Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga lelaki ditahan di bawah ISA, jadi radikal akibat konflik Israel-Hamas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tiga lelaki yang menjadi radikal sendiri akibat konflik Israel-Hamas telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2024, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Khamis (9 Jan).

Ketiga-tiga warga Singapura itu menjadi radikal sendiri secara berasingan secara online dan telah membuat persiapan untuk menyertai dalam keganasan bersenjata di luar negara.

"Walaupun kes mereka tidak berkaitan, mereka menjadi radikal sama ada dicetuskan atau dipercepatkan oleh konflik Israel-Hamas yang berterusan," kata ISD.

Setiap daripada tiga lelaki itu telah mengambil langkah untuk membiasakan diri dengan cara menggunakan senjata. Salah seorang daripadanya telah pergi ke tempat menembak di Bangkok. Mereka ditangkap pada Oktober 2024.

Sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, ISD telah menangani sekurang-kurangnya lima kes rakyat Singapura di bawah ISA yang menjadi radikal sama ada dicetuskan atau dipercepatkan oleh konflik itu.
BERLATIH GUNA SENJATA MAINAN

Muhammad Indra Aqmal Effendy, 21 tahun, bekerja sebagai mekanik lif ketika ditahan.

Dia menjadi radikal selepas serangan Hamas pada 7 Okt 2023 terhadap Israel. Dia mula membaca kandungan di internet mengenai situasi Gaza, yang menunjukkan orang awam Palestin dibunuh oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Indra menemui bahan-bahan ekstremis mengenai jihad bersenjata dan syahid.

“Terpengaruh secara emosi oleh penderitaan rakyat Palestin, dia membentuk kebencian terhadap IDF, dan dalam beberapa minggu, keinginannya semakin kuat untuk berjuang bersama Hamas menentang IDF di Gaza,” kata ISD.

“Dia percaya ini adalah bentuk jihad bersenjata yang sah dan bercita-cita untuk mati syahid semasa berperang.”

Sebagai persediaan untuk perjalanannya ke Gaza, Indra meneliti pelbagai laluan perjalanan. Dia mengenal pasti kontak yang berpangkalan di wilayah Palestin secara onlone yang dipercayai dapat membantunya di Gaza.

Dia juga membuat persiapan untuk "bersedia tempur", kata ISD.

“Mempunyai latar belakang dalam seni mempertahankan diri, dia mengasah kemahiran tempur tanpa senjata dengan menjalankan latihan di rumah,” kata agensi itu.

"Dia juga berlatih memasukkan peluru dan menarik picu pistol mainannya setiap hari untuk meningkatkan ingatan ototnya dalam pengendalian senjata."

Indra juga mencari tempat-tempat menembak di Batam, di mana dia boleh berlatih dengan senjata api hidup.
PERGI BANGKOK LATIH MENEMBAK

Mohamad Latiff Rahim, 41 tahun, merupakan pengarah sebuah syarikat pemasaran digital ketika ditahan.

Dia berpangkalan di Bangkok dan ditangkap sekembalinya ke Singapura.

Latif memulakan "perjalanannya menjadi radikal" pada 2010, selepas dia mula membaca kandungan di internet mengenai "tanda-tanda Akhir Zaman".

Selama bertahun-tahun, dia menjadi yakin ini akan berlaku dalam hidupnya, dan menjadi kewajipannya untuk berjuang bersama mujahidin, atau pejuang, menentang "musuh Islam" dalam tempoh ini.

Serangan Hamas pada 7 Okt 2023, dan konflik yang melibatkan Iran meyakinkan Latiff bahawa Akhir Zaman sudah hampir.

Ini mempercepatkan keinginannya untuk terlibat dalam keganasan bersenjata.

Dia melihat IDF dan Israel sebagai "musuh" kerana mendatangkan penderitaan kepada rakyat Palestin.

"Latiff, seorang Muslim Syiah, menganggap Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei sebagai pemimpin mujahidin untuk memerangi 'musuh' pada Akhir Zaman," kata ISD.

“Beliau percaya Khamenei akan mengeluarkan seruan agar umat Islam terlibat dalam jihad bersenjata. Dia bersedia menyahut seruan sedemikian dengan pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan tentera Iran atau kumpulan militan yang disokong Iran seperti Hezbollah.”

Malah sebelum konflik terbaru Israel-Hamas tercetus, dia telah membuat persiapan untuk terlibat dalam konflik bersenjata.

Pada September 2022, Latiff telah pergi ke tempat menembak di Bangkok untuk membiasakan diri dengan senjata api.

Pada awal 2024, dia "meningkatkan" latihan fizikalnya untuk bersedia berperang, dengan berlatih gerakan menikam menggunakan pisau dapur sekurang-kurangnya empat hingga lima kali sebulan di Bangkok.

"Dia berlatih melakukan serangan ke atas bahagian penting badan yang akan menyebabkan kematian serta-merta - seperti dada dan urat leher."

ISD berkata Latiff tidak mempunyai rancangan serangan khusus terhadap Singapura, tetapi mengakui sanggup melaksanakan arahan daripada Khamenei, termasuk melakukan serangan di Singapura.

RANCANG PERGI BATAM LATIH MENEMBAK

Nurisham Yusoff, 44 tahun, bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika ditahan.

Pada tahun 2020, dia mula berminat tentang tanda-tanda Akhir Zaman.

Dia masuk ke media sosial untuk mendapatkan ilmu agama dan didedahkan kepada ajaran pendakwah radikal, seperti Azhar Idrus dan Wadi Annuar.

Azhar Idrus, seorang pendakwah di Malaysia, menggalak keganasan terhadap orang bukan Islam. Sebagai contoh, dia telah mengatakan bahawa sesiapa yang menghina Allah, Nabi Muhammad, Quran dan Islam hendaklah dibunuh.

Wadi Annuar, seorang pendakwah Malaysia, telah membuat komen yang memecahbelahkan tentang agama dan masyarakat lain. Sebagai contoh, dia merujuk kepada perarakan Thaipusam sebagai "menyembah syaitan", dan menggalakkan orang Islam untuk menjauhkan diri mereka daripada orang Yahudi dan Kristian.

Nurisham juga meneliti bahan-bahan tentang konsep mati syahid.

"Dia mula percaya bahawa mati syahid adalah cara paling mudah untuk dia menebus dosanya supaya masuk ke Syurga ketika Akhir Zaman yang akan datang," kata ISD.

Berikutan serangan Hamas, dia mendapatkan bahan pelampau dari internet yang berkaitan dengan konflik tebarui.

Dia yakin bahawa ia adalah kewajipan agamanya untuk pergi ke Gaza dan mengangkat senjata dengan sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam (AQB).

Seperti Latiff, dia melihat peristiwa di Gaza sebagai petanda bahawa Akhir Zaman sudah hampir tiba.

Dia percaya bahawa berperang dengan AQB adalah "bentuk jihad bersenjata yang sah" yang akan membolehkannya mencapai mati syahid pada Akhir Zaman.

Lelaki berusia 44 tahun itu mengambil langkah untuk mempersiapkan dirinya untuk terlibat dalam keganasan bersenjata.

Dia meneliti cara untuk memasuki Gaza dan memuat naik catatan di media sosial tentang konflik Israel-Hamas dan AQB, dengan harapan seseorang akan memudahkan perjalanannya ke Gaza.

“Selain itu, Nurisham percaya bahawa latihan ketenteraan yang telah dilaluinya, termasuk cara mengendalikan senjata, ketika berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Singapura, akan berguna apabila dia menyertai AQB,” kata ISD.

Dia juga membuat rancangan untuk membiasakan diri dengan mengendalikan senjata api di tempat menembak di Batam.

Menjawab pertanyaan media, Kementerian Pertahanan berkata di peringkat nasional dan dalam SAF, sistem dan proses keselamatan telah disediakan untuk menyaring dan mengesan kakitangan yang mungkin menimbulkan ancaman keselamatan.

“Adalah kebimbangan yang sah dan satu ancaman keselamatan bahawa anggota kerahan negara boleh menggunakan kemahiran mereka yang dipelajari dalam SAF untuk melakukan perbuatan jenayah atau tindakan pengganasan,” kata jurucakap MINDEF.

Jabatan Keselamatan Tentera dalam MINDEF kerap menyaring orang yang mungkin menimbulkan ancaman sedemikian. Jika dikenal pasti, mereka tidak akan diletakkan dalam kedudukan untuk "memperoleh kemahiran ketenteraan atau mendapatkan akses kepada peralatan yang mungkin menimbulkan ancaman".

MINDEF berkata MSD bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan pemerintah yang lain.

"Komander SAF juga kerap bercakap dengan askar mereka untuk mengukuhkan perpaduan dan menggalakkan persefahaman bersama antara orang yang berbeza latar belakang," kata MINDEF.
 
BERTINDAK SENDIRIAN

ISD berkata ketiga-tiga lelaki itu bertindak sendirian dan tidak ada tanda-tanda mereka meradikalisasi atau merekrut orang lain di Singapura.

Ahli keluarga mereka di Singapura tidak tahu rancangan mereka untuk mengambil bahagian dalam keganasan bersenjata.

"Tiga kes ini menunjukkan bagaimana konflik di luar negara boleh memberi kesan kepada keselamatan Singapura," kata agensi itu.

“Walaupun sudah lebih setahun sejak konflik bermula, naratif pelampau mengenainya, serta pertempuran yang semakin meningkat di Timur Tengah, masih belum reda.”

ISD mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada terhadap unsur radikal dan naratif ekstremis, yang menggalakkan dan mewajarkan tindakan penggasan dan ekstremisme ganas.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, menggalak, menjalankan atau membuat persediaan untuk melakukan keganasan bersenjata, tidak kira apa pun alasan mereka mewajarkan keganasan tersebut, atau di mana keganasan itu berlaku.”

Ahli keluarga dan rakan harus melihat perubahan dalam tingkah laku dan memaklumkan pihak berkuasa jika mereka mengesyaki orang yang mereka sayangi telah menjadi radikal.

Tanda-tanda termasuk kerap melayari laman web radikal dan menyiarkan atau berkongsi pandangan ekstremis di platform media sosial.

Mereka juga mungkin berkongsi pandangan ekstremis dengan rakan dan saudara mara, atau membuat kenyataan yang menggalakkan niat jahat atau kebencian terhadap orang lain bangsa, agama atau masyarakat.

Sesetengahnya mungkin mengatakan hasrat untuk mengambil bahagian dalam tindakan keganasan di luar negara atau di Singapura atau menghasut orang lain untuk mengambil bahagian dalam tindakan tersebut.

Sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki bahawa seseorang itu telah menjadi radikal boleh menghubungi ISD di 1800-2626-473.
 
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan