan bagaimana belia inginkan lebih banyak perwakilan dalam badan-badan dan politik,”jelas Cik Nadia.

Menurut Penolong Setiausaha MAB, Profesor Madya Elmie Nekmat, perangkaan itu sangat menggalakkan untuk masa depan Singapura, meskipun satu trend yang mengejutkan. Ini kerana menurutnya, "ramai di kalangan masyarakat yang berfikiran bahawa golongan belia tidak mengambil berat tentang politik."

"Politik bukan saja perwakilan tetapi ia juga boleh merangkumi perbincangan dasar dengan penggubal politik, menyuarakan tentang isu-isu sosial yang menjejas kehidupan mereka. Kalau kita lihat dalam dapatan itu, belia memang minat dalam politik."

"Suara-suara dan pendapat belia adalah sangat penting untuk masyarakat kita menuju ke masa depan. Pendapat dan visi mereka serta keprihatinan tentang masyarakat adalah sesuatu yang harus kita mengambil berat," tambah beliau lagi.

Cik Nadia yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio juga melihat dapatan tersebut sebagai menggalakkan.

Beliau juga gembira melihat sejauh mana belia-belia itu bersedia dalam mengambil sebarang bentuk tindakan untuk membantu masyarakat mencapai aspirasi masyarakat.

Dua pertiga responden mengatakan bahawa mereka sama ada 'sangat berkemungkinan' atau 'berkemungkinan' untuk berbuat demikian.

Cik Nadia berkata, "Respon ini menggalakkan kerana ini menunjukkan mereka sedia untuk tampil ke hadapan. Suara belia kita bukan hanya satu sahaja. Kalau lebih ramai yang berani, saya rasa ini sesuatu yang menggalakkan untuk masyarakat kita."

BELIA HARUS LEBIH BERANI SESUAIKAN DIRI DAN FLEKSIBEL

Tinjauan MAB tersebut juga mendapatkan pandangan golongan belia tentang tahap kesediaan mereka dalam menghadapi cabaran dan peluang masa depan.

Hakikatnya, sekitar 22 peratus responden tinjauan itu merasakan bahawa golongan belia sama ada 'sangat bersedia' atau 'bersedia' dalam aspek tersebut.

Lebih 77 peratus responden pula merasakan bahawa golongan belia 'bersedia tahap sederhana (56 peratus), tidak begitu bersedia (19 peratus) dan tidak bersedia langsung (3 peratus).

Berkenaan perangkaan tersebut, Dr Elmie berpendapat bahawa pandemik COVID-19 banyak menjejas dan menjadi punca keraguan para belia tentang masa depan mereka.

Dalam hal itu, Dr Elmie memberikan nasihat kepada para belia: "Belia harus lebih berani menyesuaikan diri dan fleksibel. Mereka harus mempunyai pemikiran untuk belajar untuk terus dapat mencapai keperluan pekerjaan dan kemahiran."

COVID-19 ANTARA FAKTOR PUNCA KEBIMBANGAN PARA BELIA

Mengenai cabaran-cabaran utama yang dihadapi golongan belia Melayu/Islam, hampir 20 peratus responden merasakan bahawa kos perumahan dan keselamatan adalah cabaran paling utama.

Gaji rendah di tempat kerja pula menyusuli sebagai cabaran kedua tertinggi, manakala hampir 18 peratus responden merasakan bahawa isu diskriminasi turut menjadi antara cabaran paling utama yang membelenggu golongan belia.

"Ini bukan satu respon yang mengejutkan dan saya rasa isu-isu ini, kita sudah cuba memperbaikinya sejak beberapa tahun lalu. Masyarakat kita juga sentiasa berkembang dan terpengaruh dengan trend global. Masyarakat tidak sentiasa kekal begitu," jelas Cik Nadia.

Antara contoh bagaimana trend global terus berubah adalah bagaimana pandemik COVID-19 turut merubah perspektif dan kegiatan masyarakat sejagat.

Dr Elmie pula menambah: "Ini tidak mengejutkan kerana tinjauan ini pun memang diadakan pasca COVID-19 pada bulan Mei jadi ramai belia khuatir tentang kestabilan ekonomi. Daripada bangku sekolah, mereka ingin beralih ke alam pekerjaan atau alam kekeluargaan, dengan ekonomi pasca COVID-19 yang tidak menentu."

Inilah antara keprihatinan yang harap dapat dibincangkan para belia dengan para penggubal dasar menerusi wadah yang disediakan MAB Muda.

MAB Muda ditubuhkan pada tahun lalu bagi mencari wadah-wadah baru dan inisiatif yang akan mencerminkan keprihatinan golongan belia masa kini dan mengembangkan aspirasi mereka.

Gerakan itu dirasmikan dalam satu majlis pelancaran pada Ahad (12 Jun) yang dihadiri sekitar 30 belia dan disertai pengerusi bersama MAB Muda iaitu Cik Nadia sendiri dan AP GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim.

Melangkah ke hadapan, MAB Muda akan mengadakan lebih banyak perbincangan fokus dan tinjauan dengan kumpulan belia lain demi memahami lebih lanjut tentang masyarakat belia Melayu/Islam.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan