Skip to main content

Singapura

Tiga keluarga sambut kelahiran bayi 'Hari Kebangsaan' sempena ulang tahun SG ke-61

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Aug 2026 09:58PM Dikemas Kini : 25 Aug 2026 10:55PM
SINGAPURA: Sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad (9 Ogos) bertambah manis bagi tiga pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran cahaya mata masing-masing sedang Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-61.

Daripada bayi yang dilahirkan tepat 12.00 tengah malam hingga seorang lagi yang tiba lebih awal daripada tarikh jangkaan, 9 Ogos kini membawa makna lebih istimewa buat keluarga-keluarga tersebut.

MAIA LAHIR TEPAT 12.00 TENGAH MALAM

Bayi pertama yang dilahirkan pada 9 Ogos tahun ini ialah Maia, yang lahir tepat 12.00 tengah malam di Pusat Perubatan Thomson.

Ibu bapanya memilih nama Maia kerana ia mudah disebut dalam bahasa Inggeris, Cina dan Sepanyol, iaitu bahasa-bahasa yang dituturkan bapanya.
Related article image
Bayi Maia dilahirkan tepat 12.00 tengah malam pada 9 Ogos 2026 di Pusat Perubatan Thomson, sedang Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-61. (Gambar: CNA)
Tarikh kelahirannya juga menjadikan Hari Kebangsaan lebih bermakna buat keluarga tersebut.

"Ia juga tarikh yang akan diingati oleh semua orang, dan kami boleh sentiasa mengadakan parti. Jadi bagi kami, ia sangat bermakna," kata ibu bapanya.

'BANGGA SEBAB DIA DILAHIRKAN PADA HARI KEBANGSAAN'

Bagi pasangan Encik Muhammad Khairul Arifin dan Cik Nur Atika Osman pula, mereka masih memerlukan sedikit masa untuk memilih nama bagi cahaya mata baharu mereka.

Anak perempuan kedua pasangan itu dilahirkan sekitar 1.00 pagi di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH).
Related article image
Encik Muhammad Khairul Arifin dan Cik Nur Atika Osman bersama anak perempuan kedua mereka yang dilahirkan sekitar 1.00 pagi pada 9 Ogos 2026 di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak. (Gambar: CNA)
Tarikh kelahiran itu tidak begitu mengejutkan pasangan tersebut kerana tarikh jangkaan bersalin juga jatuh pada 9 Ogos.

"Bangga, sebab dia (dilahirkan pada) Hari Kebangsaan. Kita sudah jangkakannya sebab EDD pun pada 9 Ogos, pada Hari Kebangsaan," kata Encik Muhammad Khairul.

LAHIR SEMBILAN HARI LEBIH AWAL

Seorang lagi bayi yang berkongsi tarikh lahir dengan Singapura ialah Muhammad Ijaz Azry, yang dilahirkan di Hospital Raffles pada 11.06 pagi.

Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram dan sepanjang 49 sentimeter itu merupakan anak kedua pasangan Encik Muhammad Faris Rashid, 33 tahun, dan Cik Izzah Syazana Mazlan, 29 tahun.

Muhammad Ijaz Azry sebenarnya dijangka dilahirkan pada 18 Ogos, namun tiba sembilan hari lebih awal.
Related article image
Encik Muhammad Faris Rashid dan Cik Izzah Syazana Mazlan bersama anak kedua mereka, Muhammad Ijaz Azry, yang dilahirkan pada 11.06 pagi pada 9 Ogos 2026 di Hospital Raffles. (Gambar: CNA)
Kelahirannya disambut pakar perbidanan dan sakit puan serta Perunding Kanan di Pusat Wanita Raffles, Dr Jazlan Joosoph.

Tahun ini merupakan tahun ke-26 berturut-turut Dr Jazlan menyambut kelahiran bayi Hari Kebangsaan.

Cik Izzah sendiri merupakan seorang jururawat di Hospital Raffles, manakala suaminya bekerja sebagai juruteknik di PSA.

Menurut Cik Izzah, beliau sebenarnya berharap anaknya akan dilahirkan pada Hari Kebangsaan.

"Dalam diam saya berharap dia akan keluar pada Hari Kebangsaan.

"Jadi saya berbual dengan dia, jangan keluar, mungkin keluar Hari Kebangsaan Singapura," katanya.

Cik Izzah berkata beliau dan suaminya sangat gembira dengan kelahiran Muhammad Ijaz Azry pada tarikh istimewa itu.

"Tentunya saya rasa sangat gembira. Ia satu pengalaman yang baharu bagi saya dan suami.

"Harapan saya, mudah-mudahan dia menjadi anak yang soleh, taat pada ibu bapa dia. Dan juga jadi kebanggaan untuk kita," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita