Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga maut, termasuk kanak-kanak kecil, dalam kebakaran flat di Bedok

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 May 2022 12:53PM Dikemas Kini : 13 May 2022 11:07PM

SINGAPURA: Tiga orang, termasuk kanak-kanak berusia 3 tahun, meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bedok pada Jumaat (13 Mei).

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan tentang kebakaran di Blok 409 Bedok North Avenue 2 itu pada sekitar 6.35 pagi tadi. Pasukan  pertama tiba dalam masa enam minit, menurut SCDF dalam satu catatan Facebook. 

Empat orang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di unit tersebut, yang mempunyai "timbunan barangan mudah terbakar", menurut SCDF. 

Seorang wanita 56 tahun ditemui di ruang tamu, manakala tiga lagi - seorang lelaki 35 tahun, seorang wanita 34 tahun dan kanak-kanak kecil - berada di dalam bilik tidur.

Wanita yang ditemui di ruang tamu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang  paramedik SCDF. 

Lelaki berusia 35 tahun dan kanak-kanak kecil itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan mereka, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada sebelah petang, sambil menambah bahawa siasatan polis sedang dijalankan.

SCDF sebelum itu menyatakan   resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan ke atas dua orang yang ditemui di dalam bilik tidur dan kesemua tiga mangsa dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH).

"Disebabkan bilik tidur yang berselerak, anggota bomba masuk secara paksa untuk menyelamatkan mereka," menurut SCDF. 

Kakitangan khidmat perubatan kecemasan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas dua mangsa dan kesemua tiga mangsa itu kemudian dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH). 

SCDF juga masuk secara paksa ke unit sebelah dan menyelamatkan tiga orang, yang didapati mengalami cedera ringan. Tiga orang itu enggan dibawa ke hospital. 

Seramai 60 orang dipindahkan dari unit-unit sebelah sebagai langkah berjaga-jaga. 

Punca kebakaran itu sedang disiasat, menurut SCDF. 

Dalam catatan Facebooknya, Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara Tan Kiat How berkata penghuni unit itu termasuk seorang ibu dan anak kecilnya dibawa ke hospital. 

"Ingatan saya bersama mereka dan saya berharap mereka berada dalam keadaan baik," kata Encik Tan yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC East Coast. 

Encik Tan berkata pemimpin akar umbinya sedang membantu keluarga-keluarga yang diminta berpindah seketika, sambil menambah bahawa bilik di Heartbeat@Bedok dibuka untuk menampung semua. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas pemahaman dan kerjasama mereka. Saya juga berterima kasih kepada SCDF atas tindak balas pantas mereka. Agensi-agensi relevan akan menyiasat punca kebakaran ini," katanya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan