Tiga individu Melayu terima Anugerah Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS)

SINGAPURA: Enam individu menerima Anugerah Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) pada tahun ini.
Salah seorang daripada tiga penerima kategori bahasa Melayu adalah seorang pengurus kanan di Mandai Wildlife Group, Encik Haniman Boniran.
Beliau menerima anugerah itu daripada Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Encik Tan Kiat How bersama lima penerima lain pada Jumaat (21 Okt)
Encik Haniman, seorang pendidik di Jabatan Sains Hayat Mandai Wildlife Group, pakar dalam penjelasan saintifik fakta haiwan.
Setakat ini, beliau telah menterjemahkan lebih 500 papan tanda, e-poster serta buku kanak-kanak ke dalam bahasa Melayu.
Beliau juga merancang, membangunkan dan melaksanakan semua program Bahasa Melayu yang dijalankan di Taman Haiwan Singapura dan River Wonders.
Selain itu, beliau juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan mengendalikan bengkel-bengkel bahasa Melayu di tadika-tadika.
Dengan geran penajaan bersama Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS), Encik Haniman berpeluang mempertingkatkan kemahiran selain meluaskan pengetahuannya dalam bahasa Melayu.
Anugerah TTDS bernilai sehingga $10,000 itu menampung 90 peratus kos kursus profesional, seminar dan persidangan, yang dikendalikan baik di dalam mahupun di luar negara.
Beliau kini mengikuti program Sarjana Muda dalam Bahasa Melayu dan Kesusasteraan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
"Skim TTDS ini membolehkan melanjutkan pengajian saya di SUSS dalam bidang Melayu dan Sastera. Ia juga memberi saya peluang untuk menyumbang kepada masyarakat dari sudut penterjemahan supaya mereka mendapatkan maklumat bukan saja jelas tapi lebih cocok dan lebih mengikut konteks pembaca dan penutur bahasa Melayu di Singapura," kata beliau.

Cik Nur Amirah Khairul Anuar berkata: "Ini ialah satu peluang yang amat berharga bagi saya kerana bukan saja skim ini membantu saya melanjutkan pelajaran saya dalam bidang terjemahan melalui geran yang diberikan tetapi skim ini juga menyediakan wadah untuk saya berhubung dengan para penterjemah lain dan kami dapat saling berkongsi pendapat, pengalaman dan juga idea."

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.