Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga penuntut Melayu teruja dapat wakili SG bagi Pertandingan WorldSkills ASEAN

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bertanding semasa bulan Ramadan tidak menjadi hambatan bagi pasukan Zamiruzzaman Ibrahim dan Mohamed Firdaus Ramlan melakukan yang terbaik semasa pertandingan kemahiran WorldSkills Singapore (WSS) peringkat kebangsaan.

Kedua-dua pelajar dari Politeknik Republik (RP) itu berjaya muncul sebagai pemenang pingat emas dalam acara berpasukan bagi Sistem Gerak Cepat.

​​​​(Gambar: Politeknik Republik)

Ini selepas menjalani latihan intensif sejak tahun lalu lagi bagi mendalami bidang kemahiran tersebut sebelum pertandingannya.

"Kami perlu memberi penjelasan tentang litar yang kami tidak ada banyak pengalaman kerana litar itu berbeza semasa latihan dan juga pertandingan," kongsi Zamiruzzaman, 24 tahun.

"Selain itu juga, pertandingan ini dijalankan semasa bulan Ramadan dan memerlukan banyak tenaga daripada kami untuk mengendalikan alat-alatnya," tambahnya.

WAKILI NEGARA DI PERINGKAT ASEAN PULA

(Gambar: Politeknik Republik)

Sekitar 122 peserta bertanding untuk menonjolkan prestasi terbaik masing-masing dalam 12 bidang kemahiran di pertandingan WSS 2023.

Dengan kemenangan pingat emas itu, mereka juga terpilih untuk mewakili Singapura bagi pertandingan WorldSkills peringkat ASEAN (WSA) ke-13 yang akan diadakan pada Julai nanti.

Zamiruzzaman Ibrahim (kiri) dan Mohamed Firdaus Ramlan (kanan)

Mereka antara 44 penuntut terpilih membentuk kontinjen negara bagi pertandingan itu kali ini.

"Sebenarnya, kami tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini kerana tujuan kami untuk meraih pengalaman sahaja. Selain itu, kami berasa bangga dapat mewakili negara untuk bertanding dan juga bersaing bersama peserta-peserta dari negara lain," menurut Zamiruzzaman kepada BERITAmediacorp.

Pertandingan itu bakal menyaksikan hampir 250 bakat muda dari negara-negara ASEAN bersaing dalam 22 bidang kemahiran, dengan Singapura menjadi tuan rumah buat pertama kalinya.

HARAP DAPAT TERUSKAN KERJAYA DALAM BIDANG LANDASAN KERETA API

Bagi pelajar itu, minatnya dalam Sistem Gerak Cepat tercetus apabila mengadakan rondaan semasa bertugas sebagai Pegawai TransCom Pengangkutan Awam.

Pengalamannya itu mendorongnya untuk mengikuti kursus Diploma dalam Sistem Kejuruteraan dan Pengurusan di RP serta mengambil bahagian dalam WSS untuk meraih lebih banyak pengalaman dan pengetahuan.

"Harapan kami ialah ini dapat meneruskan kerjaya dalam bidang sistem landasan kereta api dan juga kemahiran ini dapat digunakan dalam pelajaran kami dan juga kerjaya masa hadapan," ujar Zamiruzzaman.

Bagi Zamiruzzaman dan Firdaus, mereka akan berlatih lebih keras lagi untuk mempersiapkan diri bersaing dengan para peserta dari luar negara.

"Kami akan membuat lebih banyak latihan dan juga memperbaiki kelemahan kami sebelum ini supaya dapat menyelesaikan (tugasnya) dengan cepat dan juga cekap," dedah Zamiruzzaman.

Mereka juga akan menimba beberapa kemahiran teknikal dan pengetahuan baru untuk menjalani beberapa tugas seperti 'Rolling Stock', Isyarat dan Bekalan Kuasa Tarikan.

SELINA SAPII CEMERLANG DALAM KHIDMAT RESTORAN

(Gambar: Politeknik Republik)

Seorang lagi pelajar dari RP yang akan mewakili Singapura di Pertandingan WorldSkills peringkat ASEAN itu ialah Selina Sapii yang berjaya meraih pingat emas bagi kemahiran Khidmat Restoran.

Graduan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu pada mulanya minat dalam pertandingan memasak, namun memilih untuk menyahut cabaran bertanding dalam Khidmat Restoran atas cadangan jurulatihnya.

Menurutnya, terdapat tujuh modul yang beliau perlu jalani termasuk barista, ukiran buah-buahan dan hidangan pesona.

Malah, pengalaman bekerja sambilan dalam restoran hidangan pesona banyak membantu pelajar berusia 21 tahun itu.

"Saya suka hidangan pesona kerana ia adalah empat kursus hidangan yang saya harus lakukan dan ia menggunakan banyak kemahiran saya dan saya harus menunjukkan kemahiran dan profesionalisme saya," kongsi Selina kepada BERITAmediacorp.

Namun, kejayaan pelajar itu tidak datang bergolek tanpa cabaran.

Apabila waktu pertandingan semakin hampir, Selina perlu menjalani latihan intensif sekitar empat hingga enam jam setiap hari.

Beliau juga tidak menjangka, keputusan menyebelahinya.

"Saya rasa terkejut dan gembira dalam masa yang sama, kerana tidak dijangkakan yang saya akan memenangi pingat emas dan ini menggembirakan saya. Dengan memenangi pertandingan ini, saya akan bekerja lebih keras lagi," ujar Selina.

Untuk pertandingan di peringkat ASEAN nanti, Selina bertekad untuk bekerja keras dan meraih lebih banyak ilmu daripada jurulatihnya.

"Saya akan ikuti apa-apa modul yang saya sudah lalui dalam WorldSkills Singapore dan jurulatih saya akan memberikan saya modul-modul itu yang saya harus menyelesaikan dan ini akan menyediakan saya untuk pertandingan ini," menurut Selina.

Pelajar yang sedang menuntut di RP bagi Diploma Operasi Restoran dan Kulinari itu berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke Le Cordon Bleu di Paris atau di Institut Kulinari Amerika.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan