Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga 'Singapore Idol' bergabung, jayakan konsert Hari Raya berskala besar pertama di Tampines

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kali selepas dua tahun, orang ramai dapat menikmati konsert Hari Raya secara besar-besaran di Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu (14 Mei).

Konsert percuma yang berjudul 'Irama Aidilfitri 2022' itu dihadiri sekitar 4,500 penonton yang memenuhi stadium bola sepak OTH.

Ini juga termasuk para undangan daripada 15 badan-badan kebajikan, selain para penduduk. 

Selama lebih dua jam, konsert yang dihoskan oleh Nurul Aini dan Najip Ali, menyajikan persembahan nyanyian lagu-lagu raya. 

Pada sekitar 8.00 malam, sorakan gemuruh kedengaran apabila juara Singapore Idol, Taufik Batisah membuka tirai persembahan dengan lagu popularnya 'Awak Kat Mana' dalam versi khas Hari Raya. 

Menariknya, ini juga kali pertama ketiga-tiga juara Singapore Idol, Taufik Batisah, Hady Mirza dan Sezairi Sezali berkongsi pentas dalam sebuah konsert.

"Saya rasa memang seronok dapat berada di satu acara bersama-sama dengan Hady dan Sezairi lagi-lagi sebab dah lama kita tidak membuat persembahan secara langsung di depan orang ramai. Jadi ini satu konsert yang sangat-sangat istimewa untuk orang-orang di Tampines jadi saya harap semua terhibur dengan persembahan kami," kongsi pemenang musim pertama Singapore Idol, Taufik Batisah. 

Memandangkan ini merupakan konsert berskala besar yang pertama selepas dua tahun, Taufik membuat pelbagai persiapan agar tidak mengecewakan para penonton yang sudah sekian lama tidak mendengar beliau menyanyi secara langsung. 

"Nyanyian ini macam ke gim. Jika sudah lama tidak bersenam, otot-otot tegang jadi dalam kesibukan saya bekerja, saya juga harus tumpukan latihan dalam nyanyian," kongsi beliau yang selama beberapa tahun ini hanya membuat persembahan di depan kamera sahaja. 

"Jadi dalam kereta bila saya sedang memandu untuk ke kerja dan sebagainya, saya bernyanyi dalam kereta untuk berlatih buat persembahan inilah," tambahnya lagi.

PENONTON DIKEJUTKAN DENGAN PERSEMBAHAN DUET TAUFIK DAN HADY  

Para penonton juga dikejutkan dengan satu lagi persembahan istimewa - iaitu gandingan Taufik Batisah dan Hady Mirza menerusi lagu 'Kenangan di Hari Raya'. 

"Saya berkongsi pentas dengan Taufik untuk menyanyikan lagu kami berdua iaitu Kenangan di Hari Raya, satu saat yang sangat-sangat istimewa tadi. Saya pun ada berkongsi dengan Taufik betapa gembiranya kami dapat berkongsi pentas bersama," ujar Hady.

Selain menyanyikan lagu raya, juara Gegar Vaganza ke itu turut menghiburkan para peminat dengan single terbarunya, 'Cinta Sampai Di Sini'.

"Dengan konsert besar-besaran seperti ini, (saya) sangat-sangat bahagia dapat berkongsi pentas dengan artis-artis yang lain dan juga semestinya, beberapa hari sebelum konsert ini, memang sangat teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan peminat-peminat yang datang pada malam ini," kongsi Hady.

Konsert ini juga sangat istimewa baginya kerana selepas sekian lama, beliau dapat bertemu kembali dengan Sezairi dan Taufik.

RASA GEMENTAR TETAPI MENYERONOKKAN - SEZAIRI SEZALI 

Bagi Sezairi pula, beliau berasa ghairah untuk bertemu dan beramah mesra dengan dua juara Singapore Idol sebelumnya iaitu Taufik dan Hady.

Apabila ditanya apakah perasaan beliau membuat persembahan di khalayak orang ramai selepas dua tahun, ini jawapannya: 

"Saya rasa gementar juga. Memang saya selalu gementar tapi tak gementar macam ini sebab memang sejak dari tadi pagi semasa pemeriksaan suara, saya pun dapat dengar suara dalam stadium yang besar dan ia memang amat menakutkan.

"Tetapi memang menyeronokkan juga sebab dah lama tak membuat persembahan terutama di Hab Tampines Kita, tempat yang sangat besar ini. Selama ini, kita cuma ada ruang acara yang kecil-kecilan sahaja."

Turut membuat persembahan pada malam itu ialah artis-artis tempatan seperti Iskandar Ismail, Rahila Rasun, Fuad Rahman dan Divine. 

Bagi mematuhi garis pandu yang ditetapkan dan menjaga keselamatan semua, hanya mereka yang sudah lengkap divaksin diberikan pas dan dibenarkan masuk. 

Untuk mereka yang tidak mendapat pas yang terhad untuk menyaksikan konsert itu secara fizikal pula, mereka tetap dapat menikmati persembahan secara langsung menerusi penstriman di Facebook OTH.

(Gambar: Facebook/Our Tampines Hub)

Dalam masa yang sama para penonton yang menyaksikannya secara fizikal di OTH, cukup teruja kerana sudah sekian lama tidak dapat berkumpul untuk menonton konsert secara besar-besaran, lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini.

Antara yang terhibur termasuk Fahd Mazlan, 38 tahun yang datang bersama keluarga. 

"Konsert ini sangat 'gerek' sebab sudah dua tahun tidak dapat menonton konsert dan mereka menampilkan artis legenda seperti Fuad Rahman dan ketiga-tiga Singapore Idol dan saya juga peminat besar Iskandar Ismail," kongsi Encik Fahd.

Meskipun diadakan di tempat terbuka,  ramai dalam kalangan para penonton yang kelihatan masih memaki pelitup. 

"Memakai pelitup itu sedikit mengehadkan tetapi masih lagi menyeronokkan sebab sudah nampak orang ramai semua joget-joget dan semua memancarkan cahaya lampu telefon mereka. Semua seronok," tambah beliau. 

Keghairahan yang sama turut digambarkan Cik Hariatee, 48 tahun.

"Pengalaman yang menakjubkan. Memang sudah dua tahun tak dapat merasakan berada dalam berkerumun ini jadi kami amat berterima kasih kepada OTH menjayakan konsert ini secara percuma!" luah Cik Hariatee kepada BERITAmediacorp.

Konsert tersebut turut dihadiri para penasihat pertubuhan-pertubuhan akar umbi Tampines, Menteri Masagos Zulkifli, Datuk Bandar Desmond Choo, Encik Baey Yam Keng dan Cik Cheng Li Hui. 

KONSERT JADI PLATFORM RAPATKAN MASYARAKAT 

Bagi pihak penganjur iaitu OTH pula, konsert sebegini adalah antara usaha dan platform untuk merapatkan masyarakat bersama.

"Para penonton kita sangat gembira dapat menyaksikan artis kegemaran mereka membuat persembahan di pentas. Jadi menerusi detik-detik ini di mana mereka meluangkan dua hingga tiga jam bersama kita, kita dapat melihat persahabatan dan hubungan di antara mereka dipupuk," kongsi Timbalan Pengarah OTH, Stella Wong.

(Gambar: Facebook/Our Tampines Hub)

Konsert tersebut juga antara kegiatan menarik yang dianjurkan sempena 2022 dikhususkan sebagai 'Tahun Meraikan Keluarga SG' oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga. 

Menurut Cik Wong, orang ramai juga boleh menjangkakan lebih banyak acara di OTH pada musim cuti sekolah ini.

"Kami akan mempersembahkan Pesta Seni OTH buat pertama kali iaitu Tampines 3065 di mana penduduk Tampines boleh menjangkakan tiga hujung minggu yang dilengkapi dengan acara muzik di Town Square," kata Cik Wong.

Bagi elemen sukan pula, beberapa senaman bertemakan cereka sains atau 'sci-fi' juga akan disediakan buat para penduduk. 

Orang ramai boleh melungsuri laman Facebook OTH untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai acara-acara itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan