Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga pelajar cemerlang terima Anugerah Madrasah LBKM

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga pelajar cemerlang terima Anugerah Madrasah LBKM

Tiga pelajar yang terima Anugerah Madrasah LBKM. (Gambar: LBKM)

SINGAPURA: Mutu kecemerlangan para pelajar Madrasah tempatan akan terus menunjukkan trend yang progresif bagi tahun-tahun mendatang.

Demikian menurut presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) di acara Anugerah Madrasah ke-6 yang diadakan pada Jumaat (17 Jun).

Daripada 13 pencalonan mewakili kesemua enam madrasah tempatan, tiga pelajar dipilih sebagai penerima Anugerah Madrasah LBKM tahun ini.

Para penerimanya dianggap sebagai yang 'terbaik dari kalangan terbaik' daripada para pelajar madrasah yang menduduki peperiksaan PSLE, GCE O dan GCE A tahun lalu.

Tahun ini, beberapa pertimbangan baru ditambah bagi proses penilaian memilih para penerima anugerah, terutamanya bagi peringkat pra-universiti.

Ia bagi menggalakkan para pelajar mencapai matlamat yang lebih tinggi dalam bidang pengajian akademik, kepimpinan, dan penglibatan masyarakat.

ASIF BAZIL MUHAMMAD HAFIIDZ PELAJAR TERBAIK PSLE

Penerima bagi Anugerah Madrasah LBKM 2022 bagi kategori PSLE ialah Asif Bazil Muhammad Hafiidz dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah
yang merima wang berjumlah S$500.

--

Asif, 13 tahun antaranya mencapai keputusan PSLE cemerlang AL10 dan keputusan terbaik, AL1 bagi subjek bahasa ibunda kerana mencapai lebih 90 markah.

Asif juga bukan calang-calang pelajar. Sepanjang di sekolah rendah, Asif menerima pelbagai lagi anugerah. Ini termasuk Anugerah Pelajar Madrasah MUIS, dan Anugerah Subjek Agama dan Sekular dari 2017 hingga tahun lepas.

Menurut guru Asif di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Asif seorang pelajar yang sangat rajin dan konsisten dalam pelajarannya.

"Asif adalah peran contoh kepada rakan-rakannya. Asif juga seorang murid yang boleh dipercayai, serta boleh bekerjasama dengan rakan-rakan sekelasnya. Asif juga sering mengambil peranan kepimpinan," kata gurunya.

Dalam pada itu, Asif juga merupakan seorang murid yang banyak melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Antaranya, Asif pernah ke Kemboja pada 2017 bagi satu lawatan kemasyarakatan yang dianjurkan Ma’hadur
Riyaadhil ‘Alamiyyah and Persatuan Ihsan dan Pembangunan Kemboja. Di sana, Asif membantu mengumpul dana bagi membangunkan bangunan tahfiz, serta membantu membangunkan perigi di kampung-kampung di sana.

Tahun lalu pula, Asif giat melakukan kerja sukarela bersama SalamSG untuk mengagihkan juadah berbuka puasa semasa bulan Ramadan bagi membantu keluarga-keluarga memerlukan.

MISHEL MARYAM NASIR MUNCUL TERIMA ANUGERAH MADRASAH LBKM PERINGKAT O

Anugerah bagi kategori GCE O pula diterima Mishel Maryam Nasir dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah. Dia menerima wang sebanyak S$1,000 sebagai hadiah Anugerah Madrasah LBKM GCE O.

--

Mishel yang kini menuntut di Politeknik Singapura, menerima Purata Nilai Gred Kumulatif (cGPA) sebanyak 3.9 mata bagi peperiksaan madrasah dalam Pendidikan Islam.

Keputusan peperiksaan GCE O Mishel juga tidak kurang hebatnya. Dia mendapat 8 A1 dan 1 A2.

Maka tidak hairanlah Mishel juga pernah menerima anugerah-anugerah peringkat nasional seperti pingat emas bagi pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEMco), serta pingat emas bagi peraduan penulisan bahasa Melayu 'Pena Emas' pada tahun lalu.

Atas keputusan cemerlangnya, Mishel juga pernah diberikan peluang menjalani latihan amali di NanoBio Lab di A*Star selama 5 minggu pada lewat tahun lepas.

Mishel bukan sahaja merupakan kapten bagi pasukan lawan pedang sekolahnya, merupakan seorang yang banyak mengambil bahagian dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan sukarela.

Menurut guru Mishel, potensi kepimpinannya terserlah dan ini dapat dilihat menerusi penglibatannya sebagai Ketua Pelajar pada 2020.

"Sebagai seorang Ketua Pelajar, Mishel mempamerkan bakat kepimpinannya dengan menerajui Jawatankuasa Eksekutif Ketua-ketua Pelajar. Dia memimpin dalam mewujudkan ikrar dan du'a Madrasah di dalam bahasa Arab dan Inggeris, yang selaras dengan visi dan misi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah," jelas gurunya.

Buat Mishel, kejayaannya tidak datang sekelip mata. Dia juga mengalami banyak cabaran, termasuk masalah kewangan, terutama sekali apabila bapanya hilang pekerjaan sewaktu kemuncak pandemik COVID-19.

Namun, daripada berpeluk tubuh sahaja, Mishel menggunakan situasi itu untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat, serta berusaha lebih gigih untuk membanggakan ibu bapanya.

SALIHAH ABDUL MUTALIB PELAJAR TERBAIK KATEGORI GCE A

Anugerah Madrasah LBKM bagi peringkat GCE A pula diberikan kepada Salihah Abdul Mutalib dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah yang menerima wang berjumlah S$1,500.

--

Salihah ternyata sangat cemerlang dalam peperiksaan madrasah. Daripada 24 mata pelajaran termasuk subjek Pendidikan dan Ukhrawi, dia meraih markah keseluruhan 91.3 peratus.

Malah, Salihah juga dinobatkan sebagai Valedictorian Madrasah Alsagoff atas pencapaian membanggakan itu.

Sebagai seorang pelajar, Salihah banyak mewakili sekolahnya dalam pertandingan bahas.

Tahun lepas, Salihah bersama rakan-rakan seperjuangannya berusaha gigih sehingga dinobatkan juara bagi Kejuaraan Bahas Bahasa Arab Antarabangsa yang dianjurkan MUSLEH di Malaysia.

Selain itu, dia juga pernah mewakili Madrasah Alsagoff untuk menjadi juara bagi peraduan Qari Belia Idrissi tahun lepas.

Salihah bercita-cita unutk menjadi seorang Ustazah dan doktor. Untuk itu, dia ingin meneruskan pendidikan dalam jurusan Shariah dan Sains.

Memandang ke hadapan, Salihah akan meneruskan pendidikannya di Universiti Sains Islam Malaysia pada 2023.

Kesemua calon bagi Anugerah Madrasah LBKM 2022 juga menerima baucar buku bernilai S$200 seorang.

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa