Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiga individu terima Darjah Utama Bakti Cemerlang sempena Hari Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga individu terima Darjah Utama Bakti Cemerlang sempena Hari Kebangsaan

Profesor Tan Chorh Chuan, Ketua Saintis Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH). (Gambar: AP/Martial Trezzini/Keystone)

SINGAPURA: Ketua Saintis Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH) yang membentuk tulang belakang usaha Singapura mengatasi pandemik COVID-19, Profesor Tan Chorh Chuan diiktiraf sebagai antara tiga penerima anugerah tertinggi yang diberikan sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Beliau menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang.

Profesor Tan juga bertanggungjawab ke atas tindak balas kesihatan Singapura kepada krisis SARS dari tahun 2000 hingga 2004.

Profesor Tan yang kerjayanya sudah menjangkau empat dekad kini memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di Pejabat MOH bagi Transformasi Jagaan Kesihatan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) antara 2008 hingga 2017.

Turut menerima anugerah yang sama ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Lee Tzu Yang.

Beliau merupakan mantan pengerusi Shell Singapore bersara setelah berkhidmat dengan syarikat itu selama 35 tahun.

Seorang lagi penerima anugerah Darjah Utama Bakti Cemerlang ialah mantan pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Warisan India, Gopinath Pillai.

Untuk tempoh paling paling panjang dalam kerjayanya, beliau berkhidmat sebagai Duta Kelana dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan Singapura-India sebagai seorang diplomat.

Secara keseluruhan, lebih 6,200 individu menerima anugerah Hari Kebangsaan tahun ini.

Mereka termasuk tokoh dan individu Melayu/Islam yang diiktiraf atas khidmat dan sumbangan mereka kepada negara.

Antara penerima Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) ialah Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Toa Payoh, Abdul Rahman Mohamed.

Penerima anugerah Bintang Bakti Masyarakat pula termasuk Presiden Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS) Mohamed Noor Mohamed Yusofe atau lebih dikenali sebagai Cikgu Yusnor Ef.

Seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) Harrif Hambali.

Sementara itu para penerima Pingat Pentadbiran Awam (Perak) termasuk Timbalan Pesuruhjaya (Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Korporat) Khidmat Penjara Singapura Kementerian Dalam Negeri (MHA) AC Rafidah Suparman.

Antara penerima Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) pula termasuk Timbalan Pengarah Penemuan dan Pengurusan Sumber Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) Haliza Jailani dan Pengarah Khidmat Aset dan Kewangan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Norhayati Haron.

Senarai penuh para penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2022 boleh didapatkan di laman web PMO.

Sumber : BERITA Mediacorp/EM/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa