Skip to main content

Singapura

Tiga syarikat didenda buang bahan toksik, berbahaya ke dalam pembetung awam

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga syarikat didenda buang bahan toksik, berbahaya ke dalam pembetung awam
Diterbitkan : 18 Apr 2023 09:49AM

SINGAPURA: Tiga syarikat didapati bersalah dan didenda kerana membuang secara haram bahan toksik dan berbahaya ke dalam pembetung awam.

Demikian menurut agensi air negara PUB pada Isnin (17 Apr).

Dua syarikat pengurusan sisa toksik perkilangan, Chem-Olv Technologies dan NSL OilChem Logistics didakwa dan disabit kesalahan di mahkamah pada November 2022.

Chem-Solv Technologies didenda S$8,500 dan diarah untuk memasang alat pengesan pemantauan tambahan di pekarangannya. NSL OilChem Logistic pula didenda S$13,000.

Syarikat pengeluaran Century Water Systems and Technologies didakwa di mahkamah pada Februari 2023 dan didenda S$3,300.

BAGAIMANA KESALAHAN ITU DIKESAN

Antara Mei 2021 dengan September 2021, alat sensor online PUB mengesan kehadiran bahan mudah meluap yang dilarang pada paras "terlalu tinggi" dalam sisa air yang dilepaskan dari kilang-kilang di kawasan Pioneer Sector.

Pegawai PUB menjalankan pemeriksaan mengejut di Chem-Solv Technologies pada 6 September 2021 dan menemui sisa air berwarna hijau. Ia mengandungi lapan jenis bahan organik terlarang, yang dibuang ke dalam pembetung awam.

Salah satu bahan ini ialah toluena, yang biasanya digunakan sebagai pelarut atau bahan mentah industri.

PUB mendapati tahap kepekatan toluena dalam bahan itu berada pada paras "sangat berbahaya" dan boleh "menimbulkan bahaya kebakaran atau letupan dalam sistem pembetungan awam".

Antara Disember 2021 dengan Januari 2022, regim mengambil sampel secara kerap oleh agensi itu mengesan bahan berbahaya pada paras tinggi luar biasa, termasuk logam berat, dalam pembetung awam di kawasan Tuas.

PUB menyatakan ia menjejak bacaan yang dicatat ke perkarangan NSL OilChem Logistic dan mengambil sampel sisa cecair dari syarikat itu pada 25 Januari dan 1 Februari tahun lalu.

Ujian mengesahkan adanya sisa tiga logam berat dan boron pada "paras yang melebihi had".

Pemeriksaan rutin oleh PUB yang dijalankan pada 20 Mei 2022 mendapati sisa cecair yang dilepaskan oleh Century Water Systems and Technologies mengandungi paras dimethylacetamide yang tinggi.

Bahan itu sering digunakan dalam pelarut perkilangan.

Syarikat tersebut tidak menggunakan khidmat pengurus sisa toksik perkilangan berlesen bagi pembuangan sisa yang betul. Agensi itu menyatakan bahawa paras tinggi dimethylacetamide didapati boleh menganggu proses pengeluaran NEWater.


PEMANTAUAN SECARA KERAP SISA CECAIR

PUB menyatakan ia memantau lebih 5,000 syarikat setiap tahun untuk mengesan sisa cecair yang dilepaskan ke dalam sistem pembetung.

Sebuah program melibatkan alat sensor online masa nyata, pemeriksaan rutin dan analisis sampel secara kerap, dijalankan untuk mengesan pelepasan sisa cecair yang mengandungi bahan terlarang.

Hukuman bagi membuang bahan-bahan berbahaya adalah denda sehingga S$15,000, hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

 

Sumber : CNA/AE/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita